Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

Kenyataan Akhbar Dr Abdul Rahim Ghouse

From: Informer
Date: 03 May 1999
Time: 22:44:13

Comments

Dr Wan Azizah, presiden Keadilan telah diberi sambutan begitu meriah seperti seorang tetamu negara semasa di Filipina. Beliau menjadi tetamu Cory Aquino yang telah berperanan menumbangkan Presiden Marcos, 13 tahun dahulu. Pelbagai program telah diaturkan termasuklah perjumpaan dengan Presiden Estrada, Cory Aquino, Senator dan Ahli Kongress, ahli akademik, pemimpin gerakan sosial serta anggota media Filipina. Secara keseluruhannya , mereka kagum dengan kemampuan yang ditonjolkan oleh Wan Azizah sebagai pemimpin Reformasi Malaysia.

Wan Azizah dengan sifat rendah diri menganggap dirinya sebagai "accidental politician". Beliau tidak mengejar kedudukan ini tetapi terpaksa memikul tanggungjawab ini sebagai tanggung jawab sosial demi kepentingan rakyat. Di Manila Wan Azizah menjelaskan, jika Anwar orang No. 2 negara boleh difitnah, dipukul dan dihukum sedemikian rupa, maka tidak ada rakyat di negara ini yang akan selamat dari kezaliman dan cengkaman Mahathir. Wan Azizah begitu berjaya dalam semua pertemuan tersebut dengan menjawab hampir semua persoalan yang berkaitan dengan isu isu kebebasan, keadilan, sistem pemerintahan serta masa depan ekonomi negara. Lawatannya ke Manila meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada rakyat Filipina bahawa perjuangan yang dibawa oleh beliau adalah perjuangan yang bukan semata-mata untuk membela suaminya tetapi ianya mewakili aspirasi rakyat untuk menegakkan keadilan, kebenaran dan kebebasan. Seorang kolumnis akhbar di Manila menganggap bahawa Mahathir telah bertemu "Cory of Malaysia" yang dapat memimpin rakyat untuk menumbangkan pemerintah diktator itu.

Dalam pelbagai perjumpaan, rakyat Filipina telah menyatakan sokongan dan persetujuan mereka terhadap visi Anwar Ibrahim bahawa nilai-nilai demokrasi bukan hak Barat semata mata, tetapi adalah hak semua rakyat dalam mana negara pun kerana nilai nilai itu bersifat universal. Lantaran itu aspek aspek keadilan dan kebebasan amat penting sebagai teras dalam kehidupan masyarakat. Mereka juga jelas message yang dibawa oleh Wan Azizah ialah message yang menjangkau batasan parti dan negara dan bersifat universal yang boleh dihayati dan dinikmati oleh semua masyarakat. Tetapi kita hairan kenapa Mahathir sengaja tidak mahu memahaminya. Sebab itu menurut Wan Azizah, Mahathir telah hilang pertimbangan terhadap apa yang benar dan yang salah serta pertimbangan terhadap realiti apabila genggaman kekuasaannya mulai longgar.

Dalam satu perjumpaan Wan Azizah bersama senator senator dan ahli ahli kongress di Manila pada 29/4/99, ada anggota senator yang telah mempersoalkan tentang amaran kerajaan Malaysia kepada Presiden Estrada yang mengizinkan kedatangan Wan Azizah ke negaranya sebagai campur tangan terhadap hal dalaman Malaysia. Menurutnya, Mahathirlah yang cuba campur tangan dalam ehwal Filipina dengan ingin menentukan siapakah tetamu negara Filipina. Katanya kerajaan Filipina tidak pernah menyemak atau menghalang tetamu tetamu Mahathir yang melawat beliau di Malaysia.

Perjumpaan tersebut juga amat menarik kerana selepas Wan Azizah menjelaskan peranan media massa yang menjadi alat kerajaan, seorang ahli kongress menimbulkan peranan yang telah dimainkan oleh Harakah. Nampaknya hampir kesemua pemimpin yang hadir dalam majlis itu mengetahui tentang peranan yang dimainkan oleh Harakah. Wan Azizah terus menjelaskan bahawa pihak kerajaan juga sedang berusaha untuk menghadkan penyebaran Harakah. Ini menunjukkan bahawa Mahathir akan terus menyekat kebebasan bersuara dan akhbar di Malaysia.

Satu persoalan penting telah ditimbulkan oleh beberapa senator dalam perjumpaan tersebut ialah tentang ciri-ciri diktator iaitu mengadakan penipuan dalam pilihanraya umum termasuk pengundi hantu dan pemindahan pengundi. Dijelaskan bahawa kesemua itu adalah taktik yang digunakan oleh diktator diktator termasuk Presiden Marcos. Oleh itu usaha usaha bagi meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat bagaimana penipuan itu boleh berlaku dalam pilihanraya amatlah penting.

Rakyat Filipina juga melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan Anwar Ibrahim. Mereka mengikuti dengan begitu dekat tindakan kejam yang dilakukan oleh Rahim Noor ke atas Anwar. Mereka bimbang melalui pengalaman pembunuhan Ninoy Aquino yang mengugat Marcos pada masa itu. Mereka berharap agar Anwar akan selamat serta sihat dan bersabar dalam menghadapi segala rintangan dan dugaan tersebut. Rakyat Filipina tahu semua ini adalah konspirasi politik dan usaha usaha jahat Mahathir untuk terus mengaibkan Anwar Ibrahim.

Senator Ople, pemimpin senate Filipina menjelaskan dalam satu penulisannya bahawa "Anwar is on the right side of history and Mahathir is on the wrong side". Cory sempat memberi kata kata nasihat bahawa "akhirnya keberanianlah yang akan menjatuhkan diktator dan tiap-tiap daripada kita mesti sedar dan berperanan melakukan sesuatu dalam kemampuan yang ada pada kita. Keadilan akan tertegak akhirnya".

Manila 3/5/99

Last changed: May 06, 1999