Make your own free website on Tripod.com

Rabu, 20 April 1999



1. Perhimpunan haram: 24 tidak mengaku salah

KUALA LUMPUR, Selasa - Seramai 24 orang, termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Nasional (KeADILan) Tian Chua dan bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussin tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret, berhubung  pembabitan dalam perhimpunan haram di ibu kota, Rabu lalu........



Rakyat terpinga-pinga dengan tindakan pasukan polis kita yang ganas. Butir-butir yang sohih menunjukkan bahawa pihak polis khususnya cawangan khas dan anggota- anggota yang berpakaian preman telah memulakan tindakan keganasan ini. Perbuatan pihak polis ini bukan sahaja tidak beretika dan bermaruah tetapi juga menunjukkan betapa pincangnya pasukan polis di bawah kerajaan BN-UMNO.

Wujudnya pasukan polis ini telah mencetuskan rusuhan. Sebaliknya keadaan tetap aman sekiranya pasukan polis tiada walaupun perhimpunan rakyat disertai oleh ribuan manusia sepertimana yang berlaku pada 14 April di Taman Melewar anjuran GERAK.

Wajarlah pasukan polis direformasikan.

Rakyat mahukan keamanan. Rakyat mahu bersuara dengan aman.

Rakyat mahukan sebuah suruhanjaya bebas menyiasat perkara ini.

Rakyat berdoa agar Allah swt memberikan keselamatan kepada mereka.



2. Ceramah kesedaran untuk pelajar disusun

KOTA BHARU, Selasa - Kementerian Penerangan akan menggerakkan jenteranya di seluruh negara menerusi pelbagai program ceramah yang menumpukan soal kesedaran dan tanggungjawab generasi muda termasuk pelajar supaya tidak terjebak gejala tidak sihat yang boleh memudaratkan diri seperti berdemonstrasi.

Setiausaha Parlimennya, Datuk Mohd Shafei Apdal, berkata:

"Menyedari pentingnya generasi muda dan pelajar, kementerian akan berusaha dengan Kementerian Pendidikan serta badan-badan tertentu lain untuk mengadakan pelbagai kegiatan dan ceramah yang mendatangkan faedah dan boleh memberi kesan positif kepada mereka.

"Kita juga akan menganjurkan program seperti itu di peringkat universiti yang  bertujuan memberi penjelasan dan memperingatkan tanggungjawab mereka sebagai pelajar.

"Malah, ceramah seperti itu akan diadakan berterusan agar rakyat di semua peringkat termasuk generasi muda dan pelajar memahami dasar dan hasrat kerajaan sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis ceramah perdana sambutan Maal Hijrah dan pelancaran kutipan derma untuk Tabung Barisan Bertindak Kosovo (BBK) peringkat negeri Kelantan, di      Peringat di sini, malam tadi.

"Yang pasti kalau anak muda terbabit dengan kegiatan yang memudaratkan masa depan seperti mengamalkan budaya kuning, terjebak dengan demonstrasi, kita bimbang ini boleh merugikan mereka.

"Ini kerana bukan hanya diri sendiri menderita bahkan ibu bapa dan keluarga yang banyak menaruh harapan sebagai generasi penyambung dan penyelamat masa depan keluarga dan negara.



Rakyat melihat betapa janggalnya peranan Kementerian Penerangan dan Kementerian Pendidikan dalam mencapaikan mesejnya. Kerapkali dinyatakan bahawa negara Malaysia akan menjadi sebuah negara yang matang apabila rakyatnya matang. Kematangan yang utama adalah membolehkan rakyat membezakan antara baik dengan buruk. Antara kebenaran dengan kepalsuan.

Rakyat tidak mahu melihat anak-anak mudanya dibelenggu dengan fahaman ketaatan secara membabi buta terhadap pemimpin. Kita harus melahirkan anak-anak muda yang tahu berfikir. Mengkritik kesalahan kerajaan atau menunjuk perasaan secara aman dibenarkan oleh sistem demokrasi dan undang-undang negara.

Sebenarnya yang bermasalah sekarang adalah para pemimpin UMNO yang berkelakuan buruk bukan anak-anak muda yang bersemangat waja.



3. Tugas warganegara melindungi pemimpin

Kuliah Pagi

ASSALAMUALAIKUM. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Syukur kita kehadrat Allah SWT kerana berkat rahmat dan hidayah-Nya dapat bertemu lagi hari ini. Selawat dan salam kepada  junjungan nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan pengikut setianya.

Kata Tok Guru, masa itu emas. Kita rasa baru saja kita sambut tahun baru 1999. Kita baru meraikan awal Muharam 1420. Tanpa disedari kita berada dalam bulan April 1999, sudah hampir pertengahan tahun 1999. Tak lama lagi pintu tahun 2000 pun terbuka......



Rakyat ingin menjelaskan bahawa kepimpinan yang maksudkan dalam Islam adalah sepertimana yang tersebut di bawah:

Allah berfirman (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu  kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa daripada kalangan kamu). (An-Nisa': 59).

Rakyat memilih pemimpin dan mentaati pemimpin selagi dia mengikut ajaran Allah swt dan RasulNya. Dr. Mahathir telah menghina Islam dan Rasul maka wajarlah beliau diturunkan.

Dr. Mahathir tersisih jauh daripada maksud Ulil-Amri ini.

Rakyat juga menyeru supaya Tok Guru memberhentikan penggunaan ayat-ayat Al Quran bagi tujuan politik.



4. Menangani gejala negatif dalam Internet

Oleh Mohd Afendi Daud

KEBELAKANGAN ini hampir setiap hari kita mendengar orang menyebut dan memperkatakan teknologi maklumat atau IT. Apatah lagi dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan  Cyberjaya. Seluruh MSC akan dilengkapi peralatan telekomunikasi, teknologi maklumat dan jaringan perkhidmatan digital dalam semua proses perkhidmatan dan perhubungan yang mempunyai sistem infrastruktur yang termoden. MSC ialah satu kawasan yang dibangunkan berasaskan industri IT dan telekomunikasi. Semua urusan yang dijalankan akan menggunakan komputer....



Rakyat telah bersedia untuk menghadapi ledakan teknologi maklumat ini.

Rakyat telah matang untuk menilai mana maklumat yang baik dan maklumat yang jahat, yang benar dengan  yang palsu.

Rakyat tidak akan dipersendakan dengan maklumat-maklumat palsu dan pelbagai propaganda yang diberikan oleh media-media tempatan tajaan kerajaan UMNO-BN.

Rakyat lebih insaf.

Yang anehnya para pemimpin dan penyokong UMNO-BN menyarankan kerajaan supaya menapis maklumat, memantau internet dan mengupah pakar-pakar untuk menceroboh masuk laman-laman web yang kononnya memfitnah mereka. Adakah mereka takut segala keburukan dan kepincangan mereka terbongkar?



Sila edarkan kepada umum.