Make your own free website on Tripod.com

Selasa, 20 April 1999



Pemuda terima 10 aduan ahli belot

IPOH, Isnin - Pergerakan Pemuda Umno menerima 10 aduan sahih membabitkan 10 ahlinya terbabit membantu kempen parti pembangkang dalam pilihan raya Sabah, baru-baru ini.
Penolong Setiausahanya, Zulkifli Mohd Alwi, berkata semua ahli daripada beberapa bahagian Umno negeri berkenaan dilaporkan menjadi ketua markas pembangkang atau ketua kempen pembangkang di kawasan tertentu.

"Kita sudah terima 10 aduan sahih membabitkan 10 ahli dari beberapa bahagian yang dilaporkan terbabit dalam kempen pembangkang di Sabah, sama ada sebagai ketua markas dan ketua kempen.

"Kes mereka akan dibawa ke mesyuarat Pengurusan dan Disiplin Pergerakan Pemuda Umno dalam tempoh satu atau dua minggu lagi. Pemuda tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mereka, sebaliknya hanya membuat cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno.

"Jawatankuasa itu akan membuat keputusan dan cadangan sendiri untuk diserahkan kepada MT yang mempunyai kuasa memecat atau tindakan lain," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tambun di Dewan Bandaran di sini, hari ini.



Rakyat dapat menyaksikan betapa ahli-ahli UMNO telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO. Kita yakin bahawa ramai lagi akan meninggalkan UMNO apabila jentera PKN digerakkan kelak. Rakyat tahu bahawa UMNO menang di Sabah disebabkan politik wang, pengundi hantu dan peranan Bersekutu. Ia pasti tidak akan berulang dalam pilihanraya akan datang apabila rakyat menghukum kerajaan BN kelak.

'Perang' hapuskan nyamuk
 
KUALA LUMPUR, Isnin - Kesungguhan kerajaan mencegah wabak Japanese Encephalitis (JE) hingga keadaannya terkawal, kini diteruskan dengan kempen besar-besaran bagi menghapuskan semua nyamuk yang membawa penyakit..........



Rakyat dapat meneliti betapa kerajaan BN tidak bersungguh-sungguh dalam hal kesihatan dan kawalan penyakit berjangkit.  Dasar-dasar kesihatan jelas melencong. Negara kita telah ketinggalan dalam aspek pencegahan penyakit. Sebalik kerajaan hanya mahu rakyat terdampar di hospital-hospital sahaja. Pembinaan begitu banyak hospital adalah pendekatan songsang. Sepatutnya kerajaan menggalakkan aspek pencegahan penyakit melalui program-program peringkat sekolah dan masyarakat, memperbaiki saliran dan sistem perparitan. Besar kemungkinan hospital-hospital yang banyak ini adalah untuk memberi projek kepada pihak tertentu termasuk hasrat kerajaan untuk mengkorporatkan hospital. Siapa yang untung? .... tentulah anak dan kroni Dr. Mahathir.

Wakil rakyat gesa kerajaan guna ISA

BEBERAPA ahli Dewan Rakyat semalam, menggesa kerajaan menggunakan  peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan dalang yang  menghasut dan mencetuskan huru-hara di ibu negara beberapa hari lalu.

 Datuk Dr Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) berkata,

"Saya bimbang sama ada mereka ini keluar dengan kehendak masing-masing atau didalangi golongan tertentu.

"Saya meminta polis menyiasat kerana seolah-olah wujud dalang di belakang mereka. Kita tidak boleh membiarkan segelintir orang mempermain-mainkan  undang-undang dengan menggunakan taktik rusuhan dan pendekatan antidemokrasi," katanya ketika membahaskan usul terima kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam.

Yunus Rahmat (BN-Jelebu) :

"Sebab itu saya cadangkan kerajaan supaya terus mengenakan ISA kepada golongan jahat dan mereka yang mahu meruntuhkan negara ini," katanya.

Yunus juga meminta Kementerian Pendidikan bertindak terhadap guru, pelajar dan mahasiswa yang terbabit dalam kegiatan rusuhan berkenaan.

"Guru-guru seumpama itu tidak layak dipanggil guru tetapi wajar dipanggil 'gurka jalanan'," katanya.

Wan Hanafiah Wan Mat Saman (BN-Pokok Sena):

"Kalau tidakak ada akta itu, negara ini hanya boleh bertahan selama enam bulan saja," katanya.

Menurutnya, fitnah yang begitu berleluasa sudah sampai pada tahap keterlaluan sehingga ada yang sanggup membuat cerita bahawa ada tokong di sebuah bilik di rumah Perdana Menteri.

Sementara itu, Mohamad Sabu (Pas-Kubang Kerian) juga turut menolak tindakan rusuhan ketika demonstrasi, meskipun tetap tidak mengetepikan  keperluan untuk berdemonstrasi bagi menyuarakan pandangan.



Rakyat terpinga-pinga dengan gelagat wakil-wakil rakyat UMNO-BN. Memberi saranan hanya berdasar laporan media tempatan yang kurang tepat menyebabkan kredibiliti wakil-wakil rakyat ini dalam membela nasib rakyat dan menegakkan keadilan. Penggunan ISA adalah tidak tepat dan zalim. Adakah ini satu isyarat kerajaan akan menekan rakyat?

Sebenarnya wakil-wakil rakyat UMNO-BN ini tidak memahami konsep demokrasi itu sendiri. Wakil PAS lebih peka kerana berdemonstrasi adalah penting dalam menyampaikan suara rakyat.

Mengapa baru-baru ini pekerja-pekerja ladang berjumlah seribu lebih orang berarak ke parlimen dan pihak polis tidak menyembur mereka?  Inilah sikap pilih kasih kerajaan terhadap gerakan reformasi.



Demonstrasi: Najib temui polis

JOHOR BAHRU, Isnin - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan mengadakan perjumpaan dengan polis untuk mendapat laporan mengenai  pembabitan guru, pensyarah dan pelajar sekolah dalam perhimpunan haram dan rusuhan di ibu kota.

Beliau berkata:

"Oleh kerana kita sudah bagi amaran yang secukupnya, maka selepas ini siapa yang dikenal pasti, tindakan akan diambil terhadap mereka."

"Tindakan itu akan ditentukan mengikut kesalahan dan daripada mana kumpulan mereka itu sama ada mereka guru, pensyarah atau pelajar," katanya di sini petang ini.

Menurutnya, ada juga laporan bahawa pelajar yang terbabit dalam  perhimpunan dan rusuhan itu dibawa oleh ibu bapa mereka yang bergerak dalam Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan).

"Mereka (ibu bapa yang menjadi ahli parti KeADILan) menggunakan anak-anak mereka untuk melakukan rusuhan," katanya.



Rakyat telah mual dengan tindak tanduk Dato Najib dalam menangani isu ini. Selagi siasatan badan bebas tidak dibuat, selagi itu tindakan kerajaan akan dianggap sebagai zalim dan tidak adil.

Menuduh PKN terlibat melalui cakap-cakap hanya akan meningkat sokongan terhadap parti ini kerana rakyat telah hilang kepercayaan dengan sistem kehakiman dan perundangan di negara ini.

Dasar-dasar pendidikan di bawah Dato Najib telah membebankan rakyat dan mengkesampingkan rakyat miskin dan bangsa melayu. Tidak pernah kita melihat Dato Najib melawat sekolah-sekolah di pendalaman untuk menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri betapa teruknya keadaan sekolah-sekolah tersebut.



Sila edarkan kepada umum