Make your own free website on Tripod.com

Selasa, 20 April 1999
 
Bekas Exco Melaka bersalah terhadap tiga tuduhan rasuah - Sahar dipenjara 2 tahun

MELAKA 19 April - Bekas anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Sahar Arpan, dihukum penjara dua tahun dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah dengan menyalahgunakan kuasa meluluskan dua bidang tanah kerajaan untuk kepentingan dirinya empat tahun lalu.

Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM20,000 atau penjara enam bulan bagi setiap tuduhan yang dikenakan.

Suriyadi memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak berkuatkuasa mulai hari ini dan mengarahkan tertuduh supaya membayar denda bagi setiap tuduhan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan melanjutkan ikat jamin berjumlah RM300,000 sehingga rayuan didengar.

Suriyadi berkata mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwa telah membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah dan dengan itu mensabitkan Sahar dengan ketiga-tiga tuduhan.

''Setelah mengkaji dengan mendalam pembelaan diri tertuduh, saya puas hati tertuduh telah tidak berjaya untuk menangkis kes pendakwaan.

''Oleh yang demikian saya mendapati tertuduh bersalah bagi ketiga-tiga tuduhan itu,'' kata hakim selepas membacakan keputusan setebal 183 muka surat.

Sebelum menjatuhkan hukuman hakim menangguhkan sidang kira-kira 10 minit untuk membolehkan peguam Jagjit Singh berbincang dengan tertuduh bagi mengemukakan rayuan untuk meringankan hukuman.

''Selepas mengambil kira hujah pihak pendakwa dan rayuan peguam tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM20,000 atau enam bulan penjara bagi setiap tuduhan,'' kata Suriyadi sambil menyifatkan hukuman itu adalah adil dengan merujuk keputusan hukuman kes salah guna kuasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sahar, 47, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal menghadapi tuduhan pertama mengambil bahagian dalam mesyuarat Exco untuk meluluskan permohonan tanah kepada Ivory Heights Sdn. Bhd. (IHSB) yang beliau dikatakan mempunyai kepentingan.

Tanah seluas 3.3718 hektar di Mukim Bertam dan 6.8230 hektar di Mukim Bachang itu telah diberi milik kepada IHSB sebagai pajakan mukim dan pajakan negeri selama 60 tahun.

Sahar didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 10 pagi, 7 September 1994 di Bilik Mesyuarat Negeri, Kompleks Seri Negeri di Daerah Melaka Tengah.

Dalam tuduhan kedua, Sahar didakwa meluluskan permohonan tanah itu kepada syarikat yang sama pada 7 September 1994 dengan menukar tempoh pajakan tanah itu daripada 60 tahun kepada 90 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh mengambil bahagian dalam mesyuarat Exco pada pukul 10 pagi, 21 Disember 1994.

Sahar juga menghadapi tuduhan ketiga, membuat keputusan dengan meminda pelan terhadap dua bidang tanah berkenaan daripada 3.3718 hektar kepada 3.6204 hektar dan daripada 6.8230 hektar kepada 7.2019 hektar dalam satu mesyuarat Exco, 23 Ogos 1995.

Bagi setiap tuduhan Sahar didakwa mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Abdul Rahim Uda, dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin sementara pembelaan dijalankan oleh peguam Jagjit Singh.

Sebelum membuat keputusan, Suriyadi yang menggariskan beberapa fakta penting dalam kes pendakwaan dan pembelaan menyatakan, terdapat keterangan menunjukkan tertuduh membeli IHSB dan mengarahkan sebuah syarikat kesetiausahaan untuk melantik Mohd. Yusop Omar dan Jaini Ahmad sebagai pengarah syarikat itu.

Malangnya, kata beliau, Mohd. Yusop dan Jaini tidak memperoleh apa-apa faedah daripada syarikat itu setelah ia dipindah milik kepada pihak yang lain.

(Mohd. Yusop dan Jaini, kedua-duanya saksi pendakwa telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana dituduh memberikan keterangan palsu dalam perbicaraan kes rasuah Sahar).

Selain itu, hakim juga bersetuju dengan keterangan yang menunjukkan tertuduh telah menghadiri mesyuarat Exco semasa permohonan tanah yang terlibat dibincangkan.

Sebelum itu, Jagjit merayu hukuman yang ringan memandangkan tertuduh telah berkhidmat dengan
cemerlang kepada rakyat di Melaka dan dikurniakan beberapa pingat kebesaran di peringkat negeri dan Persekutuan.

Kata Jagjit, tertuduh akan kehilangan segalanya termasuk jawatan dalam kerajaan dan parti sekalipun dihukum penjara sehari.

Jagjit menambah, kes ini melibatkan transaksi tanah secara betul, bukan kerana kepentingan kewangan dan tiada kerugian di segi kewangan bagi mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Sebaliknya pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

''Saya mohon mahkamah supaya menimbang, selain bagi kepentingan tertuduh (berdasarkan rekod
perkhidmatannya), tetapi hendaklah juga mengambil kira kepentingan orang ramai, negara dan imej pentadbiran kerajaan,'' kata Abdul Rahim.



Rakyat yang celik dapat menerima hukuman yang dijatuhkan kepada Datuk Sahar kerana niat dan rasionalnya jelas dalam pertudahan ini. Berbanding dalam mahkamah kangaroo Paul Augustine, niat dan rasional oleh Dato Seri Anwar Ibrahim tidak dapat dikaitkan secara jelas dan terang. Itulah sebabnya rakyat dan masyarakat global mengkeji perbuatan hakim ini. 

Sungguhpun kesalahan Dato Sahar begitu jelas namun hukuman yang diberikan oleh hakim adalah 2 tahun sahaja. Kalaulah dibandingkan dengan 6 tahun yang diterima oleh Dato Seri Anwar, maka dengan jelas menunjukkan bahawa Hakim Paul begitu zalim dalam hukumannya sedangkan kedua-kedua kes ini disebut dalam akta yang sama.



Elak sengketa sesama sendiri - Abdullah

KUALA LUMPUR 19 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan rakyat pelbagai kaum di negara ini agar mengelak sebarang bentuk persengketaan sesama sendiri yang boleh enjejaskan usaha kerajaan membangunkan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika rakyat ghairah mengejar pembangunan dan kemewahan ekonomi, hubungan sihat dan rasa muhibah antara kaum perlu diutamakan kerana ia merupakan syarat utama untuk menentukan kejayaan.

''Jika kumpulan-kumpulan etnik hidup dalam keadaan bersengketa dan negara berada dalam huru-hara dan bercakar-cakaran, bukan sahaja pembangunan ekonomi yang hebat-hebat tidak mungkin dapat dilaksana, malah kegiatan ekonomi yang routine pun tidak akan dapat dilakukan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pusat Pembangunan Ekonomi dan Perhubungan Etnik (CEDER) di Universiti Malaya, dekat sini hari ini.

Abdullah berkata, pembangunan dalam bidang ekonomi mesti disokong oleh hubungan kaum yang harmoni dan perasaan muhibah.

Sebab itu katanya, dalam merancang dan melaksanakan setiap program pembangunan, hubungan antara etnik perlu diberi pemantauan bagi memastikan suasana yang sesuai tetap wujud supaya keadilan sosial terjamin.

Setakat ini, kata beliau, negara ini telah mencapai kejayaan yang menggalakkan dalam mewujudkan kehidupan yang rukun dan damai antara etnik yang pelbagai.

Sejak merdeka katanya, ekonomi negara pesat berkembang kerana ada hubungan baik antara etnik.

Namun demikian beliau mengingatkan rakyat supaya tidak leka dan mengambil mudah segala pencapaian tersebut.

Katanya, perkara yang berlaku terhadap ekonomi negara yang merosot secara tiba-tiba selepas mengalami pertumbuhan pesat sepanjang lebih dua dekad lalu, juga boleh berlaku terhadap hubungan antara etnik.

''Keamanan negara dan kerukunan hidup antara kaum yang kita nikmati selama ini boleh musnah sekelip mata jika kita tidak berusaha menjaga dan mempertahankannya,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta CEDER yang merupakan sebuah pusat penyelidikan sains sosial yang ditubuhkan dengan kerjasama Christian Michelsen Institute (CMI) di Norway supaya membuat satu penyelidikan mengenai hubungan etnik di negara ini dan hasil daripada kajian itu dikemukakan sebagai cadangan untuk masa depan.

Beliau juga mencadangkan supaya CEDER turut menyelidik pelbagai aspek mengenai Dasar Ekonomi Baru(DEB) yang menjadi falsafah pembangunan selama 20 tahun dari tahun 1970 supaya ia dapat memberi kefahaman menyeluruh kepada generasi muda.

Menurut Abdullah, DEB telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan pertumbuhan kerana wujudnya keamanan dan kestabilan di samping mempunyai sebuah kepimpinan politik yang kuat diterajui oleh Barisan Nasional (BN) yang merupakan satu konsep perkongsian
bijak antara kumpulan etnik utama di negara ini.

''Perkongsian politik tersebut setakat ini telah dapat membuahkan hasil yang menjadi hajat setiap pihak, iaitu ketenteraman dan keamanan yang menjadi prasyarat untukpembangunan ekonomi.

''Tetapi kita mesti ingat bahawa perkongsian kuasa tersebut tidak akan dapat menjamin ketenteraman
sepanjang masa tanpa wujudnya perkongsian sumber kekayaan,'' ujarnya.

Sehubungan itu Abdullah menegaskan, semua kaedah, strategi, mekanisme serta cara-cara pelaksanaan berkesan bagi mencapai matlamat serampang dua mata dalam DEB perlu dikaji semula walaupun pendekatan DEB itu telah diserap dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN).

''Kita yakin inilah syarat yang utama bagi kita mencapai Wawasan 2020 yang menjadi hasrat dan impian kita bersama,'' katanya.

Pada majlis itu juga Abdullah turut merasmikan Seminar Pembangunan Ekonomi dan Perpaduan Nasional: Realiti, Cabaran dan Harapan serta menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Universiti Malaya dengan CMI bagi membangunkan CEDER.

Universiti Malaya diwakili oleh Naib Canselornya, Tan Sri.Dr. Abdullah Sanusi Ahmad menandatangani MoU itu, manakala CMI oleh Pengarahnya, Dr. Gunnar Sorbo.



Rakyat ingin peringatkan Dato Abdullah Badawi bahawa semua rakyat inginkan keamanan dan kestabilan. Sebagai negara demokrasi pulangkan kepada rakyat untuk menghukum mana-mana kerajaan melalui proses pilihan raya yang adil. Jangan pula berkata hanya kerajaan BN sahaja yang boleh menjamin keamanan.

Perpaduan di kalangan rakyat adalah perlu. Kita tidak mahu peristiwa 13 Mei 1969 terjadi semula. Peristiwa itu terjadi disebabkan parti UMNO/Perikatan yang hampir hilang kuasa. Rakyat telah belajar daripada kesilapan tersebut dan tidak akan terjebak dengannya. Rakyat berharap agar UMNO-BN akan menerima kekalahan nanti secara gentleman.

Rakyat melayu juga mempersoalkan kejayaan DEB. Yang pasti kaya adalah orang-orang UMNO yang segelintir. Kebanyakan rakyat dibebani dengan kemiskinan. Kenaikan harga barang, kadar tol yang tidak munasabah, pengkorporatan IPT dan hospital akan lebih membebankan rakyat.


UMNO tidak upah pihak anjur rusuhan

KUALA LUMPUR 19 April - UMNO tidak pernah mengupah mana-mana pihak untuk mengadakan rusuhan di ibu negara bagi memburuk-burukkan imej parti-parti pembangkang terutamanya parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Sabbaruddin Chik berkata, rusuhan selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan empat kes rasuah, hanya dilakukan oleh penyokong pemimpin terbabit.

Tegas beliau, UMNO juga tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan agar ahli-ahlinya membabitkan diri dalam tindakan liar sedemikian dan jika ada ahli yang terbabit, ia adalah tindakan individu dan tiada kaitan dengan parti.

''Itu (memberi upah agar merusuh) bukan cara kita. Tak mungkin UMNO buat.

''Kalau ada orang bayar pada perusuh, itu bukan UMNO yang bayar, UMNO tak ada duit (untuk berbuat demikian),'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Ali mengenai kemungkinan terdapat pihak tertentu yang mengupah golongan pelajar agar membabitkan diri dalam kejadian rusuhan di ibu negara yang menyaksikan banyak harta benda awam dirosakkan.

Dalam siri perhimpunan haram terbabit, polis menahan 118 orang termasuk 32 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta dua orang pensyarah universiti.

Di samping itu, beberapa kenderaan milik syarikat media seperti Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) turut dirosakkan oleh perusuh.

Menurut Kamaruddin, kejadian rusuhan terbabit yang dikatakan turut melibatkan pelajar yang diupah, masih disiasat polis dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang terlibat sekiranya terbukti ia benar- benar berlaku.

Semalam, Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut menafikan pembabitan ahli-ahli partinya dalam kejadian rusuhan tersebut walaupun Naib Presidennya, Tian Chua ditahan polis dalam rusuhan berkenaan.

Sementara itu Sabbaruddin menambah, sehingga kini ibu pejabat UMNO belum menerima sebarang laporan pembabitan ahlinya dalam rusuhan tersebut termasuk daripada pihak polis.

Jelas beliau, sekiranya terbukti terdapat pembabitan ahli UMNO, tindakan disiplin akan dikenakan ke atas mereka.

Dalam pada itu, Sabbaruddin menjelaskan kejadian rusuhan yang berlaku mirip dilakukan oleh penyokong parti pembangkang berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Ini ditambah pula dengan pengibaran bendera- bendera milik parti pembangkang sepanjang rusuhan itu berlangsung, katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis melahirkan kebimbangannya tentang pembabitan golongan pelajar sekolah dalam rusuhan berkenaan.

Katanya, terdapat dakwaan pihak tertentu yang mengatakan pelajar terbabit didalangi oleh pihak tertentu yang menjadi ketua mereka agar bertindak ganas.

Tegas beliau, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas dalang berkenaan kerana ia boleh merosakkan masa depan pelajar terlibat.



Rakyat tersenyum dengan kata-kata Datok Seri Sabaruddin ini. Takkanlah UMNO hendak memberitahu ahli dan rakyat kalau mereka yang mengupah.

Rakyat bersetuju dengan pandangan Datin Seri Wan Azizah yang menyaran kerajaan supaya menubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk mengetahui sebab sebenar di sebalik kejadian tersebut.

Rakyat amat mual dengan keganasan pihak polis dan keberkesanan Menteri Dalam Negeri dalam isu ini adalah disangsikan.


Najib tidak menolak kemungkinan 'dalang' upah pelajar

JOHOR BAHRU 19 April - Kementerian Pendidikan tidak menolak kemungkinan pelajar yang terbabit dengan rusuhan dan demonstrasi haram di ibu negara baru-baru ini diupah oleh 'dalang-dalang' yang mempunyai kepentingan sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelajar sekolah mudah menjadi sasaran dalang ini kerana mereka tidak pernah berfikir panjang tentang risiko yang bakal dihadapi di kemudian hari.

''Pelajar juga tidak pernah memikirkan tentang kesan buruk yang akan timbul akibat daripada perbuatan itu. Jadi kita memberi amaran tegas kepada semua pihak supaya jangan
memperalatkan pelajar dan memperlekehkan undang-undang negara,'' ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan MS ISO 9000 Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta mendengar taklimat mengenai jabatan itu di sini, hari ini.

Justeru itu beliau menasihatkan ibu bapa pelajar supaya menjaga anak-anak dan mengawasi aktiviti mereka ketika berada di luar sekolah dan tidak terjebak dengan gejala tidak sihat ini.

Sehingga kini, sebanyak 32 pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi ditahan polis kerana terlibat dengan rusuhan sekitar Kuala Lumpur, sejak Rabu lalu.

Tambah Najib, pelajar yang terlibat boleh didakwa mengikut undang-undang serta boleh dikenakan tindakan tatatertib.

''Mereka perlu ingat, antara ketegasan undang-undang yang perlu mereka hadapi ialah digantung atau dibuang sekolah dan lain-lain yang didapati bersesuaian,'' ujar beliau.

Menjawab satu soalan pemberita mengenai penyebaran borang keanggotaan parti pembangkang di sekolah, Najib menjelaskan: ''Guru-guru diminta membuat laporan segera sekiranya terbukti kegiatan itu berlaku di sekolah masing-masing.''



Rakyat berharap agar kerajaan serius dalam menyelesaikan isu tunjuk perasaan ini. Andaian-andaian seperti wujudnya dalang-dalang adalah bukan jalan penyelesaian yang berkesan. Kerajaan disahut menubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk menyelesaikan perkara ini. Rakyat mahu menyaksikan keadilan dijalankan bukan cakap-cakap kosong para  menteri UMNO-BN.

INI MASA MEMASUKI PASARAN
SAHAM

PARA pelabur di pasaran saham kerap mengaitkan kelembapan ekonomi yang berlaku kini adalah selari dengan kejatuhan bursa saham kita, atau dengan lain perkataan, mereka menganggap bursa saham itu sebagai kayu pengukur kepada turun-naiknya ekonomi negara.

Begitulah kedudukan ekonomi kita yang sentiasa diukur oleh mereka dengan kedudukan pelaburan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Walaupun ada pengecualiannya untuk mengaitkan bursa saham dengan kedudukan ekonomi secara keseluruhan, namun BSKL masih dikatakan mempunyai pengaruh besar kepada aliran perniagaan di negara ini.

Sejak seminggu lalu BSKL kembali cergas dan Indeks Kompositnya telah melampaui paras 600 mata seperti yang ditunggu-tunggukan oleh kebanyakan para pelabur. Keyakinan mulai kembali ke pasaran tempatan itu.

Kenaikan yang memberangsangkan itu adalah petanda positif bagi kerancakan proses pemulihan ekonomi negara berikutan daripada beberapa langkah drastik kerajaan seperti kawalan modal dan beberapa tindakan pemulihan yang diperkenal sejak September tahun lalu.

Ada banyak faktor positif lain yang membawa kepada keadaan meningkat bursa itu sejak kebelakangan ini. Selain kemasukan para pelabur asing ke bursa saham tempatan,
penurunan kadar faedah juga merupakan penggerak utama kepada kenaikan harga saham itu.

Langkah Bank Negara menurunkan kadar campur tangan telah mencerahkan peluang kadar inflasi jatuh kepada paras yang rendah antara 3 peratus hingga 3.5 peratus bagi tahun ini. Ini bermakna kos pinjaman bank terus turun dan membolehkan institusi kewangan berkenaan menurunkan lagi kadar pinjaman asas (BLR) mereka.

Keadaan mudah tunai bank-bank itu seterusnya mengurangkan kos pinjaman syarikat dan meningkatkan permintaan peribadi. Perkembangan menarik ini menjadikan syarikat-syarikat lebih berkemampuan membayar hutang dan mengembangkan perniagaan masing-masing yang boleh membawa kepada meningkatkan kegiatan ekonomi negara keseluruhannya.

BLR yang rendah juga merangsangkan bursa saham untuk meningkat terutama kerana ia menjadikan pelaburan saham lebih menarik berbanding simpanan yang dibuat di bank.

Petunjuk-petunjuk ekonomi yang lain juga bertambah baik. Indeks pengeluaran perindustrian Februari telah meningkat, membayangkan permintaan bagi sektor perkilangan kian pulih. Protes-protes jalanan yang berlaku minggu lalu tidak lagi menggugat bursa saham tempatan dan ini membuktikan faktor sedemikian tidak boleh mempengaruhi keyakinan para pelabur.

Keyakinan pihak asing terutama agensi penarafan terhadap negara ini juga turut berubah kepada yang lebih menggalakkan berbanding sebelum ini di mana mereka sentiasa memberikan penilaian yang sebaliknya. Kedudukan ini sudah tentu memulihkan keyakinan pelabur asing serta prospek Malaysia mendapatkan pinjaman luar negara.

Di samping suasana ekonomi global lebih positif, kesemua faktor ini telah menyumbangkan kepada pemulihan bursa saham. Para pelabur hendaklah jangan melepaskan peluang memberikan sokongan untuk memasuki pasaran semasa saham-saham yang tersenarai masih menunjukkan harga menarik.

Bagaimanapun, apa yang kita harapkan supaya kekukuhan pasaran saham kini dapat berkekalan dan terus meningkat di samping mendapat sokongan daripada semua golongan pelabur.

Kita juga mengharapkan kenaikan harga saham sekarang adalah benar-benar berasaskan sokongan kukuh dan bukanlah kenaikan sementara sekadar menunjukkan gambaran menarik tidak tulen.
 

Rakyat jelata telah cukup faham mengenai indeks BSKL ini. Yang mengomong-omongkan kononnya keadaan ekonomi telah pulih dibuat oleh para pemimpin UMNO-BN. Bila indeks naik, mereka kata keadaan ekonomi telah pulih. Bila indeks turun, mereka diam sahaja. Malah ada pula yang menudur pihak asing yang mengspekulasikan pasaran.

Bagi rakyat, kenaikan harga barang, kenaikan bayaran tol dan kenaikan harga rumah murah membebani hidup. Apalah gunanya Menara Kuala Lumpur, Menara Kembar Petronas, Litar F-1 Sepang, Stadium Nasional, Putra Jaya dan banyak lagi projek-projek membazir kerajaan BN bila rakyat dibelenggu kemiskinan.

Sila edarkan kepada umum.