Make your own free website on Tripod.com
 

Isnin, 19 April 1999
 
 
Umno tetap tempat bernaung orang Melayu

Oleh Shamshawal Azraai Ahmad 

        PARTI KeADILan Nasional (KeADILan) yang dilancarkan baru-baru ini  menambah lagi koleksi parti pembangkang negara masa kini. Majlis      pelancarannya di Hotel Renaissance seolah-olah melambangkan betapa bersemangatnya parti itu ke arah membentuk satu kebangkitan yang dijangka        mempunyai potensi untuk mengganggu gugat Barisan Nasional (BN) di dalam pilihan raya akan datang bersama barisan parti pembangkang lain.

        Jika diamati barisan pucuk pimpinan KeADILan, kebanyakannya adalah daripada kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berpuas hati dengan apa        yang berlaku kepada beliau. Jelasnya, penubuhan parti ini adalah satu cara untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri yang baru. Anwar sendiri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bahawa beliau akan menyertai parti KeADILan. 

        Anwar dalam siri ceramah reformasinya sebelum beliau ditangkap dan  dihadapkan ke mahkamah tidak pernah menyatakan Umno bersalah di dalam kes pemecatan beliau, bahkan kasih dan cinta beliau terhadap Umno tidak  pernah berubah walaupun dipecat daripada parti itu. Ini boleh menimbulkan
pelbagai persoalan atau kekeliruan di kalangan rakyat mengenai apa yang berlaku di sebalik tabir penubuhan KeADILan.

        Persoalannya ialah adakah kewujudan KeADILan ini adalah salah satu bentuk reformasi yang mendapat restu Anwar ataupun adakah ia sekadar bermatlamat
untuk menumbangkan BN selepas begitu yakin bahawa pembangkang akan berjaya memerintah Malaysia pada pilihan raya akan datang? 

        Atau Anwar mempunyai serampang dua mata iaitu beliau tidak menyatakan sokongan terbuka kepada KeADILan akan tetapi menumpang tuah parti itu        sekiranya KeADILan menang pada pilihan raya. Atau Anwar berharap kembali ke Umno sekiranya wujud angin perubahan dalam parti itu yang mahukan beliau kembali? Persoalan ini masih belum terjawab dan ia mungkin akan terjawab dalam masa terdekat nanti.

        KeADILan seperti spesies yang sama iaitu Parti Negara cuba menarik minat  rakyat Malaysia yang berbilang kaum menyertainya. Hala tuju parti keADILan masih belum jelas sama ada ia akan mengamalkan demokrasi ala Barat,  'Malaysian Malaysia' ala DAP, negara Islam ala Pas ataupun meniru konsep demokrasi ala BN sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat nanti ataupun hanya bergantung kepada agenda reformasi dan keadilan semata-mata? 

        Ini penting untuk diketahui oleh semua rakyat sebelum mereka mengundi calon KeADILan nanti. Setiap parti mempunyai landasan perjuangan dan jika
KeADILan tiada landasan perjuangan, buat apa mereka berjuang atas semangat reformasi dan keadilan semata-mata sedangkan semua parti di Malaysia juga mempunyai semangat reformasi dan keadilan mengikut amalan masing-masing?

        Kemungkinan besar KeADILan dilihat sebagai sebuah parti yang membela individu tertentu ataupun kerana ingin menunjukkan tanda protes terhadap        Umno/BN atas pelbagai alasan termasuk dipecat keahlian daripada Umno atau kerana tidak berani bersuara ketika berada dalam Umno/BN.

        Laungan reformasi yang dilaungkan oleh Anwar dalam ceramah reformasinya nampaknya disalahertikan dengan mengadakan demonstrasi liar yang akhirnya       menyebabkan berlakunya ketegangan dengan pihak berkuasa. Anwar ketika berceramah tidak pernah menyeru rakyat mengadakan demonstrasi liar. Beliau      tidak pernah menghasut rakyat supaya membenci polis dan paling penting ialah beliau tidak pernah secara terbuka mengatakan undilah pembangkang dalam
pilihan raya umum nanti. Anwar juga tidak pernah mengisytiharkan bahawa beliau sudah membakar jambatan antara dirinya dengan Umno. 

        Laungan reformasi Anwar sebenarnya berbentuk umum dan jika dilihat dalam bentuk yang tersirat ialah beliau mahukan dirinya diterima kembali ke dalam        pangkuan Umno. Namun laungan reformasi beliau seakan-akan tidak disambut oleh Umno terutama Majlis Tertinggi Umno.

        Pemecatan Anwar daripada Umno seperti yang diketahui umum ialah hasil persetujuan sebulat suara Majlis Tertinggi yang hadir pada mesyuarat itu.        Insiden sebegini bukan satu perkara yang luar biasa dalam Umno. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah dipecat menjadi ahli Umno, akan tetapi        beliau diterima semula ke dalam pangkuan Umno. 

        Ketika keahlian Umno beliau dipecat, Dr Mahathir juga pernah berucap di atas pentas pembangkang, akan tetapi beliau tidak menubuhkan parti baru ataupun  memberi sokongan kepada mana-mana parti pembangkang walaupun beliau dipecat.

        Jika Majlis Tertinggi Umno pada masa depan menginginkan Anwar kembali semula dalam bahtera Umno, ia bukan satu perkara mustahil. Ia adalah satu
proses yang biasa dalam politik. Kerjaya politik individu tertentu dalam parti boleh naik atau turun. Jika ada tuah Anwar pada masa depan, beliau mungkin        kembali ke dalam pangkuan Umno dan mungkin menjadi Perdana Menteri.

        Sebenarnya reformasi dan keadilan sudah lama wujud dalam Umno, cuma caranya begitu unik iaitu dengan mematuhi saluran yang betul. Anwar ketika di
dalam Kabinet juga menegaskan mengenai pentingnya mengikut saluran yang betul ketika mengemukakan apa-apa cadangan dan perkara berbangkit di bawa ke dalam mesyuarat parti. Dan jika perubahan yang lebih bermakna perlu dilakukan ia akan diterapkan di dalam pemilihan jawatan tertinggi parti. 

        Inilah reformasi, keadilan dan sudah semestinya demokrasi Umno yang  berteraskan konsep musyawarah atau syura yang dituntut dalam ajaran Islam.  Demokrasi yang diwujudkan dalam Umno begitu unik kadangkala membawa kepada saat kritikal seolah-olah memberi ibarat bahawa Umno akan berkubur buat selamanya.

        Datuk Onn Jaafar, bekas Presiden Umno yang pertama dalam menubuhkan Parti Negara yang berpunca daripada penolakan cadangan beliau agar keahlian Umno dibuka kepada semua kaum. Namun Parti Negara gagal dalam memenangi pilihan raya 1955 dan seterusnya parti itu terkubur begitu saja. 

        Pada 1952, ahli jawatankuasa agama Umno yang tidak berpuas hati dengan penerapan Islam dalam Umno menubuhkan Parti Islam SeMalaya (Pas), juga
gagal membentuk kerajaan Persekutuan hingga sekarang. Ketidakpuasan hati terhadap keputusan pemilihan mesyuarat agung Umno 1987 menyaksikan
Umno diharamkan, menyebabkan tertubuhnya Umno (Baru) yang mewarisi  parti Umno yang diharamkan dan juga Parti Semangat 46 yang juga turut mendakwa berjuang bagi menghidupkan Umno lama. 

        Parti Semangat 46 akhirnya dibubarkan dan ahli-ahlinya diterima kembali masuk ke dalam Umno tanpa sebarang syarat manakala yang terkini ialah Parti  KeADILan yang ditubuhkan atas alasan reformasi dan keadilan.

        Namun sehebat mana badai melanda bahtera Umno, Umno masih tetap menjadi tempat bernaung orang Melayu/Bumiputera. Dalam konteks politik        keseluruhannya, rakyat Malaysia dari zaman merdeka lagi memberi mandat kepada satu perkongsian pintar parti politik yang terkenal dengan nama Barisan        Nasional (dahulunya parti Perikatan) untuk mentadbir negara Malaysia.

        Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat tidak dipersia-siakan oleh Umno/BN di dalam memberi khidmat baktinya kepada negara. Keharmonian kaum yang terjalin rapat pada masa kini selepas tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 adalah hasil benih perpaduan yang disemai oleh kerajaan di bawah pimpinan BN. 

        Kemajuan negara daripada sebuah negara pertanian kepada negara  perindustrian membolehkan Malaysia keluar daripada belenggu kemelesetan        ekonomi pada akhir tahun 70an, pertengahan tahun 80-an berkat kepemimpinan dan dasar yang efisien di bawah kerajaan BN. Taraf hidup masyarakat berjaya ditingkatkan dari masa ke semasa. 

        Dasar Pembangunan Nasional yang menggantikan Dasar Ekonomi Baru juga berjaya mengekalkan rekod pertumbuhan ekonomi negara pada kadar lapan        peratus buat lebih satu dekad dan ini juga adalah hasil dasar yang efisien di bawah kerajaan pimpinan BN.

        Harumnya nama negara di mata dunia dengan kejayaannya di bidang automobil sehingga mampu membeli Lotus Corporation membina lebuh raya di negara  Asia Timur, menyediakan kemudahan prasarana di negara membangun, pelancaran satelit Malaysia, dapat mengendalikan sukan kedua terbesar iaitu  Sukan Komanwel 1998 dengan jayanya sehingga diisytiharkan Sukan Komanwel paling hebat buat abad ini. Rakyat Malaysia berjaya mendarat di Kutub Utara, rakyat Malaysia berjaya mendaki hingga puncak Gunung Everest dan terkini keberanian seorang lagi rakyatnya dengan mengelilingi dunia dengan        membuat pelayaran secara solo. Ini membuktikan kebolehan rakyat Malaysia yang mempunyi semangat patriotisme yang tinggi dan semunya ini adalah hasil    daripada kerjasama rakyat dan keprihatinan kerajaan BN. 

        Kerajaan pimpinan BN juga menitikberatkan semangat kemanusiaan di dalam usahanya memberi bantuan kepada rakyat yang menjadi mangsa bencana tanpa mengira kaum, fahaman agama dan politik seperti membantu mangsa wabak Japanese Encephalitis (JE) yang melanda negara. Keajaan Persekutuan di        bawah pimpinan BN bersetuju pada dasarnya memberi bantuan pinjaman mudah-tunai (soft-loan) kepada Kerajaan Kelantan bagi mengatasi krisis air  yang melanda negeri itu. Ini sekali gus membuktikan kerajaan BN mengamalkan keadilan tanpa mengira kaum, fahaman agama dan politik. Jika kita lihat di negeri yang dipimpin oleh BN, semua rakyat mendapat peluang        mencari rezeki dan mengecapi kehidupan yang lebih selesa, adakah peluang yang sama diberikan kepada penyokong BN oleh pentadbiran Pas di Kelantan? Di Malaysia, BN berjaya menjadikan rakyat Malaysia mengecapi  kesenangan hidup, keharmonian kaum dan yang paling bermakna sekali ialah Malaysia kini ialah sebuah negara yang dikenali dunia dengan kebolehan   rakyatnya memajukan negara mereka sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan negara asing. Dan, Malaysia juga adalah negara yang paling        lantang membela nasib negara membangun hingga menyebabkan kita dicemburui oleh negara maju yang irihati dengan kecemerlangan Malaysia dari semua segi.

        Nikmat yang dikurniakan kepada Malaysia di bawah kepemimpinan BN buat sekian lama janganlah dipersia-siakan dengan mengambil risiko mengundi parti pembangkang pada pilihan raya akan datang. Tidak ada sebab orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya mengundi parti lain selain Umno/BN
yang sudah sekian lama menabur bakti membawa kemajuan, keamanan dan kestabilan buat diri mereka, keluarga mereka dan juga negara tercinta.
 
Janganlah kerana ketidakstabilan ekonomi, wabak penyakit dan sentimen politik yang bersifat sementara ini rakyat Malaysia bertukar arah kepada      pembangkang. Sejarah membuktikan gabungan politik pembangkang sukar  mencapai persefahaman antara satu sama lain, dan sekiranya terdapat parti        pembangkang berjaya memenangi sebilangan besar kerusi di dalam pilihan raya walaupun gagal memperolehi majoriti dua pertiga ianya akan menyebabkan ketidakstabilan kaum dan menggugat kestabilan negara sehingga darurat diisytiharkan. 

        Kestabilan politik menyumbangkan kepada kestabilan negara. Kestabilan politik tidak akan tercapai sekiranya tidak parti politik yang dominan menguasai
sesebuah negara. Ambillah iktibar daripada ketidakstabilan negara yang berlaku terhadap negara jiran di sekeliling kita dalam rantau Asean mahupun        Asia. Ia berpunca daripada ketidakstabilan politik disebabkan tiada lagi wujud parti yang dominan yang dapat menyatupadukan rakyat negaranya. Menafikan
majoriti dua pertiga BN di dalam pilihan raya umum adalah satu risiko yang  tinggi yang diambil oleh rakyat Malaysia dan keputusan yang bijak ialah        mengekalkan status quo yang ada (iaitu dengan memberikan kepercayaan dan sokongan yang sepenuhnya kepada BN memerintah negara) demi        kesejahteraan negara tercinta.

        Malaysia boleh terus cemerlang dan akan terus cemerlang di bawah kepemimpinan BN sekiranya parti itu terus diberi mandat memerintah negara
        buat selamanya.

 

Ini adalah satu usaha akhbar ini untuk memesong minda rakyat terhadap isu-su semasa di negara kita.

Rakyatlah yang akan menjadi menentu dan hakim terhadap prestasi kerajaan yang sedia ada.

Penulis tidak meliputi beberapa aspek dalam penulisannya seperti perkara kezaliman dan penyalahgunaan kuasa,, projek-projek mega yang telah menggawatkan ekonomi negara dan juga kegagalan kerajaan dalam mewujudkan pembangunan yang seimbang.

Juga kegagalan kerajaan dalam dasar-dasar pertanian dan pendidikan yang menggawatkan rakyat.

Rakyat telah bersedia untuk menghukum kerajaan BN kerana kegagalan mereka dalam 40 tahun pemerintahan UMNO selama ini. 

Hanya dengan kerajaan alternatif sahaja, akan terbongkar segala penyelewengan.

Media asing ada muslihat tersendiri

Bingkisan dari London 

        SEPERTI yang sudah dijangkakan, keputusan perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat liputan meluas        daripada kalangan media asing, terutama yang berpangkalan di sini. 

        Sepanjang minggu lalu, boleh dikatakan tiada hari yang berlalu tanpa berita mengenai kes perbicaraan Anwar. Daripada yang memetik sumber tidak        diketahui, sehinggalah kepada tokoh terkemuka, media di sini jelas amat berminat dengan isu itu.

        Bagaimanapun, untuk mengatakan media di sini terlalu berminat dengan perjalanan kes perbicaraan paling panjang dalam sejarah Malaysia itu mungkin        kurang tepat. 

        Ini kerana, tumpuan yang diberikan sebenarnya bukanlah terhadap perbicaraan berkenaan, malah lebih menjurus kepada orang yang dibicarakan. Tidak        hairanlah jika apa saja yang dikatakan tertuduh - dalam kes ini Anwar - sentiasa disiarkan sebagai bahan utama manakala butiran hujah pihak pembela dan pendakwa di mahkamah langsung tidak mendapat perhatian.

        Sesuatu yang dapat dilihat dalam meneliti laporan media di sini berhubung kes itu ialah sikap biadap mereka terhadap Malaysia. Membaca laporan itu, tidak
keterlaluan jika kita membuat kesimpulan bahawa media di sini langsung tidak mempunyai rasa hormat terhadap sistem kehakiman dan institusi mahkamah di negara kita.

        Kebanyakan laporan yang ditulis, jelas boleh dikategorikan sebagai menghina mahkamah malah pada satu ketika, sebuah akhbar menyiarkan ramalannya        mengenai keputusan mahkamah terhadap Anwar!

        Sebenarnya, minat mendalam yang diberikan media asing khususnya di sini terhadap Anwar bukanlah sesuatu yang pelik tetapi yang aneh ialah mengapa        wujud kecenderungan untuk mereka mempertikaikan kredibiliti sistem undang-undang di Malaysia yang secara jelas diambil dan disesuaikan daripada        sistem yang diterima pakai di sini.

        Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap bukan satu atau dua institusi dan tokoh politik tetapi semuanya dibuat tanpa sokongan bukti atau hujah yang cukup kuat untuk menyokongnya.

        Berbeza dengan slogan kewartawanan berwibawa yang dilaungkan media di sini, tahap profesionalisme dan kredibiliti mereka sering boleh dipertikaikan.

        Bukanlah kita berpendirian bahawa Malaysia tidak boleh dikritik tetapi jika setiap sesuatu yang dilakukan berhubung kes Anwar dianggap salah, di mana        lojiknya kritikan itu? 

        Di sebalik kritikan membina yang kita harapkan, apa yang dicanangkan media di sini lebih menjurus kepada tohmahan yang didorong nafsu jahat untuk melihat  kemakmuran tanah air kita hancur.

        Sesuatu yang mungkin sukar difahami sesiapa dalam perkara ini ialah bagaimana media asing boleh terdorong untuk melaporkan kes perbicaraan
Anwar daripada perspektif berat sebelah. 

        Rencana dan artikel yang disiarkan tidak pernah mengupas persoalan mengenai rasional di sebalik kes berkenaan, sebaliknya semuanya ditulis dengan
tanggapan bahawa berlaku satu penganiayaan terhadap yang tertuduh. 

        Anehnya, bagaimana semua institusi media di sini, atau mungkin di negara asing  lain, boleh mempunyai pendirian yang sama serta serupa berhubung kes ini.

        Membuktikan pendapat sedemikian sebenarnya tidak sukar. Dalam setiap laporan yang disiarkan, sikap berat sebelah media asing amat ketara sekali. Tiada yang melaporkan kes itu secara objektif. Yang jelas, di setiap ruang,  peluang untuk menghentam Malaysia dengan pelbagai tuduhan, dipergunakan        sepenuhnya sehingga tiada langsung wujud forum untuk mengajak masyarakat  pembaca menilai dan membuat keputusan sendiri mengenai sejauh mana benar atau palsunya dakwaan atau tuduhan yang diketengahkan mereka. 

        Tidak cukup dengan apa yang berlaku diperbesar-besarkan, ia ditambah pula dengan tuduhan dan tohmahan yang tidak disokong sebarang bukti atau penjelasan.

        Contoh yang baik bagi perkara ini ialah ketika hari Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Anwar, apa yang dilaporkan media di sini ialah kenyataan
beliau mencaci-cela institusi mahkamah di Malaysia manakala kesimpulan yang dibacakan oleh Hakim, Datuk Augustine Paul, langsung tidak mendapat        tempat. 

        Kenyataan daripada pihak pendakwa juga langsung diketepikan manakala suara tidak puas hati pembela kononnya hukuman yang dikenakan itu        keterlaluan dicetak dengan huruf tebal.

        Melihat kepada momentum dan minat tinggi yang ditunjukkan oleh media di sini terhadap isu itu, besar kemungkinan ia akan terus mengisi halaman akhbar dan
segmen berita untuk beberapa ketika lagi. 

        Namun, persoalan besar yang masih menghantui kebanyakan pemerhati yang bersifat berkecuali di sini ialah apakah punca sehingga dalam kes ini, media        asing amat bersatu hati untuk mempertikaikan apa saja yang dilakukan Malaysia. 

        Mereka masih tertanya-tanya adakah ia ada kena-mengena dengan sistem mahkamah, tokoh politik tertentu atau tertuduh yang kini sudah didapati        bersalah. 
 

Berbanding dengan media asing, media-media tempatan mempunyai agenda yang lebih jahat. Tajuk-tajuk akhbar dan pendekatan laporan mereka terhadap perjalanan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu berat sebelah sekali. Perkara kecil diperbesarkan dan perkara besar diperkecilkan.

Rakyat tidak mengatakan bahawa laporan-laporan media asing semua benar. Namun keseluruhannya laporan media-media asing lagi tepat dan saksama.

Rakyat telah memandangkan kepada berita-berita dari Harakah dan internet untuk mendapat maklumat yang lebih tepat dan saksama.


Dua pegawai polis cedera dirempuh perusuh

KUALA LUMPUR, Ahad - Dua  pegawai polis cedera dirempuh lima  penunggang motosikal termasuk dua       pelajar, sewaktu cuba menyuraikan                      perhimpunan haram di Kampung                                  Baru dekat sini, malam tadi.

                                        Dalam kejadian kira-kira jam 10
        malam itu, Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Mohd Khasni
        Mohd Noor dan seorang sarjan mejar dari balai berkenaan, dikatakan
        tercampak menyebabkan kedua-duanya cedera ringan di kaki dan tangan.

        Berikutan kejadian itu, polis menahan dua pelajar dan seorang jurutera berusia
        35 tahun manakala dua lagi dapat melarikan diri.

        Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Bakri Zinin,
        berkata pelajar berusia 15 dan 17 tahun itu dari Sekolah Menengah Maxwell
        dan Sekolah Menengah Titiwangsa di sini manakala jurutera berkenaan bekerja
        di sebuah syarikat di Subang Jaya.

        Menurutnya, polis masih menyiasat kejadian itu sebelum mendakwa ketiga-tiga
        penunggang terbabit.

        Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamarudin Md Ali, berkata
        polis tidak menolak kemungkinan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi
        (IPT) diupah untuk menyertai perhimpunan haram dan merusuh di sekitar ibu
        negara sejak Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara terhadap Datuk
        Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu.

        Sehingga kini, katanya, 32 pelajar ditahan kerana merusuh dan menyertai
        perhimpunan haram. Dalam kejadian semalam, polis turut merampas beberapa
        barangan yang dijadikan senjata, termasuk lastik, gunting, guli serta minyak
        petrol.

        "Polis menerima maklumat bahawa sesetengah pelajar diupah untuk menyertai
        perhimpunan dan merusuh, tetapi kita masih menyiasat," katanya kepada
        pemberita pada majlis Hari Keluarga anjuran Ibu Pejabat Kontinjen Kuala
        Lumpur di Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.

        Menurutnya, pihaknya juga memandang serius penemuan beberapa barangan
        yang digunakan sebagai senjata untuk merusuh dan menyertai perhimpunan
        haram kerana keadaan itu boleh menimbulkan kegelisahan orang ramai.

        Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama pelbagai pihak termasuk guru, ibu
        bapa, pensyarah dan orang ramai untuk mengelakkan kejadian itu berleluasa.

        "Tindakan menahan pelajar itu tidak akan menyelesaikan masalah dan kita akan
        merujuk pihak sekolah dan IPT terbabit untuk sama-sama menanganinya," kata
        beliau.

        Beliau berkata polis sedia mengadakan ceramah di sekolah dan IPT untuk
        memberi penjelasan mengenai bahaya menyertai perhimpunan haram dan
        rusuhan, tetapi dalam keadaan sekarang tumpuan akan diberi bagi
        menyelesaikan kes itu berikutan penemuan senjata dalam kejadian semalam.

        Mengenai laporan media asing berhubung tindakan polis menyembur air ke atas
        pelancong asing ketika menyuraikan kumpulan reformasi di Jalan Bukit Bintang,
        semalam, Kamarudin berkata:

        "Tindakan itu tidak disengajakan dan secara kebetulan pelancong berada di
        kawasan itu ketika polis bertindak menyuraikan kira-kira 500 hingga 800
        orang yang terbabit dalam perhimpunan haram," katanya.

        Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),
        Datuk Nordin Abdul Razak, berkata DBKL belum menilai kerugian yang
        dialami akibat rusuhan penyokong reformasi.

        "Banyak kerosakan berlaku, iaitu tong sampah dimusnahkan, lampu isyarat
        rosak dan pembuangan sampah di merata kawasan seperti di Jalan Pudu, Jalan
        Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman, tetapi jumlah kerugian belum
        diketahui," katanya.
 

Rakyat tidak terkeliru dengan gambaran yang diberikan oleh pihak polis dan laporan-laporan media tempatan. Apabila keadaan menjadi tidak terkawal disebabkan pendekatan polis yang provokatif dan tidak bijaksana maka inilah yang ditempah. 

Berbanding dengan kecederaan pihak polis, lebih ramai lagi rakyat yang dicederakan. Keganasan polis telah menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.

Usah rosak masa depan

                                            KUALA LUMPUR, Ahad -
                                            Datuk Seri Dr Mahathir
                                            Mohamad berkata, tindakan
                                            pelajar menyertai penyokong
                                            reformasi dalam perhimpunan
                                            haram dan rusuhan di sekitar
                                            ibu kota, bukan saja
                                            merosakkan imej negara,
                                            malah menjejaskan masa
                                            depan mereka.

                                            Menurut Perdana Menteri,
        pelajar sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak terbabit
        dalam tunjuk perasaan kerana perbuatan itu tidak memberi sebarang manfaat.

        "Saya berasa amat sedih kerana sepatutnya mereka tumpukan kepada
        pelajaran kerana kita nak rakyat di masa depan lebih terpelajar, tetapi mereka
        membazirkan masa dengan kegiatan yang tidak akan datang apa-apa manfaat.

        "Kalau di dalam negara, kita tak hormati undang-undang dan sistem
        perundangan mahkamah, kita semua akan menderita kerana kalau semua orang
        bertindak melanggar undang-undang mereka juga yang akan jadi mangsa,"
        katanya selepas melawat Muzium Kesenian Islam (MKI) di sini, hari ini
        (gambar).

        Dr Mahathir yang dalam cuti rehat selepas menjalani rawatan di Institut Jantung
        Negara (IJN) kerana jangkitan paru-paru, tiba di muzium itu pada jam 9.30
        pagi dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda.

        Sempena lawatan itu, Perdana Menteri turut menerima cenderamata berbentuk
        buku daripada Pengerusi Eksekutif Yayasan Al-Bukhary, Datuk Syed
        Mokhtar Al-Bukhary serta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Beit al-Quran di
        Bahrain, Dr Abdul Latif Jassim Kanoo. Hadir sama, Pengarah MKI, Syed
        Muhammad Al-Bukhary.

        Perdana Menteri yang ditemui pemberita selepas lawatan kira-kira sejam itu,
        berkata pihak tertentu mengambil peluang mengadakan tunjuk perasaan
        semata-mata untuk menjejaskan keamanan yang dinikmati rakyat sekarang,
        sekali gus merosakkan imej negara.

        Ini adalah kenyataan pertama Dr Mahathir mengenai tunjuk perasaan dan
        rusuhan yang dicetuskan penyokong reformasi sejak beberapa hari lalu
        berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam
        tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas didapati bersalah terhadap
        empat tuduhan rasuah, Rabu lalu.

        Sehingga kini, polis menahan 118 orang termasuk 32 pelajar yang terbabit
        dalam rusuhan itu. Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai
        digunakan sebagai senjata dalam rusuhan berkenaan.

        Mengenai penafian beberapa pemimpin parti pembangkang seperti Pas dan
        Parti KeADILan Nasional berhubung pembabitan mereka dalam rusuhan itu,
        Dr Mahathir berkata:

        "Walaupun mereka menafikan tetapi tidak dapat tidak kita lihat bendera Pas
        dibawa dan orang yang nampak macam penyokong Pas ada sama, demikian
        juga dengan KeADILan.

        "Walaupun mereka nafi tetapi mereka kata di mulut saja, sebenarnya mereka
        memberi semangat kepada mereka yang terbabit dengan rusuhan untuk
        membuat tindakan yang tidak senonoh," katanya.

        Dr Mahathir turut menyelar sesetengah pemimpin negara asing yang sekali lagi
        cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia, termasuk mempertikaikan
        keputusan hukuman penjara enam tahun terhadap Anwar.

        Menurut Perdana Menteri, pemimpin terbabit sepatutnya melihat keadaan di
        dalam negara mereka sendiri yang banyak berlaku ketidakadilan, penipuan dan
        menteri yang terbabit dengan rasuah.

        Beliau berkata, mereka secara jelas sehingga hari ini melakukan ketidakadilan
        terhadap golongan yang bukan kulit putih, termasuk masyarakat kulit hitam dan
        Orang Asli.

        Dr Mahathir memberi contoh, baru-baru ini di New York dan London, orang
        kulit hitam dibunuh polis secara tersusun dan begitu juga peristiwa anak Orang
        Asli di Australia diasingkan daripada ibu bapa mereka.

        "Semua ini menunjukkan bahawa pemerintahan kulit putih ini adalah
        pemerintahan perkauman dan mereka membuat komen ini kerana mereka
        mempunyai perasaan perkauman yang menidakkan kebolehan orang yang
        bukan kulit putih mengamalkan cara yang adil dan saksama," katanya.
 

Rakyatlah menentukan masa depan masyarakat dan negara. Dr, Mahathir usahlah menyalahkan para penyokong reformasi kerana hakikatnya negara jadi begini adalah disebabkan pemerintahan beliau yang zalim dan rakus.

Rakyat sekarang telah terjaga dari tidurnya.

Mahathir anggap Fadzil tidak adil

        KUALA LUMPUR, Ahad - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan
        cemuhan Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor, terhadap Datuk Seri Abdullah
        Ahmad Badawi, yang dikaitkan dengan penjaga babi sebagai tidak adil.

        "Amat tidak adil menyebut dia (Abdullah) menjadi penjaga babi dan juga tidak
        adil kepada saya kerana saya yang melantiknya.

        "Kalau kata dia dilantik sebagai penjaga babi, bermakna saya lantik dia jadi
        penjaga babi dan ini menghina saya dan juga orang lain," kata Perdana Menteri.

        Dr Mahathir menjelaskan timbalannya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa
        Kabinet Mengenai Wabak Japanese Encephalitis (JE) bagi menyelaraskan
        beberapa kementerian dalam usaha mencegah wabak JE demi keselamatan
        dan kesihatan rakyat.

        Justeru, tegas Perdana Menteri, fungsi jawatankuasa itu bukan untuk menjaga
        babi, tetapi mencari jalan mencegah wabak JE yang disebarkan daripada
        haiwan itu menerusi nyamuk Culex.

        Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil kira segala bentuk tindakan
        termasuk menghapuskan babi di beberapa ladang di seluruh negara bagi
        memastikan wabak itu tidak terus merebak.

        "Kita bukan saja membunuh babi, tetapi nyamuk kita bunuh juga dan kita perlu
        jaga keselamatan dan kesihatan rakyat. Jadi, tugas Abdullah bukannya menjaga
        babi," katanya selepas melawat Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

        Beliau mengulas kenyataan Fadzil yang mengaitkan nama keluarga Abdullah
        dengan penjagaan babi, baru-baru ini.

        Fadzil pada perhimpunan Aidiladha di pekarangan rumah Datuk Seri Anwar
        Ibrahim, di Cherok Tok Kun 29 Mac lalu, didakwa berkata: "Abdullah
        Badawi, satu-satunya Badwi Malaysia. Di Arab, kaum Badwi jaga unta dan
        kambing, tetapi di Malaysia badwi jaga babi."

        Kenyataan Fadzil itu menerima kecaman pelbagai pihak, malah Abdullah
        menganggap kenyataan berkenaan bertujuan menghinanya.

        Menurut Abdullah, cara Fadzil mengaitkan peribadinya dengan babi juga tidak
        sesuai dilakukan seorang pemimpin Islam serta menyifatkannya sebagai cubaan
        untuk mempolitikkan isu wabak JE dan virus Nipah.
 

Rakyat rasa mual dan jelek apabila Dr. Mahathir membangkitkan isu tidak adil. Pemimpin yang zalim tidak mengerti apa maksud keadilan yang sebenar.

Keadilan dituntut setiap masa dan pemimpin yang zalim akan menerima hukuman dari rakyat.


Segerakan tindakan ke atas pelajar: Najib

        PEKAN, Ahad - Kementerian Pendidikan akan menyerahkan segera senarai
        nama pelajar yang terbabit dalam rusuhan dan perhimpunan haram di ibu kota,
        kepada universiti berkaitan supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin.

        Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata kementerian tidak
        mahu tindakan ke atas pelajar berkenaan dilengah-lengahkan kerana banyak
        amaran sudah diberi sebelum ini, tetapi golongan berkenaan masih tidak
        mengendahkannya.

        Sehubungan itu, katanya, Lembaga Tatatertib universiti berkenaan perlu
        bersidang sebaik menerima senarai nama pelajar terbabit dan menentukan
        hukuman bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan, termasuk dipecat atau
        digantung pengajian serta didenda.

        Menurutnya, walaupun pelajar terbabit dibenar membela diri, mereka tidak
        boleh menggunakan alasan dihasut pihak tertentu atau ada dalang di sebalik
        kegiatan itu untuk mengelak dikenakan tindakan.

        Katanya, pelajar terbabit perlu sanggup menerima sebarang tindakan yang
        akan dikenakan kerana undang-undang secara jelas melarang kegiatan
        seumpama itu.

        "Saya masih menunggu laporan polis berhubung penahanan pelajar dalam
        rusuhan itu dan akan menyerahkan senarai nama itu kepada universiti bagi
        membolehkan Lembaga Tatatertib bersidang segera.

        "Mereka dibenar membela diri tetapi kita sudah memberi amaran secukupnya.
        Jadi, pelajar tidak boleh menyalahkan sesiapa jika dikenakan tindakan
        tatatertib.

        "Pelajar yang dikenakan tindakan, boleh merayu semula tetapi tindakan
        termasuk memecat mereka perlu diambil terlebih dahulu," katanya selepas
        melancarkan majlis Khidmat Masyarakat anjuran Persatuan Mahasiswa
        Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) di sini, hari ini.

        Sehingga kini, 32 pelajar ditahan kerana merusuh dan menyertai perhimpunan
        haram di ibu kota. Dalam kejadian semalam, polis turut merampas beberapa
        barangan yang dijadikan senjata, termasuk lastik, gunting, guli serta minyak
        petrol.

        Najib berkata, pelajar yang menyertai rusuhan itu membabitkan individu atau
        kumpulan kecil tanpa penyertaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

        Katanya, kementerian yakin kumpulan pelajar berkenaan dihasut atau didalangi
        pihak tertentu, malah ada laporan mengatakan mereka mendapat upah kerana
        terbabit dalam kegiatan itu.

        Mengenai pelajar sekolah yang turut terbabit dalam rusuhan itu, Najib berkata,
        setakat ini bentuk tindakan tatatertib ke atas mereka belum ditentukan.

        "Saya perlu meneliti senarai nama mereka yang terbabit. Tindakan tatatertib
        perlu diambil tetapi jenis tindakan yang sesuai akan difikirkan kemudian.

        "Pelajar yang dikenakan tindakan boleh merayu tetapi mereka perlu berunding
        dengan sekolah dan Jabatan Pendidikan negeri," katanya.

        Ketika merasmikan Program Motivasi Pendidikan Nasional (PMPN) peringkat
        Parlimen Pekan di sini petang semalam, Najib menasihatkan pelajar supaya
        mengelak daripada menyertai rusuhan atau demonstrasi ganas yang boleh
        membawa huru-hara kepada negara.

        Beliau berkata, pelajar perlu mematuhi undang-undang atau terpaksa menerima
        tindakan undang-undang atas perbuatan itu.

        "Negara kita ada undang-undang, Jika tak patuh undang-undang, itu tidak betul
        dan tidak baik. Mana-mana negara dan masyarakat mesti ada undang-undang.

        "Pelajar-pelajar pun perlu patuh kepada undang-undang. Kalau berdemonstrasi
        secara ganas, mereka kena terima kenyataan untuk didakwa di atas perbuatan
        yang dilakukan," katanya.

        Menurut Najib, kerajaan mempunyai cara untuk membuat perubahan, menukar
        dasar dan membuat undang-undang baru untuk memastikan keamanan terus
        kekal.

        Justeru, beliau mengingatkan pelajar supaya menggunakan kebijaksanaan dan
        kepemimpinan ke arah kebaikan.

        "Itulah sebabnya ilmu dan takwa itu mesti ada bersama. Jika kita belajar,
        nampak orang berdemonstrasi, kita ikut sama, kemudian kena cekup polis,
        akhirnya masa depan gelap," katanya.

        Beliau berharap pelajar dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajaran dan
        menyertai kegiatan yang boleh membentuk nilai pemikiran yang baik.
 

Sungguh aneh apabila memikirkan  pendirian Dato Najib dalam hal ini sedangkan pelbagai isu yang melibatkan pendidikan tidak ditangani dengan baik. Beliau hanya menggunakan jawatan ini untuk mendapat political mileage sahaja dan dasar-dasar pendidikan di zaman beliau jauh tersasar daripada kepentingan bangsa melayu.

Rakyat telah mual dengan kepimpinan Dato Najib sebagai menteri pendidikan.

Sila edarkan kepada umum.