Make your own free website on Tripod.com

Isnin, 19 April 1999
 
 
PM: Rakyat menderita - Jika tidak
menghormati mahkamah dan rusuhan
berpanjangan

KUALA LUMPUR 18 April - Negara akan hancur dan
rakyat akan menderita jika mereka mengambil tindakan
tidak menghormati mahkamah dan melanggar
undang-undang dengan melakukan rusuhan secara
berterusan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad.

Beliau yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu 'pertunjukan' bagi merosakkan imej diri sendiri dan negara berkata, golongan itu berbuat demikian untuk mengambil peluang daripada keinginan majoriti rakyat yang mahukan keamanan.

Sehubungan itu, tegas beliau, parti Keadilan Nasional
(Keadilan) bertanggungjawab memberi semangat kepada golongan itu melakukan tindakan yang tidak senonoh sejak kebelakangan ini.

''Jika kita terus tidak menghormati sistem perundangan dan mahkamah, kita semua akan menderita. Kalau semua orang tidak menghormati mahkamah dan melanggar undang-undang, mereka juga akan menjadi mangsa,'' katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan peribadi ke Muzium Kesenian Islam Malaysia di Jalan Lembah Perdana di sini, tengah hari ini.

Inilah kali pertama Dr. Mahathir bercakap kepada
pemberita sejak dibenarkan keluar dari Institut Jantung
Negara (IJN) minggu lalu dan berehat di rumah selepas
pulih daripada penyakit jangkitan paru-paru.

Semalam polis memberkas 91 orang penyokong Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan merampas pelbagai barangan
yang boleh dijadikan senjata untuk merusuh di ibu negara.

Dua daripada mereka adalah pensyarah institusi pengajian tinggi tempatan dan 30 pelajar manakala bakinya ialah kakitangan kerajaan, swasta dan penganggur.

Rabu lalu, para penyokong Anwar merusuh dan bertindak ganas dengan membaling objek seperti batu, besi dan kayu, membakar di tengah-tengah jalan serta merosakkan harta benda awam setelah Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu setelah didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

Dr. Mahathir menegaskan, walaupun parti Pas dan parti
Keadilan menegaskan ia tidak terlibat secara langsung
dengan rusuhan berkenaan, hakikatnya mereka
sememangnya bertanggungjawab.

''Walaupun menafikan yang mereka terlibat, tidak dapat
tidak mereka terlibat, sebab bendera Pas pun dibawa oleh orang macam penyokong Pas yang ada di sana,'' tegasnya.

Beliau menambah: ''Demikian juga dengan Keadilan,
walaupun menafikan ada terlibat, itu dia kata. Sebenarnya mereka yang memberikan semangat untuk buat tindakan tidak senonoh.''

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, parti Keadilan perlu membuktikan perusuh itu benar-benar bukan ahli merekameskipun parti itu menafikannya.

Dalam hubungan ini Dr. Mahathir seterusnya mengingatkan golongan pelajar di negara ini supaya tidak melakukan rusuhan kerana ia hanya merugikan diri sendiri serta negara.

Beliau berkata, sebagai golongan terpelajar mereka tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia hanya merosakkan imej mereka dan negara.

''Saya nak ingatkan bahawa tindakan mereka itu hanya
membazir masa dan tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada sesiapa pun,'' ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan beberapa pemimpin asing
termasuk Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore,
mengkritik keputusan mahkamah, Dr. Mahathir
menegaskan, mereka sengaja hendak
merendah-rendahkan sistem keadilan yang berjaya
ditegakkan di negara ini.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin negara terbabit perlu melihat dahulu keadaan dalam negara sendiri sebelum bertindak mengkritik sistem mahkamah dan perundangan negara ini.

Menurut beliau, ini kerana di negara-negara berkenaan,
ketidakadilan dan penipuan memang sentiasa berlaku
manakala menteri-menterinya terlibat dengan rasuah.

''Kalau kena pada orang bukan kulit putih mereka kata tak adil pada hal ini ketara di New York di mana orang kulit hitam dibunuh oleh polis.

''Di London orang kulit hitam dibunuh oleh polis secara
tersusun. Di Australia pula, anak-anak orang penduduk
asal Australia diasingkan daripada ibu bapa mereka,'' tegas beliau.

Baru-baru ini Al Gore menyifatkan hukuman penjara enam tahun ke atas Anwar sebagai perkembangan yang akan menjejaskan kelancaran program pemulihan ekonomi dan politik Malaysia.

Pemimpin nombor dua kuasa besar dunia itu pernah
bersikap biadab semasa berucap pada majlis makan
malam sidang kemuncak forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di ibu negara tahun lalu dengan
mengeluarkan kenyataan menyokong gerakan reformasi negara ini. 

Rakyat bersyukur kerana Dr. Mahathir telah nampak sihat.  Sebagaimana biasa beliau masih menunjukkan sifat angkuh terhadap kritikan-kritikan luar.

Kita mencabar Dr. Mahathir supaya mengadakan pilihanraya dengan segera untuk memastikan samada BN akan terus berkuasa di Malaysia atau tidak. Kita telah mual dengan kepimpinan BN di bawah Dr. Mahathir dan mahkamah rakyat akan mengadili kredibiliti kerajaan yang ternyata zalim ini.


Fadzil tidak adil kaitkan Abdullah dengan
babi

KUALA LUMPUR 18 April - Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan
Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor mengaitkan nama Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan babi sebagai tidak
adil.

Katanya, ini kerana beliau sendiri yang melantik Timbalan Perdana Menteri itu mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet bagi Menangani Wabak Japanese Encephalitis (JE).

''Dakwaan Pas bahawa Abdullah menjadi penjaga babi
amat mengejutkan.

''Ini kerana saya yang melantik dia mengetuai jawatankuasa itu. Ini bermakna ia menghina saya dan orang lain (dalam jawatankuasa itu),'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas
mengadakan lawatan peribadi ke Muzium Kesenian Islam Malaysia di Jalan Lembah Perdana di sini, hari ini.

Baru-baru ini, kenyataan Fadzil dalam ceramah politiknya di Cheruk Tok Kun, Seberang Perai, bahawa 'Badwi di Mekah menjaga kambing dan unta tetapi Badawi di Malaysia menjaga babi' telah menimbulkan kemarahan segenap lapisan rakyat negara ini termasuk kalangan pemimpin DAP.

Pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen baru-baru ini,
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Nazri Tan Sri Aziz
meminta Pas berhenti mencari alasan kononnya kenyataan presiden parti itu yang mengaitkan nama keluarga Timbalan Perdana Menteri dengan penjagaan babi bukan satu penghinaan.

Dr. Mahathir menjelaskan, Pas patut sedar bahawa tugas yang diberikan kepada Abdullah adalah berkaitan dengan usaha-usaha untuk mencegah penyakit JE yang berpunca dari nyamuk dan babi.

Beliau berkata, tugas Abdullah juga untuk menjamin
keselamatan dan kesihatan rakyat negara ini.

''Segala tindakan perlu diambil kira. Jadi kita bukan setakat bunuh babi sahaja, malah nyamuk pun kita bunuh,'' ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, apabila Abdullah dilantik
mengetuai jawatankuasa itu, beliau bertanggungjawab
menyelaras tugas semua kementerian berkaitan untuk
mencegah wabak JE secara bersepadu.

''Itu sebenarnya tugas Abdullah, bukannya jaga babi,''
ujarnya.
 

Sekali lagi kita lihat betapa jumudnya pemikiran Dr. Mahathir dalam isu JE. Yang jelas dia juga seperti Datuk Seri Abadullah Badawi rasa terhina. Ini semua gara-gara orang-orang yang ternyata telah lebih usia yang terlalu sensitif. Pokok pangkalnya di sini ADA orang lain yang bukan Islam yang boleh buat kerja itu.

Kesimpulannya Dr. Mahathir dan Datuk Dollah lah yang menghina diri masing- masing.


Polis siasat dalang upah pelajar merusuh

KUALA LUMPUR 18 April - Polis sedang menyiasat
laporan terdapatnya 'orang-orang tertentu' yang menjadi dalang mengupah para pelajar supaya merusuh pada beberapa siri perhimpunan haram di sekitar ibu negara sejak 13 April lalu.

Ini berikutan tertangkapnya 32 pelajar sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi dan dua pensyarah universiti yang didapati terlibat dalam kejadian tersebut sejak keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu lalu.

Polis sehingga hari ini telah menahan seramai 118 orang kerana terlibat dalam perhimpunan haram itu dan
merampas barang-barang seperti peralatan membuat bom buatan sendiri yang dijadikan bahan senjata ketika
merusuh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Ali
berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pelajar yang ditahan dan mendapatkan kerjasama daripada pihak pentadbiran sekolah dan institut pengajian tinggi untuk mengesan kebenaran laporan itu.

Menurut Kamaruddin, selain itu pihaknya juga sedang
bekerjasama dengan pihak pentadbiran untuk mencegah kegiatan pelajar-pelajar ini.

Beliau berkata, polis akan membawa perkara ini kepada
Jawatankuasa Permuafakatan Kementerian Pendidikan untuk menangani perkara ini.

''Kita ada terima laporan mereka ini diupah dan kita
sedang siasat siapa yang terlibat dan akan siasat perkara ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

''Tetapi kegiatan para pelajar ini masih terkawal. Kita juga akan bergerak ke sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mengadakan ceramah kesedaran bagi mencegah penglibatan mereka dalam sebarang
perhimpunan haram dan rusuhan,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Hari
Keluarga Polis Kuala Lumpur di Tasik Titiwangsa, di sini pagi ini.

Kamaruddin berkata, semalam lebih 500 pelajar
dipercayai terlibat dalam reformasi di sekitar ibu negara.

Mereka berarak secara haram di beberapa jalan termasuk Jalan Tun Perak, Jalan Hang Kasturi, Jalan Lebuh Pasar, Jalan Pudu sehingga berlaku kesesakan lalu lintas yangteruk di kawasan tersebut.

Pihak polis terpaksa menghantar lebih 200 anggota untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya hanya menahan
segelintir daripada mereka kerana kebanyakan mereka
melarikan diri ke dalam kompleks membeli-belah di Jalan
Bukit Bintang di sini.

''Kita tidak menahan kesemua mereka semalam kerana
kita tak masuk ke dalam kawasan kompleks
membeli-belah yang terdapat ramai orang awam di sana,'' katanya.

Kata Kamaruddin, setakat ini, tiada lagi tahanan reformasi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Media-media tempatan boleh dikenakan dakwaan di bawah Akta Hasutan dengan penggunaan perkataan "rusuhan" dan "perusuh".

Rakyat ingin mencadangkan kepada Datuk Kamruddin supaya diwujudkan satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku pada 14 April 1999.

Isu keganasan pasukan polis memang jelas. Bekas KPN pun seorang yang ganas. Gambar-gambar  mengenai peristiwa- peristiwa tunjuk perasaan juga merakamkan keganasan polis.

Apa yang jelas pasukan polis masih lagi belum memulihkan imejnya lebih-lebih lagi imej mesranya. Rakyat telah hilang kepercayaan dengan pasukan polis yang sepatutnya memelihara keamanan dan bukan pencetus rusuhan melalui keganasannya.


Abdullah: Bersuara tentang perusuh

KEPALA BATAS 18 April - Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mahukan majoriti
rakyat menyuarakan pendirian mereka menentang
golongan minoriti yang bertindak agresif merusuh di ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata, mereka perlu mengubah sikap yang selama ini gemar berdiam diri kerana tindakan golongan minoriti itu seolah-olah menyuarakan pendirian golongan majoriti.

Oleh itu, katanya, golongan majoriti perlu bersikap terbuka dengan menjelaskan pendirian mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak perusuh.

''Saya yakin golongan majoriti inginkan keadaan aman dan selamat kerana mereka dapat meneruskan kegiatan harian untuk mencari rezeki bagi diri dan negara ini,'' ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Abdullah menambah, rakyat pelbagai kaum ingin mengejar pembangunan dan tindakan perusuh boleh membantutkan usaha memulihkan ekonomi negara.

''Rakyat sedar sokongan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan komponennya yang diperoleh sekarang ini, adalah menerusi konsep perkongsian kuasa untuk semua kaum,'' katanya.

Abdullah juga meminta media tempatan supaya memainkan peranan untuk mengetengahkan pendirian perjuangan golongan majoriti dengan menonjolkan pandangan di kalangan pemimpin masyarakat setempat.

Beliau berkata, langkah itu perlu berikutan kejadian
merusuh di ibu negara baru-baru ini menyebabkan
kebanyakan kedai terpaksa ditutup dan peniaga tidak
dapat mencari rezeki.

Katanya, kejadian rusuhan dan keganasan yang berleluasa itu boleh menyebabkan pemulihan ekonomi negara tidak dapat dilaksanakan jika negara berada dalam keadaan huru-hara.

''Keadaan ini boleh menyebabkan pelabur dan pengusaha dari dalam dan luar negara hilang keyakinan untuk berurusan di negara ini.

''Sekarang ini mereka (pelabur) yakin Malaysia sebuah
negara yang mencapai tahap berdaya maju, selain
kedudukan pasaran sahamnya di Bursa Saham Kuala
Lumpur (BSKL) semakin baik.

''Pemulihan semula ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan adalah untuk semua dan bukan untuk golongan tertentu kerana kejadian rusuhan itu boleh memberi kesan kepada rakyat.

''UMNO sebagai pemerintah tidak mahu diganggu pihak tertentu yang menyebabkan usaha yang dijalankan terbantut,'' kata Abdullah yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata, perjuangan UMNO belum selesai kerana masih ramai rakyat yang perlukan pembelaan daripada kerajaan dan pendidikan untuk memajukan bangsa.

Sementara itu Abdullah berkata, program khas
membabitkan pelajar akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi memberi kesedaran terhadap generasi muda untuk memahami perjuangan bangsa.

Katanya, kejadian merusuh yang membabitkan pelajar
menunjukkan generasi muda tidak memahami sejarah
perjuangan bangsa yang menjadikan negara ini aman dan tenteram,'' ujarnya.
 

Apabila Datuk Abdullah Badawi menganggap para reformis tulen sebagai perusuh dan media-media tempatan memanaskan lagi suasana, para reformis juga rasa terhina sehina perasaan Datuk Dollah yang dipertanggungjawabkan dengan urusan babi iaitu wabak JE.

Untuk makluman Datuk Abdullah, rakyat telah jelek dengan langkah-langkah kerajaan yang gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab nya.

Rakyat berharap agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menangani masalah ini kerana ia melibatkan keganasan polis.

Rakyat juga risau dengan keadaan mereka yang ditahan kerana pihak polis sendiri mengaku yang mereka ganas. Sila rujuk proses "turnover" polis dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar.

Kita juga berharap agar Datuk Dollah jangan sebut pasal ekonomi kerana beliau bukan pakarnya.


Ibrahim Saad tak bertanding jika kesetiaan
diragui

BUKIT MERTAJAM 18 April - Timbalan Menteri
Pengangkutan, Datuk Dr. Ibrahim Saad hari ini
menawarkan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya
umum akan datang jika masih terdapat pihak yang
mempertikaikan kesetiaannya kepada UMNO.

Ahli Parlimen kawasan Tasik Gelugor itu yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, pendirian tersebut merupakan jawapan kepada dakwaan pihak-pihak tertentu yang menuduh beliau memilih parti kerana jawatan dan kedudukan.

''Saya akan memberi notis bagi memberitahu Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak memilih saya dalam pilihan raya umum akan datang jika saya mementingkan jawatan dan kedudukan kerana saya dituduh mementingkan diri.

''Walaupun saya adalah kawan baik (Datuk Seri) Anwar
Ibrahim tetapi dalam perjuangan, saya tetap memilih
UMNO daripada kawan sendiri,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, DatukSeri Abdullah Ahmad Badawi di sini, hari ini.

''Anda boleh mengambil semua jawatan saya tetapi saya mahu kekal dalam UMNO,'' katanya.

Jelas Dr. Ibrahim, meskipun tidak menjadi calon dalam
pilihan raya akan datang, beliau tetap akan menyokong
UMNO kerana ia merupakan parti yang telah memberi
kesenangan kepada keluarganya dan negara ini.

''UMNO adalah parti untuk kita semua dan jika kita jatuh, kita sama-sama bertanggungjawab untuk bekerja keras dan menegakkan kekuatan UMNO yang ada sekarang untuk semua,'' katanya.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri
kawasan Seberang Jaya selama satu penggal sebelum
menang di kawasan Parlimen Tasik Gelugor dalam pilihan raya umum 1995.

Dr. Ibrahim adalah kawan rapat Anwar yang dipecat dari kerajaan dan UMNO pada September lalu.

Menurut Dr. Ibrahim, setiap parti mempunyai masalah yang sememangnya boleh diatasi dari semasa ke semasa.

Mengenai kawasan Parlimen Permatang Pauh yang
mungkin menghadapi masalah dalam pilihan raya akan
datang, beliau berkata: 

''Walaupun kita mungkin menghadapi masalah kerana
kawasan Cheruk Tok Kun berada dalam kawasan
Parlimen Bukit Mertajam, sokongan semua pihak amat
diperlukan bagi menjamin kemenangan UMNO.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) akan bekerja
keras untuk memenangi pilihan raya walaupun ada
spekulasi menyebut beberapa negeri seperti Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah akan ditawan oleh pembangkang.

Sehubungan itu, Dr. Ibrahim berharap ahli UMNO
memberi sokongan kepada UMNO dan BN untuk
memastikan ia memenangi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Abdullah dalam ucapannya berkata,
walaupun UMNO menghadapi krisis kepimpinan pada
1987 tetapi ia tidak menjejaskan parti UMNO.

''Saya pernah disingkirkan dalam apa-apa jawatan dalam parti selama tiga tahun tetapi perjuangan saya tetap dalam parti UMNO. 

''Bagi saya perjuangan UMNO lebih penting berbanding dengan perjuangan peribadi,'' katanya.
 

Kita alu-alukan pendirian tegas Datuk Ibrahim
ini kerana ia pendirian yang jelas. Kita juga berharap agar semua pemimpin UMNO agar berpendirian tegas menjelang pilihanraya nanti.

Contoh macam ini memang banyak sekarang. Rakyat tetap menolak beliau sekiranya beliau masih bersekongkol dengan UMNO samada sebagai calon atau tidak.

Yang jelas dia mengaku bahawa dia masuk politik dan UMNO untuk kesenangan diri dan bukan untuk membela nasib rakyat.
 
 
 
 
 
 


Pemimpin al-Arqam peralat agama

KUALA LUMPUR 18 April - Kerajaan berpendapat
usaha menghidupkan kembali pergerakan al-Arqam yang diharamkan pada tahun 1994 menunjukkan pemimpinnya sanggup memperalatkan agama Islam untuk mencapai cita-cita, kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu juga menunjukkan bahawa ada di kalangan para pemimpin kumpulan al-Arqam yang ingin mencapai cita-cita hendak menjadi pemimpin negara.

''Penyesatan seumpama ini akan terus berlaku kerana ada orang yang cari kepentingan diri untuk menjadi pemimpin negara dengan memperalatkan agama Islam secara tidak betul,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas
mengadakan lawatan peribadi ke Muzium Kesenian Islam Malaysia di Jalan Lembah Perdana di sini, hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, mendedahkan usaha menghidupkan kembali pergerakan al-Arqam yang turut didalangi oleh bekas ketuanya, Asaari Mohamad.

Para penyokong gerakan itu dikesan menerima
penganugerahan ijazah fahaman Aurad Muhammadiah
yang dianuti oleh al-Arqam di beberapa negara jiran
termasuk Singapura dan Indonesia.

Pada 5 Ogos 1994, Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan memutuskan pengharaman al-Arqam kerana ajaran dan fahamannya bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik.

Berikutan itu Asaari yang ditahan bersama beberapa
pemimpin kanan kumpulan itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah membuat pengakuan terbuka mengenai penyelewengan al-Arqam.

Sementara itu di Tampin, Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd. Isa Abdul Samad meminta kerajaan mengambil tindakan paling tegas ke atas para pendukung yang bertanggungjawab cuba 'menghidupkan' al-Arqam.

Katanya, tindakan al-Arqam menggerakkan semula
kumpulan itu selepas diharamkan oleh Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 1994, seolah-olah mahu mencabar undang-undang negara.

Menurut beliau, pergerakan al-Arqam itu perlu ditangani segera kerana fahaman yang dibawa oleh kumpulan tersebut sebelum ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

''Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah tegas bagi
membendung perkara ini agar masyarakat Islam di negara ini tidak lagi terpengaruh dan terpedaya dengan pergerakan dan aktiviti yang boleh memesongkan akidah umat Islam,'' katanya.

Di Johor Bahru, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal
Agama Islamnya, Datuk Abdul Kadir Annuar, memberi
jaminan pergerakan al-Arqam yang diharamkan oleh
kerajaan itu tidak mempunyai ruang untuk menghidupkan semula sebarang kegiatannya.

Pihaknya menerusi para pegawai di Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sentiasa mengawasi pergerakan bekas-bekas ahli pergerakan tersebut terutama di beberapa kawasan yang dikenal pasti pernah menjadi markas pergerakan tersebut.

''Berdasarkan pemantauan yang kami buat mereka telah
meninggalkan fahaman Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh ketuanya Asaari Mohamad dan kini mengamalkan mazhab Sunah Waljamaah seperti yang kita amalkan di negeri ini,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, berikutan perkembangan sejak
tiga bulan lalu seperti yang dilaporkan, beliau akan
mengawasi perkembangan tersebut.
 

Walaupun rakyat mengakui bahawa isu ARQAM adalah satu isu yang besar, namun rakyat melihat ini sebagai satu kegagalan kerajaan khususnya JAKIM.

Rakyat juga berfikir mengapa isu ini ditimbulkan sekarang. Adakah kerajaan cuba meredakan atau melenyapkan isu hukuman kes Datuk Seri Anwar?

Penglibatan pelajar IPT dalam al-Arqam
diawasi

PEKAN 18 April - Kementerian Pendidikan sedang
mengawasi kemungkinan penuntut-penuntut institusi
pengajian tinggi (IPT) melibatkan diri dalam pergerakan
agama yang menyeleweng termasuk al-Arqam dan Syiah.

Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
pihaknya akan meminta mereka menghadiri sesi pemulihan kefahaman dan akidah sekiranya didapati turut terlibat dalam pergerakan seumpama itu.

Kata beliau, pihaknya memandang serius masalah itu dan pengawasan rapi sedang dilakukan oleh kementerian dan unit hal ehwal pelajar di IPT.

''Masalah penglibatan pelajar dalam pergerakan seperti itu akan ditangani bersama oleh pihak universiti dan Jabatan Agama Islam.

''Masalah ini adalah soal akidah dan pendekatan yang
digunakan adalah berlainan. Tindakan terhadap ini perlu dari pihak universiti serta Jabatan Agama Islam,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis penghargaan Program Khidmat Masyarakat Pekan II.

Najib menyatakan demikian ketika diminta mengulas
kemungkinan terdapat penuntut yang terbabit dalam
kegiatan al-Arqam yang cuba dihidupkan semula oleh
bekas ketuanya, Asaari Mohamad.

Sementara itu, mengenai penahanan 28 pelajar kerana
terbabit dalam rusuhan di ibu negara, Najib berkata,
kementerian sedang menunggu laporan daripada pihak
polis sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

''Tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka yang
terlibat termasuk memecat mereka sekiranya penglibatan mereka serius,'' katanya.

Beliau berkata, tindakan terhadap penuntut IPT bergantung kepada keputusan Lembaga Tatatertib universiti manakala pelajar sekolah menengah akan dirujuk kepada sekolah dan Jabatan Pendidikan negeri.

''Pelajar yang dijatuhkan hukuman tidak boleh
menyalahkan sesiapa kerana mereka tertakluk kepada
peraturan yang ada.

''Bagaimanapun mereka tetap diberi peluang untuk
membela diri,'' katanya.

Najib berkata, rusuhan yang berlaku itu tidak melibatkan majlis perwakilan pelajar, sebaliknya hanya melibatkan sekumpulan pelajar yang dipercayai dihasut oleh pihak tertentu.

Sementara itu, mengenai tindakan menukarkan tiga guru di Klang ke sekolah lain kerana terlibat mengedarkan borang keanggotaan parti pembangkang, Najib berkata, amaran sudah diberikan sebelum ini yang mengingatkan guru-guru supaya jangan melibatkan diri dalam politik.

''Kalau telah terbukti mereka terlibat dalam kegiatan yang menyalahi peraturan sebagai guru, jadi mereka mesti menerima hukuman seperti ditukarkan ke sekolah lain,''katanya.

Beliau mengingatkan kerajaan amat tegas dalam soal
berkaitan walaupun tetap memberikan peluang kepada
mereka untuk membuat rayuan.

Yang rakyat musykilkan adalah betapa lembabnya kerajaan menjalankan tugasnya. Kerajaan BN memang lembab dalam menangani isu ini kerana para pemimpinya berebut-rebut membuat kekayaan. Isu akidahnya dianggap remeh dalam kerajaan sekular BN.

Sila edarkan kepada umum