Make your own free website on Tripod.com

Jumaat, 16 April 1999
 
 
Isu air: Pas tidak hantar wakil 

        KOTA BHARU, Khamis - Kerajaan Pas gagal menghantar wakilnya ke Forum Pengguna Air Kelantan hari ini, menyebabkan banyak persoalan mengenai isu bekalan air yang semakin serius di negeri itu sejak tiga tahun lalu, tidak mendapat penjelasan.

        Tindakan itu jelas mencerminkan sikap mereka yang tidak yakin untuk berdepan dengan pengguna, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk        Annuar Musa. 

        Beliau berkata, undangan sudah dibuat terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Kesihatan, Hassan Abdullah, bagi        memberi ruang wakil kerajaan negeri membuat penjelasan atau memberi pandangan.

        "Forum hari ini boleh dijadikan platform untuk wakil kerajaan negeri  menjelaskan pandangan mereka kerana kita bukan ingin membuat sebarang       tuduhan, hanya memberi makluman kepada rakyat.

        "Apabila (wakilnya) tidak hadir, banyak perkara tidak dapat dijelaskan dan ini tidak memberi keuntungan kepada kerajaan negeri," katanya selepas   merasmikan Forum Pengguna Air Kelantan di sini, hari ini.

        Forum anjuran Persatuan Pengguna Kelantan itu turut dihadiri Presidennya, Yusoff Ahmad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ibrahim        Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemahang, Mohd Adhan Kechik.

        Walaupun tanpa kehadiran wakil kerajaan Pas Kelantan, forum itu tetap berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 300 orang        terdiri daripada kakitangan kerajaan, peniaga, pemimpin masyarakat, ahli Persatuan Pengguna Kelantan (PPK) dan ahli politik, hadir.

        Forum seumpama itu pertama kali diadakan anjuran PPK untuk memberi penjelasan dan penerangan mengenai masalah bekalan air di negeri ini,     lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Kerajaan Pusat bersetuju meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM600juta kepada kerajaan negeri.

        Annuar berkata, pihaknya tidak menganggap forum itu dalam konteks menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan kerana ia berada di bawah        tanggungjawab kerajaan negeri.

        Bagaimanapun, katanya, isu bekalan air di negeri ini tidak pernah dibincang secara terbuka dengan membabitkan pengguna dan pemimpin, sekali gus        menyukarkan proses menyedarkan masyarakat berhubung permasalahan berkenaan.

        Beliau berkata, rakyat Kelantan masih samar sama ada masalah bekalan air di negeri ini sudah selesai sepenuhnya atau sebaliknya.

        "Kita ingin tahu sama ada pengambilalihan ekuiti Thames Water dalam  Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB) sebanyak 70 peratus pada harga RM50        juta itu turut merangkumi hutang-piutang syarikat Britain terbabit yang dikatakan berjumlah hampir RM33 juta.

        "Kalau benar, ini bermakna harga sebenar yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri adalah sekitar RM83 juta," katanya.

        Annuar berkata, rakyat juga berhak mengetahui rancangan sebenar kerajaan negeri dalam melaksanakan pemulihan bekalan air di Kelantan memandangkan pinjaman mudah berjumlah RM600 juta dari Kerajaan Pusat belum disalurkan.

        Katanya, Kerajaan Pusat perlu melihat perancangan kerajaan negeri, termasuk kaedah pembayaran balik pinjaman berkenaan sebelum boleh meluluskannya bagi tujuan pengurusan bekalan air di negeri ini.

        Menurutnya, ketiadaan program konkrit menyukarkan kerajaan negeri  menguruskan bekalan air di negeri ini di samping sumber kewangan yang        bergantung penuh kepada Kerajaan Pusat.

        Beliau berkata, kajian Kerajaan Pusat mendapati kerajaan negeri memerlukan kira-kira RM1 bilion bagi melaksanakan pengurusan air untuk jangka masa 20       tahun akan datang, termasuk perbelanjaan merawat bekalan air.

        "Mereka memerlukan RM30 juta untuk memperbaiki infrastruktur di Kota Bharu dan RM20 juta lagi untuk kawasan luar bandar.

        "Fasa pertama yang antara lain merangkumi peningkatan rawatan dan  membaiki tekanan air pula dijangka menelan belanja RM170 juta," katanya.

Rakyat menganggap ini satu lagi langkah  songsang Dato Annuar dalam usahanya untuk menawan Kelantan.

Rakyat tahu bahawa kerajaan PAS Kelantan telah menyelesaikan kes ini dengan syarikat berkenaan. Yang dinantikan adalah peruntukan kerajaan pusat yang diwajibkan dalam perlembagaan.

Rakyat ingi bertanya mengapa kerajaan pusat menganaktirikan Kelantan. Adakah ini dilihat sebagai pembalasan kerana tidak memilih BN? Bukankah ini budaya kotor UMNO?

Rakyat yakin bahawa rakyat Kelantan akan tetap memilih PAS dalam pilihanraya nanti.

Sila edarkan kepada umum.