Make your own free website on Tripod.com

Jumaat, 16 April 1999
 
 
Rakyat perlu faham tindakan polis

                                        TINDAKAN SIA-SIA...
                                        beberapa remaja bertindak
                                        agresif dengan membakar
                                        bendera Barisan Nasional (BN)
                                        di persimpangan Jalan Tun
                                        Perak-Lebuh Ampang di ibu
                                        negara, semalam. - Gambar oleh
                                        Affendi Mohamad

MELAKA, Khamis - Kerajaan berharap rakyat dapat memahami dan
memberikan sokongan terhadap tindakan yang terpaksa diambil polis dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata rakyat yang cintakan keamanan sudah tentu mahu undang-undang
dikuatkuasakan supaya negara terus aman dan politik stabil.

Menurutnya, polis diarahkan bertindak tegas ketika menghadapi penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melanggar undang-undang, tetapi 'jangan  mengganas' sebaliknya menggunakan pendekatan mesra rakyat.

"Kita tahu mereka akan terus menunjukkan protes, tetapi kita hendak
 memastikan mereka tidak melanggar undang-undang... mereka tidak harus pergi ke sana sini dan merosakkan harta benda, itu bercanggah dengan  undang-undang.

"Kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan," katanya ketika diminta mengulas tindakan ganas perusuh selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan  hukuman penjara enam tahun terhadap Anwar di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian itu, perusuh bertindak ganas dan membaling batu serta
 membakar dan merosakkan harta benda awam di beberapa tempat di ibu
 negara.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Batu Berendam di sini, petang ini, Abdullah berkata kumpulan perusuh itu tidak mewakili rakyat Malaysia.

"Mereka tidak mewakili semua orang... perusuh itu tidak mewakili rakyat Malaysia... mereka hanya satu kumpulan kecil orang yang tidak puas hati,"  katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Wira Mohd Ali Rustam, yang juga Ketua Umno bahagian Batu Berendam; Ahli Exco negeri serta wakil rakyat.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, menegaskan tindakan perusuh itu tidak wajar dan tidak dapat diterima majoriti rakyat yang cintakan keamanan.

"Bagi saya ia adalah tindakan yang tidak sewajarnya berlaku, 99.9 peratus daripada rakyat negara ini tidak merestui tindakan seperti itu.

"Kelakuan seperti merosakkan harta benda, termasuk menyerang kereta milik TV3 adalah keterlaluan. Mereka adalah orang yang tidak bersalah, ia (serangan berkenaan) mungkin boleh berlaku ke atas saudara mara anda atau saya," katanya.

Ketua Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Drs Suleiman
Mohamed, turut menyuarakan rasa kesal terhadap keganasan yang berlaku.

 "Saya amat kesal, lebih-lebih lagi perkara ini berlaku di kawasan saya.
Golongan ini tidak sepatutnya menjadikan jalan raya dan tempat awam untuk melepaskan rasa tidak puas hati sebaliknya menggunakan saluran betul, seperti  pilihan raya," katanya.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar,  menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan sebarang unsur negatif  yang cuba ditimbulkan sesetengah pihak bagi mengeruhkan keadaan dalam negara.

Menurutnya, rakyat perlu menerima dan menghormati keputusan mahkamah yang dibuat berlandaskan proses undang-undang yang adil.

"Rakyat diminta jangan mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya tumpukan usaha bagi menghadapi ekonomi yang masih belum begitu kukuh.

"Dalam keadaan sekarang, kita perlu bersama-sama menstabilkan politik
Umno," katanya.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, menyifatkan tindakan penyokong bekas timbalan perdana menteri itu sebagai tidak menghormati sistem undang-undang negara.

Menurutnya, golongan itu sebenarnya tidak menunjukkan sikap 'keadilan'  dengan bersorak di tempat awam, merusuh yang mengancam ketenteraman  dan merosakkan harta benda awam.

"Mereka sengaja mewujudkan suasana tegang dan menimbulkan rusuhan
dengan tujuan menarik perhatian wakil media asing bertumpu di ibu negara,"  katanya.

Justeru, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata, beliau tidak hairan dengan pemimpin beberapa negara luar termasuk dari Australia dan Britain yang turut mempertikaikan hukuman ke atas Anwar.

"Memang ini sudah dijangka kerana selama ini pun mereka menganggap
Malaysia bukan negara hebat dan apa juga sistem yang diamalkan, kita tetap dikritik.

"Kita akan disanjung jika pemimpin utama negara mengikut telunjuk mereka," katanya.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata negara akan hura-hara jika setiap rakyat berlagak seperti hakim yang mahukan  sesuatu hukuman diputuskan mahkamah dibuat mengikut kehendak mereka.

"Negara hanya akan aman jika rakyat menghormati undang-undang. Oleh itu,  kita perlu memberi kepercayaan kepada hakim melaksanakan tugasnya,"  katanya.

Shahidan berkata, mahkamah negara ini tidak membezakan hukuman
semata-mata kerana individu tertentu.

Katanya, selama ini pun beberapa ahli politik sudah dikenakan hukuman
kerana kesalahan yang mereka lakukan.

"Jika tidak berpuas hati dengan hukuman (keputusan Mahkamah terhadap
Anwar) itu, mereka boleh merayu kepada pihak lebih tinggi," katanya.

Di KOTA BHARU, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar
Musa, menyifat tindakan ganas penyokong Anwar sebagai keterlaluan dan  menyimpang daripada batas kesusilaan.

Menurutnya, tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian rakyat
berbilang kaum di samping turut mengganggu pihak yang tidak terbabit.

"Semua ini adalah petanda yang menunjukkan ada pihak cuba menanam
budaya kurang sihat di kalangan masyarakat dan tindakan golongan itu jelas melampaui kesopanan rakyat negara ini.

"Senario seperti memaki hamun, menyerang wartawan, menafikan prosedur mahkamah dan mencetuskan keganasan jalanan seolah-olah ingin dijadikan budaya bagi mewujudkan suasana tidak tenteram serta menggambarkan undang-undang tidak berjalan dengan baik.

"Keadaan ini perlu dibanteras segera dan mereka terbabit perlu kembali
 kepada nilai masyarakat kita yang sebenarnya, bukan meneruskan apa yang  dilakukan (rusuhan) semalam," katanya.

Di GEORGETOWN, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu
Koon, berkata tindakan liar dan ganas untuk melahirkan rasa tidak setuju
dengan kerajaan atau sesuatu keputusan, hanya akan merugikan rakyat dan  negara.

Menurutnya, perbuatan itu bukan saja akan mencetuskan keadaan tegang,
 tetapi juga menakutkan pengunjung dan pelabur antarabangsa.

Beliau berkata, keadaan dalam negara yang ditokok tambah dengan laporan media asing yang berat sebelah, bertujuan memanipulasi keadaan sebenar,  boleh memburukkan keadaan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim, pula meminta penyokong Anwar supaya bertenang dan tidak bertindak ganas, bagi mengelak ketegangan dan keresahan rakyat di seluruh  negara.

Menurutnya, mereka sepatutnya bersikap terbuka dan tidak terlalu emosi
 kerana ia tidak mampu menyelesaikan masalah.

"Walau apa juga keputusan mahkamah selepas rayuan Anwar nanti,
 penyokongnya perlu menerimanya. Mahkamah lebih arif dan berkuasa
 membuat keputusan," katanya.

Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Chang Ko Yuan, pula berkata penyokong dan  mereka yang bersimpati dengan bekas timbalan perdana menteri itu tidak sepatutnya bertindak ganas dan merusuh kerana ia tidak akan memberi faedah kepada sesiapa terutama diri mereka sendiri dan orang yang mereka sokong.

Menurutnya, mereka yang tidak puas hati dengan hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap Anwar boleh menyatakan pendapat melalui cara lain iaitu  menerusi undi.

"Kotak undi dalam pilihan raya akan datang merupakan tempat dan masa yang sesuai untuk membuat sebarang perubahan. Tindakan ganas di jalan-jalan tidak dapat mengubahnya," katanya.

Sementara itu, Majlis Pelajar Malaysia (MPM) berkata perhimpunan jalanan sepatutnya menjadi langkah terakhir, jika semua usaha untuk menyuara protes berhubung sesuatu isu itu gagal.

Justeru, jurucakapnya berkata kerajaan patut menyediakan alternatif lain bagi mengelak daripada berlaku perhimpunan seumpama itu.

Beliau mendakwa MPM tidak terbabit dengan kejadian rusuhan di ibu kota semalam, sebaliknya menghantar satu memorandum bertajuk 'Ke Arah Memulihkan Semula Sistem Keadilan Negara' kepada Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Eusoff Chin.

"Kami menghantar memorandum itu kerana kami tidak puas hati dengan
 perjalanan kes beberapa individu antaranya Lim Guan Eng dan Anwar.

"Antara lain memorandum itu menuntut supaya hak asasi individu dijamin  mengikut Pelembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di Wisma Kraftangan, hari ini.

Selagi polis bertindak kasar dengan rakyat selagi itu rakyat tidak akan faham.

Selagi polis tidak membenarkan perhimpunan aman selagi itu rakyat tidak akan faham.

Rakyat telah hilang keyakinan terhadap pasukan polis bersabit dengan kes Tan Sri Rahim dan konspirasi polis terhadap Dato Seri Anwar termasuk anggota polis yang mengusung tilam ajaib.

Rakyat telah mual dengan motto "mesra- rakyat" kerana hakikatnya polis dilatih sebaliknya. Malah pasukan polis terlalu memilih kasih dalam menjalankan tugas-tugas mereka.

Sila edar kepada umum