Make your own free website on Tripod.com

Jumaat, 16 April 1999
 
 
Laporan media asing serong

Minda Pengarang 

SIKAP media asing dan reaksi pemimpin negara asing yang mempertikaikan penghakiman dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan betapa  mereka tidak menghormati sistem undang-undang dan keadilan kita. Segala tuduhan yang mereka lemparkan mempersoalkan keputusan mahkamah kita, sekali gus mencerminkan dasar sebenar mereka suka memperkecilkan undang-undang yang kita junjung terutama apabila ia tidak sealiran dan sejajar dengan kehendak mereka.

Pendeknya ulasan akhbar dan media elektronik Barat dan Amerika, berat
sebelah dan dibuat tanpa mengambil kira hakikat bahawa perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu melalui proses dan prosedur undang-undang dan diadakan di mahkamah terbuka. Apa yang menjadi pokok perbicaraan adalah Anwar sebagai seorang anggota pentadbiran negara didapati bersabit dengan  tuduhan melakukan perbuatan rasuah. Dia menyalahgunakan kedudukannya dan mendapat manfaat daripadanya. Malah menurut kata Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, Anwar mengkhianati proses undang-undang dengan mengarahkan Cawangan Khas polis mengubah pengakuan saksi sesuai dengan keperluannya untuk bebas daripada tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau. 

Menurut hakim Augustine Paul, pendakwaan berjaya membuktikan kes
mereka mengatasi keraguan munasabah manakala pembelaan pula gagal
menimbulkan sebarang kesangsian. Usaha pembelaan untuk mengemukakan hujah kononnya wujud konspirasi politik menjatuhkan Anwar, yang turut sama dilaung-laungkan oleh media dan pemimpin Barat dan Amerika, sememangnya tidak kena dan ditolak oleh mahkamah sebagai salah tempat kerana perbicaraan dijalankan di mahkamah undang-undang dan ia bukan forum politik.

CNN, sebagai media elektronik berpengaruh Amerika dalam ulasannya turut mempertikai keputusan mahkamah itu dengan menyifatkannya sebagai sejajar dasar kerajaan yang menindas golongan yang tidak sealiran dengannya.

Tuduhannya keputusan itu membuktikan kerajaan tidak boleh menerima orang yang menentangnya meleset sekali. Ini jelas menyimpang daripada isu yang dibicarakan. Ia adalah tuduhan melulu. Umum mengetahui parti pembangkang lantang menyuarakan pandangan dan bantahan mereka dan terbaru sekali parti KeADILan ditubuhkan dengan diterajui isteri Anwar sendiri. 

Malangnya ulasan media asing yang kurang tepat dan serong terhadap
Malaysia inilah yang diguna pakai oleh pemimpin mereka yang jelas mendapat pandangan dan maklum balas salah mengenai sistem perundangan dan  kewibawaan bidang kehakiman kita. Media tempatan memberikan laporan penuh sepanjang perbicaraan dan sesetengahnya membuat liputan verbatim mengenai perbicaraan kes itu. Tidak ada apa yang hendak disembunyikan, lantas hakim membuat keputusan berdasarkan apa yang dibentangkan di mahkamah. Jelas bahawa CNN dan media asing menyalahgunakan kebebasan dan membuat kita ragu mengenai matlamat dan niat mereka.

Di pihak pembangkang pula apa yang berlaku di luar mahkamah kelmarin dan cuba diteruskan semalam mendedahkan belang mereka, terutama Pas dan KeAdilan yang sebelum ini menuduh kerajaan dan pihak berkuasa bertindak kasar terhadap mereka dan penyokong Anwar menyuarakan bantahan.

Pembangkang dan tidak kurang juga beberapa tokoh Pertubuhan Bukan
Kerajaan (NGO), mahu bantahan dibenarkan asalkan ia dijalankan secara
aman tetapi apa yang berlaku di beberapa batang jalan raya di ibu kota dekat bangunan mahkamah menunjukkan kegagalan ahli mereka dan penyokong Anwar membendung perasaan hingga mengambil kesempatan daripada sikap berhati-hati polis dalam menangani pembantah. Kumpulan yang membawa bendera Pas dan KeADILan bertindak ganas apabila membakar dan merosakkan kemudahan awam, menyerang polis, wartawan dan kenderaan  media. Ada sesetengah penunjuk perasaan itu dilaporkan menggunakan pelajar  untuk merusuh selain ada pula membawa budak kecil yang tidak berdosa. Apakah muslihat mereka?

Tindakan liar itu jelas menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan kebebasan yang diberikan. Mereka sengaja mencetuskan huru-hara dan  menimbulkan ketakutan di kalangan orang ramai. Apakah yang hendak diperjuangkan oleh pembangkang dan KeADILan khususnya? Penyokong Anwar sepatutnya menerima keputusan mahkamah dan bersabar kerana proses undang-undang dalam kes ini masih belum berakhir. 

Anwar boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan jika perlu ke Mahkamah Persekutuan dengan jalan terakhir memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Minda pengarang ini sekali lagi menunjukkan betapa bebal dan bodohnya beliau dalam menghujah isu-isu disebalik perjalanan dan penghukuman Dato Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat semua tahu bahawa huraian beliau ini adalah tidak lebih daripada menjalankan tugas semata-mata untuk mencari makan.

Ia jelas menunjukkan betapa ceteknya pengetahuan beliau. Beliau seharusnya ingat bahawa pendekatan media-media asing adalah sama bagi semua negara.
Bukankan surat khabar beliau menggunakan bahan-bahan media asing untuk ruang berita-berita asing mereka?

Pandangan dan hujah sempit pengarang melambangkan betapa sempitnya fikiran dan jiwanya. Beliau perlu direformasikan.
 

Sila edarkan kepada umum