Make your own free website on Tripod.com

Jumaat, 16 April 1999
 
 
TERIMA KEPUTUSAN DENGAN HATI
TERBUKA

KEPUTUSAN berhubung kes perbicaraan bekas
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang menghadapi empat tuduhan rasuah kerana salah gunakuasa telah pun diketahui umum.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul telah menjatuhi hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar kerana mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan tuduhan terhadap Anwar.

Justeru, kita patut menerima keputusan mahkamah itu
dengan hati terbuka dan atas prinsip menghormati
kedaulatan undang-undang negara. Dalam pada itu, Anwar jika tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut masih mempunyai peluang di sisi undang-undang negara kita untuk membuat rayuan.

Beliau masih ada masa untuk membuat rayuan ke
Mahkamah Rayuan atau Mahkmah Persekutuan dan
seterusnya memohon limpah pengampunan dari Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk sama ada meringankan hukuman ataupun dibebaskan.

Sementara itu, jika para penyokong Anwar pula tidak
dapat menerima hukuman itu mereka masih ada
pendekatan yang dibenarkan dalam amalan demokrasi.

Mereka boleh mengguna peti undi di dalam pilihan raya
umum nanti untuk membuktikan sokongan padu dan jitu mereka kepada tokoh kesayangan mereka itu.

Mereka mesti bekerja keras dalam kempen pilihan raya
kelak untuk memastikan Parti Keadilan yang baru
ditubuhkan itu dengan isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah sebagai Pengerusinya memenangi pilihan raya. Mereka tidak perlu berdemonstrasi di jalan-jalan raya sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah. Mereka tidak boleh mengambil undang-undang ke dalam tangan mereka.

Mereka patut sedar bahawa rusuhan dan tindakan
memusnah harta benda dan kemudahan awam bukanlah cara betul dan direstui rakyat umum untuk menuntut sesuatu supaya pihak berkuasa mendengar atau menerima tuntutan kita. Kerana kita percaya rata-rata rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup tidak akan menyokong tindakan ganas dan cara masyarakat belantara.

Sepatutnya, mereka banyak berdoa dan bersembahyang hajat memohon keredhaan Allah supaya Anwar akan berjaya di dalam proses rayuan beliau kelak.

Mereka patut akur dengan nasihat Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya
rakyat menerima keputusan mahkamah itu. Itulah
keputusan dari proses undang-undang dalam negara kita yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Malah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang dikatakan kumpulan pro-Anwar turut menyeru semua pihak bertenang dan menerima keputusan itu dengan penuh rasa hormat kepada kedaulatan undang-undang negara.

Maka, kita rasa inilah masanya bagi tokoh-tokoh
pemimpin seperti Wan Azizah untuk menggunakan
pengaruh dan kewibawaannya menasihati dan menyeru
para penyokongnya supaya menerima keputusan itu
dengan sabar, tabah dan redha dengan ketentuan Allah.Masa yang ada ini perlu diguna secara praktik dan ditumpukan kepada perkara-perkara yang boleh memberi kesan positif kepada proses rayuan itu nanti.

Seruan Presiden ABIM, Ahmad Azam supaya semua
pihak mengambil pendekatan bijak bagi meniti arus konflik politik yang mencabar keutuhan dan kedaulatan
undang-undang sewajarnya diberi perhatian berat.

Kita faham bahawa golongan muda dengan api perjuangan yang berkobar-kobar tidak akan dapat dipadamkan dengan hanya kata nasihat yang dilakukan secara sambil lewa tetapi ia perlu diterapkan secara bersungguh-sungguh untuk menyiram penawar supaya mereka kembali kepadakewarasan.

Sekali pandang, saranan penulis supaya semua pihak menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka bolehlah dianggap sebagai sesuatu yang baik.

Namun rakyat curiga dengan keikhlasan penulis atau ketua pengarangnya kerana rata-rata laporan-laporan yang diberikan oleh akhbar ini adalah tidak adil dan bertanggungjawab. Rakyat tahu bahawa laporan keganasan atau rusuhan yang dibuat oleh media-media tempatan adalah tidak tepat. Provokasi pihak polis tidak langsung tidak dilaporkan.

Rakyat ingin mengaju satu persoalan kepada penulis mengapa perhimpunan GERAK yang diadakan pada malam 14 April 1999 yang dihadiri oleh puluhan ribu manusia berjalan secara aman? Ini adalah kerana tiada polis yang memprovokasi  dan menyiram air kuning kepada rakyat. Malah para penjaja dapat berniaga dengan aman.

Rakyat yakin bahawa penentuan sebenar adalah di pilihanraya akan datang walaupun rakyat tahu bahawa kerajaan BN akan menggunakan segala jentera kerajaan dan media tempatan untuk tujuan politik demi mengekalkan kuasa.

Rakyat berharap agar semua yang sedar akan mengikut jejak langkah rakyat Kelantan  dan rakyat pribumi Sabah dengan menolak kerajaan BN yang ternyata gagal mentadbirkan negara secara bertanggungjawab yang mengundang pelbagai bala daripada Allah swt. 
 

Sila edarkan kepada umum