Make your own free website on Tripod.com
 

Jumaat, 16 April 1999
 
 
Malaysia kecam Al Gore -- Amerika
mempolitikkan keputusan kes Anwar

KUALA LUMPUR 15 April - Malaysia mengecam Naib
Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang terus mencampuri urusan dalaman negara ini dengan
mempolitikkan keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata,
pihak luaran tidak seharusnya mencampuri urusan Malaysia sebaliknya perlu menghormati sistem kehakiman dan perundangan negara ini.

''Tolong belajar untuk menghormati proses undang-undang kami.

''Dan sebagai negara yang menghormati peraturan
undang-undang, saya harap negara-negara asing,
khususnya Amerika Syarikat menghormati sistem yang ada di Malaysia dan memahami sistem ini,'' katanya kepada pemberita di ruang legar bangunan Parlimen hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas
kenyataan Al Gore yang menyifatkan hukuman penjara
enam tahun ke atas Anwar sebagai perkembangan yang akan menjejaskan kelancaran program pemulihan ekonomi dan politik Malaysia.

Al Gore turut meminta kerajaan Malaysia
mempertimbangkan rayuan Anwar terhadap hukuman itu.

Beliau pernah bersikap biadab semasa berucap pada
majlis makan malam menjelang sidang kemuncak forum
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di ibu negara
tahun lalu dengan mengeluarkan kenyataan menyokong gerakan reformasi negara ini.

Al Gore dalam kenyataannya semalam turut meminta
kerajaan membenarkan Anwar dibebaskan dengan ikat
jamin semasa proses rayuan berjalan.

Selain Al Gore, antara pemimpin asing yang membuat
kenyataan terhadap keputusan mahkamah itu ialah
Presiden Filipina Joseph Estrada, Menteri Luar New
Zealand Don McKinnon, Menteri Luar Britain Robin
Cook dan Menteri Luar Australia Alexander Downer.

''Semua pihak harus menerima penghakiman yang dibuat oleh hakim, yang memutuskannya berdasarkan
undang-undang,'' ujarnya.

''Janganlah kita mengheret proses kehakiman itu menjadi sesuatu yang berlainan pula,'' katanya.

Menurut beliau, jika ada sesuatu kes mahkamah
diputuskan yang tidak menyenangkan golongan tertentu, ia bukan dalam bidang eksekutif.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh
Wisma Putra petang ini, Syed Hamid menegaskan:

''Kita sedar dan menghormati hak mereka (negara-negara asing) untuk membuat komen. Tetapi kita berpendirian bahawa komen atau kenyataan yang dibuat hendaklah berdasarkan kepada fakta serta tidak prejudis dan berat sebelah,'' katanya.

Jelas beliau, Malaysia mempunyai perlembagaan yang sah dan terdapat garis pemisahan yang jelas antara
cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman
seperti juga dengan negara-negara yang
pemimpin-pemimpinnya membuat komen terhadap
keputusan mahkamah.

Syed Hamid yang menekankan bahawa kehormatan
terhadap undang-undang negara yang telah menjamin
perpaduan dan kestabilan Malaysia selama ini, berkata:

''Negara-negara luar yang mengkritik kita harus memahami bahawa menegakkan keadilan adalah proses dua hala iaitu untuk menjaga kepentingan mereka yang dituduh dan mereka yang membuat pertuduhan.''

Tambah beliau, sikap dan pendirian Malaysia dalam isu
keadilan terbukti dengan jelas dalam kes kecederaan
Anwar semasa dalam tahanan.

Menjawab soalan pemberita, beliau berkata, kerajaan
memang tidak dapat mengawal aliran berita yang
memburuk-burukkan negara tetapi kerajaan akan terus
berusaha menyampaikan berita atau gambaran sebenar
yang berlaku di Malaysia.

''Tindakan kami ialah untuk mendedahkan negara asing
yang mempunyai matlamat tertentu dan yang
bertanggungjawab melakukan apa saja untuk
memudaratkan Malaysia,'' katanya.

Dalam hal ini, Syed Hamid berkata, semua kedutaan dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara telah diarah untuk menyalurkan maklumat tepat mengenai keputusan penghakiman kes Anwar.

Mengulas mengenai kekacauan yang dicetuskan oleh
penyokong gerakan reformasi Anwar semalam, beliau
berkata, kekacauan yang berlaku hanya di beberapa jalan di ibu negara dan dilakukan oleh segelintir kecil penyokong gerakan itu yang mendapat 'semangat' daripada media asing yang ramai di situ.

''Dan mereka membantu orang asing untuk memberikan
gambaran yang tidak tepat terhadap Malaysia seolah-olah negara ini tidak stabil, tidak aman dan berlaku keganasan,''
katanya.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM

Sebagaimana yang dijangka, komen- komen yang bertentangan dengan kerajaan BN walaupun benar telah dikecam oleh wakil kerajaan.

Rakyat hairan mengapa kerajaan BN tidak boleh menerima pandangan global yang benar sedangkan dalam masa yang sama Dr. Mahathir sendiri telah beberapa kali mencampuri urusan negara-negara lain.

Ketidakterbukaan kerajaan BN meletakkan negara kita Malaysia seolah-olah seperti katak di bawah tempurung.

Sedarlah bahawa najis yang dibuat oleh kerajaan BN sekarang dapat dihidu oleh masyarakat global.

Rakyat dapat menerima laporan-laporan media asing kerana laporan mereka lebih tepat dan lebih profesional.

Bukankan media-media tempatan sendiri menggunakan khidmat mereka untuk laporan-laporan luar negaranya?

Sekiranya laporan-laporan mereka tidak tepat mengapa gunakan perkhidmatan mereka?

Sila edarkan kepada umum