Make your own free website on Tripod.com

Khamis, 15 April 1999
 
Umno tidak amal budaya menghina: Annuar

KOTA BHARU, Rabu - Umno tidak mengamalkan budaya menghina sesama umat Islam sehingga menjatuhkan martabat seseorang yang sama sekali bercanggah dengan tuntutan agama.

Sebab itu Umno berpolitik mengikut landasan benar dengan memastikan tidak melewati batasan agama, tetapi setiap tindakan dilakukan berdasarkan  undang-undang, kepentingan rakyat dan mengikut kehendak Islam.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa meminta rakyat dan ahli Umno tidak mengamalkan budaya membenci dan menghina sesama sendiri sehingga menjatuhkan  martabat seseorang.

Katanya, rakyat perlu menolak budaya itu (menghina dan memfitnah) yang menjadi amalan parti pembangkang termasuk Pas.

"Ahli Umno khususnya di Kelantan jangan terlalu melayan sikap Pas yang hampir setiap masa mewujudkan unsur menyakitkan hati orang lain dan budaya itu tidak boleh menjadi amalan dalam parti kita.

"Pada saya macam mana masih ada golongan mahu menyokong parti yang membawa budaya kotor dan rakyat perlu berfikir dengan hati ikhlas dalam hal ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Ukhuwah, Tarbiah dan Riadah Rakyat (Putra) Kampung Chengal, Kadok dekat sini, malam tadi.

Annuar yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut melahirkan rasa kesal sikap pemimpin Pas mengaitkan keluarga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan penjagaan babi.

Katanya, amat hina sikap itu apabila sanggup menyentuh nama orang Islam yang sudah meninggal dunia dan tidak kena mengena dengan politik.

Katanya, lebih menyedihkan apabila orang dikaitkan itu seorang tokoh ulama yang bukan saja terkenal di Pulau Pinang tetapi di Makkah pada zamannya.

"Adakah ini cara berseloroh atau memang niat menghina. Tidakkah kita tahu Tuan Haji Ahmad Badawi (ayah Timbalan Perdana Menteri) adalah ulama yang Pas sendiri bercakap mengenai kepemimpinan ulama.

"Ahmad Badawi adalah mufti dan ulama yang sangat terkenal di Pulau Pinang, Malaysia termasuk di Makkah.

"Kalau pun marah kepada anaknya (Abdullah) orang tidak berseloroh dengan babi. Sebab itu saya hairan kalau ada yang masih nak sokong Pas daripada peringkat kampung sampai ke peringkat atas (pemimpin Pas) yang sentiasa bercakap kotor," katanya.

Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor ketika berucap pada majlis perhimpunan  Aidiladha di pekarangan rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang 29 Mac lalu didakwa sebagai berkata: Abdullah Badawi satu-satunya Badwi di Malaysia. Di Arab kaum Badwi jaga unta dan kambing,  tetapi di Malaysia Badwi jaga babi.

Bagaimanapun, semalam Fadzil menjelaskan kenyataannya berhubung wabak Japanese Encephalitis (JE) bukan bertujuan menghina keluarga Timbalan Perdana Menteri.

Rakyat berpendapat bahawa pandangan Dato Annuar adalah tidak lebih daripada omong- omong kosong atau cakap-cakap politik yang tidak berisi. 

Rakyat menyangkal kenyataan ini kerana tidak mungkin Dato Annuar akan menegur Dr. Mahathir selaku presiden UMNO sebagai tukang hina utama negara.

Hakikatnya UMNO lah yang menghina orang-orang melayu yang berugama Islam dengan budaya politik yang sungguh jijik yang meminggirkan keperibadian bangsa melayu yang utuh yang disalut dengan pegangan ugama yang kental.

PAS dan Dato Fadzil Noor sendiri telah memberikan penjelasan tetapi media tempatan ini masih lagi memutarbelitkan isu kerana ternyata telah kehabisan modal.

Sila edarkan kepada umum