Make your own free website on Tripod.com

Khamis, 15 April 1999
 
PERBEZAAN PEMIMPIN POPULAR
DENGAN BERSUSILA

WALAUPUN Malaysia masih dianggap 'remaja' jika
diukur dari umur kemerdekaannya, tetapi kepimpinan
empat Perdana Menteri dari tahun 1957 hingga kini yang
hampir menerjah ke alaf baru telah mencerna pelbagai
kemajuan yang menjurus ke arah kematangan rakyat.

Allahyarham Tunku Abdul Rahman adalah Bapa
Kemerdekaan kerana kebijaksanaannya memerdekakan
negara tanpa sebarang titisan darah. Penggantinya,
Allahyarham Tun Abdul Razak pula dinamakan Bapa
Pembangunan kerana inisiatifnya mengisi kemerdekaan
dengan pelbagai projek termasuk pembukaan tanah
Felda untuk memperbandarkan orang Melayu.
Allahyarham Tun Hussein Onn dikenali dengan gelaran
Bapa Perpaduan kerana menyatupadukan semula
bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan yang
retak dalam pergaduhan kaum 13 Mei 1969.

Dan hari ini kita dipimpin oleh Perdana Menteri ke-4,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang layak digelar
Bapa Malaysia Moden kerana sumbangannya kepada
negara dan bangsa Malaysia yang tidak terkira nilainya.

Dr. Mahathir yang berada dalam UMNO semasa era
tiga pemimpin sebelumnya bukan sahaja
bertanggungjawab terhadap pelbagai pembangunan
moden tetapi juga bertanggungjawab meletakkan
Malaysia di tempat yang sewajarnya di peta dunia.

Hasil hentakan mindanya di merata pentas antarabangsa,
bangsa Melayu kini tidak lagi perlu menjerit minta di
hormati kerana bangsa kita telah didaulatkan oleh Dr.
Mahathir di kaca mata dunia.

Natijah kepada ungkitan sejarah ini ialah untuk
menginsafkan kita bahawa tahap kemajuan dan
pembangunan yang dibawa dan diilhamkan oleh para
pemimpin adalah jawapan kepada persoalan nilai
kepimpinan itu sendiri.

Ringkasnya pemilihan mereka adalah tepat dan asas
perjuangan mereka dari dahulu hingga dunia
menghampiri alaf baru tetap relevan. Dan tanpa kita
sedari sumbangan mereka telah mematangkan kita,
melahirkan rakyat bersikap pragmatik, cintakan
keamanan dan menghargai pemimpin yang
bertanggungjawab.

Kita wajib menghargai pencapaian yang diasaskan oleh
tiga pemimpin yang lalu dan pemimpin utama hari ini
kerana keamanan dan kemakmuran adalah inti hidup
dan erti tamadun sesebuah masyarakat dan negara. Lalu
ingatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi supaya rakyat dapat membezakan
antara pemimpin popular dengan pemimpin bersusila
wajar diberi perhatian serius.

Tanpanya, masyarakat pincang, negara hilang punca,
kekecohan tercetus dan contoh terbaik tidak jauh dari
kita hari ini. Adakah kita tidak mahu mengambil iktibar
daripadanya?

Sesungguhnya, generasi muda hari ini tidak mengenal erti
kesusahan kerana mereka dilahirkan dalam
kemakmuran. Rezeki melimpah dan pandang ke arah
mana pun, hati merasa bahagia. Oleh kerana itu kita
jangan mencuba sesuatu yang baru untuk merubah apa
yang ada hari ini.

Ingatlah, keamanan tidak dapat dinilai dengan longgokan
emas kerana ia adalah 'permata hidup' dalam sesebuah
masyarakat. Walaupun pemimpin datang dan pemimpin
pergi, kemakmuran pasti mengajar kita membezakan
antara yang popular jangka pendek dengan yang teruji
kebolehan membahagiakan rakyat.
 

Dalam rencana ini, rakyat tertarik dengan maksud, pandangan dan penggunaan dua  perkataan iaitu "popular" dan "susila".

Rakyat boleh menerima pandangan pengarang yang menggelarkan Allahyarham Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan,
Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Bapa Pembangunan dan Allahyarham Tun Hussein Onn sebagai Bapa Perpaduan tetapi rakyat belum boleh menerima pandangan pengarang mengenai gelaran Bapa Malaysia Moden untuk Dr. Mahathir.

Rakyat berpendapat bahawa gelaran yang paling tepat untuk Dr. Mahathir adalah Bapak Mirzan. Ini adalah kerana peranan Dr. Mahathir membantu menyelamatkan syarikat anaknya yang berhutang berbillion-billion ringgit.

Walaupun dahulu rakyat boleh menerima pendapat bahawa Dr. Mahathir telah membawa banyak kemajuan kepada negara atas nama pembangunan tetapi tidak sekarang kerana rakyat telah mengetahui niat sebenar Dr. Mahathir dalam dasar pengswastaan dan dasar persyarikatan Malaysia yang tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk memperkayakan diri, anak dan kroninya. 

Ini membuktikan bahawa Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang tidak bersusila.

Sekiranya kita saksikan bagaimana bangsa melayu telah terpinggir dalam era Dr. Mahathir sekarang maka kita merasa begitu sedih sekali. Bangsa melayu telah hilang bahasanya. Bangsa melayu telah hilang Bank Bumiputera nya. Bangsa melayu telah gagal mencapai 30%dalam DEB. Yang paling menyedihkan adalah bangsa melayu dihinggapi pelbagai penyakit sosial disebabkan Dr. Mahathir gagal dalam membangunkan rakyat dari aspek sosial dan spiritual. Kemodenan yang digembar- gemburkannya adalah sekadar fizikal sahaja. Itupun sebenarnya bukanlah milik orang-orang melayu. Adakah ini menunjukkan bahawa Dr Mahathir seorang pemimpin yang bersusila terhadap orang-orang melayu yang begitu bergantung harap kepadanya? Adakah perbuatan Dr. Mahathir terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim satu perilaku yang bersusila?

Pengarang juga terlupa bahawa Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang popular juga kerana berjaya menarik perhatian dunia dengan keceluparannya dan hasil hentakan mindanya. Beliau juga menjadi popular apabila memecat dan menghina Dato Seri Anwar Ibrahim sebegitu rupa. Ini semua adalah sebahagian ungkitan sejarahnya.

Rakyat setuju dengan pandangan pengarang bahawa kita telah matang untuk membezakan antara keadilan dan kezaliman. Antara kepalsuan dan kebenaran.

Pengarang juga terlupa bahawa perkataan "popular" asalnya datang bukan daripada Dato Seri Abdullah tetapi daripada mulut Dr. Mahathir. Rakyat juga ingin bertanya apakah tuntutan Islam terhadap seorang pemimpin dan adakah Dr. Mahathir dan konco-konconya telah menjalankan tanggungjawab masing-masing? 

Rakyat juga bersetuju bahawa contoh pemimpin yang terdekat dengan kita tidak harus dicontohi. Namun kita harus ingat bahawa masih banyak lagi para pemimpin dunia yang lebih bersusila yang perlu dicontohi oleh Dr. Mahathir. 

Kata-kata pengarang yang "generasi muda hari ini tidak mengenal erti kesusahan kerana mereka dilahirkan dalam kemakmuran. Rezeki melimpah dan pandang ke arah mana pun, hati merasa bahagia" adalah sesuatu yang tidak tepat dan berupa satu penghinaan kepada mereka sebagai penyambung warisan bangsa.

Ungkapan pengarang " Oleh kerana itu kita jangan mencuba sesuatu yang baru untuk merubah apa yang ada hari ini" adalah sesuatu yang songsang dan tidak masuk akal lebih-lebih lagi dalam era IT kini dan menjelang alaf baru.

Akhirnya ungkapan pengarang " kemakmuran pasti mengajar kita membezakan antara yang popular jangka pendek dengan yang teruji
kebolehan membahagiakan rakyat" adalah satu pandangan yang sangat sempit. Apa yang rakyat mahukan adalah seorang pemimpin yang bukan sahaja popular tetapi juga bersusila. Dr. Mahathir bukan sahaja tidak popular tetapi juga tidak bersusila.
 

Sila edarkan kepada umum.