Make your own free website on Tripod.com

Khamis, 15 April 1999
 
Sultan Brunei ziarah PM

KUALA LUMPUR 14 April - Sultan Brunei, Sultan
Hassanal Bolkiah hari ini mengunjungi Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad, yang sedang berehat di kediaman
peribadinya di The Mines di Sungai Besi sini.

Kunjungan itu dibuat selepas tiga hari Perdana Menteri
dibenarkan pulang dari Institut Jantung Negara (IJN)
selepas dirawat selama 11 hari kerana infeksi paru-paru.

Dr. Mahathir, berserta isterinya, Datin Seri Dr. Siti
Hasmah Mohd. Ali, nampak ceria ketika menyambut
Sultan Hassanal Bolkiah pada pukul 11.25 pagi.

Sultan Hassanal Bolkiah yang tiba dari Bandar Seri
Begawan awal hari ini adalah pemimpin asing yang
pertama melawat Dr. Mahathir sejak beliau keluar dari
IJN.

Menteri Pertanian, Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud
bertindak sebagai menteri pengiring kepada Baginda
Sultan Hassanal Bolkiah, orang kenamaan yang kedua
mengunjungi Dr. Mahathir selepas Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Ja'afar yang mengunjungi beliau Isnin
lepas sejurus sebelum beliau keluar dari IJN.

Perdana Menteri juga telah menerima kad ucap selamat
daripada beberapa pemimpin asing semasa beliau
dirawat di IJN.

Walaupun Dr. Mahathir dikatakan sudah sihat kembali
sepenuhnya, para doktor di IJN menasihatkan beliau
supaya terus berehat di rumah sebelum memulakan tugas
beliau.

Perdana Menteri telah dimasukkan ke IJN pada 2 April
selepas kembali daripada menunaikan ibadah haji di
Mekah.

Sejurus selepas kunjungan Sultan Hassanal Bolkiah, Dr.
Mahathir menerima kunjungan anggota-anggota
kabinetnya pula yang sebelum itu mengadakan
mesyuarat mingguan dengan dipengerusikan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi.

Bagaimanapun, Abdullah tidak menyertai rombongan itu
kerana beliau menghadiri jamuan makan tengah hari
bersama Sultan Hassanal Bolkiah.

Dr. Mahathir bercakap kepada anggota-anggota kabinet
itu selama 40 minit.

Apabila ditanya oleh Bernama mengenai keadaan
(kesihatan) beliau, Perdana Menteri menjawab: ''Saya
baik sahaja.'' - Bernama.

Apa yang menarik perhatian rakyat dalam berita ini bukanlah mengenai kesihatan Dr Mahathir atau kunjungan DYMM Sultan Brunei ataupun kunjungan Dato Seri Abdullah dan ahli-ahli kabinet tetapi adalah tempat penginapan Dr. Mahathir.

Ia mengesahkan selama ini bahawa beliau mempunyai banyak rumah persendirian dan salah satu rumahnya adalah di The Mines.

Rakyat juga tahu bahawa The Mines adalah bukan milik kerajaan tetapi milik syarikat kroninya. Bukankah ini menunjukkan bahawa budaya rasuah dan kronisme wujud dalam kerajaan Dr. Mahathir? 

Bukankah ini bukti yang lebih sahih  berbanding bukti dalam kes penyalahgunaan kuasa Dato Seri Anwar Ibrahim?

Rakyat tidak terkeliru. Rakyat tidak buta dan rakyat tidak bodoh.

Sila edarkan kepada umum.