Make your own free website on Tripod.com

Khamis, 15 April 1999
 
Pembangkang tidak membela rakyat

KUALA LUMPUR 14 April - Rakyat terutama penyokong parti pembangkang digesa menimbang semula pendirian mereka kerana penubuhan parti itu bukan bertujuan membela kepentingan rakyat sebaliknya untuk faedah politik masing-masing.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Yan, Datuk Badruddin Amiruldin ketika membuat gesaan itu berkata, kebanyakan parti pembangkang di negara ini ditubuhkan kerana rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap kerajaan.

Pas umpamanya, kata beliau, ditubuhkan setelah segelintir pemimpin tidak puas hati terhadap parti pemerintah. Keadilan pula ditubuhkan untuk membela individu tertentu, manakala DAP pula untuk membela
nasib kaum Cina.

''Jelas parti-parti pembangkang ini ditubuhkan kerana kekecewaan dan bukannya untuk membela nasib rakyat,'' katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat,
hari ini.

Badruddin turut mengecam parti pembangkang terutamanya Pas yang menjadikan fitnah dan kecaman sebagai senjata utama mereka dalam setiap ceramah yang diadakan.

Katanya, sebagai parti yang mendakwa melaksanakan ciri-ciri politik Islam, Pas tidak sepatutnya memfitnah dan memburuk-burukkan individu lain terutamanya pemimpin yang bertanggungjawab membangunkan negara.

''Presiden Pas sendiri sanggup menghina Timbalan Perdana Menteri apabila nama keluarga beliau dikaitkan dengan babi, inikah pemimpin parti yang mendakwa memperjuangkan Islam selama ini,'' katanya.

Beliau berkata, Pas sepatutnya kembali kepada asas perjuangan mereka yang berteraskan Islam dan menjauhi amalan fitnah memfitnah dan
memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini.

Menurut Badruddin, Pas juga tidak sepatutnya menghentam kerajaan dan menganggap setiap tindakan yang dilakukan seperti membina bangunan pencakar langit sebagai tidak betul.

''Anak dia semua mendapat biasiswa sedangkan ada anak orang UMNO pun tak dapat masuk universiti,'' katanya.

Beliau turut meminta pihak polis bertindak tegas menghalang Pas mengadakan ceramah tanpa permit bagi mengelakkan tersebarnya fitnah secara berleluasa.

Katanya, undang-undang berkaitan fitnah juga perlu diperketatkan supaya tindakan sewajarnya dapat dikenakan kepada pemimpin parti pembangkang yang bertindak memfitnah individu tertentu
sewenang-wenangnya.

Sementara itu, Badruddin turut meminta kerajaan mewujudkan semula Kementerian Kehakiman bagi membolehkan menterinya menjawab segala hal berkaitan perundangan di Dewan Rakyat.

''Tidak memadai seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diberi tugas menjaga bidang itu kerana bidang kehakiman adalah satu bidang yang amat penting,'' katanya.

Beliau berkata, dengan adanya menteri penuh menjaga bidang berkenaan, ia akan membolehkan anggota Parlimen mendapat penjelasan dalam segala hal berkaitan kehakiman dan perundangan.

''Penjelasan ini penting bagi membolehkan anggota Parlimen terbabit memberi penerangan kepada penduduk di kawasan yang diwakili masing-masing mengenai isu-isu terbaru berkaitan kehakiman dan
perundangan,'' katanya.

Badruddin turut meminta kerajaan mengenakan hukuman berat terhadap kakitangan kerajaan yang melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membendung rahsia-rahsia kerajaan daripada diketahui umum.

Kebelakangan ini, katanya, parti-parti pembangkang mengambil kesempatan untuk menjadikan rahsia kerajaan yang telah dibocorkan sebagai modal dalam ceramah-ceramah mereka.

''Tindakan yang dibuat semata-mata bagi meraih sokongan pengundi itu boleh mencetuskan suasana kucar-kacir dalam negara,'' menurut beliau lagi.

Rakyat tidak terkeliru dengan pandangan Datuk Badruddin Amiruldin ini kerana rakyat sedar bahawa pihak pembangkang ada peranan dalam amalan demokrasi sesuatu negara. Rakyat juga berharap agar BN akan menjadi pembangkang yang positif  selepas pilihanraya nanti.

Rakyat masih teringat lagi percakapan dan perilaku Datuk semasa pembentangan Belanjawan Negara tahun lalu. Rakyat dari Yan berasa sedih dan terhina mempunyai wakil rakyat yang berperibadi rendah seperti Datuk..

Tuduhan-tuduhan Datuk terhadap parti-parti pembangkang ini menunjukkan ketandusan ide dan isu. Rakyat tidak keliru. Yang terkeliru adalah Datuk sendiri.

Rakyat juga ingin menambah kepada cadangan Datuk bagi bidang perundangan dan kehakiman. Rakyat mencadangkan supaya kedua- dua institusi ini diberi taraf suruhanjaya yang bertanggungjawab terus kepada parlimen dan tidak kepada eksekutif. Kalau boleh Badan Pencegah Rasuah juga diberikan taraf yang sama. Ini adalah untuk menjamin kebebasan institusi-institusi tersebut.
 
 

Sila edarkan kepada umum