Make your own free website on Tripod.com

Khamis, 15 April 1999
 
Laporan suruhanjaya diserah kepada
Peguam Negara

KUALA LUMPUR 14 April - Jemaah Menteri hari ini bersetuju agar laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis diumumkan kepada orang
ramai.

Mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga bersetuju agar laporan setebal 120 muka surat itu diserahkan serta-merta kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini, kabinet dalam mesyuarat mingguan turut bersetuju supaya laporan berkenaan dicetak dan diedarkan kepada orang ramai.

''Mereka (orang ramai) boleh membeli laporan tersebut sebaik sahaja Syarikat Percetakan Nasional Malaysia Berhad siap mencetaknya,'' jelas kenyataan itu.

Sebelum ini pelbagai pihak terutama parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan mendesak kerajaan supaya mendedahkan hasil siasatan suruhanjaya itu sebagai membuktikan ia berjalan secara bebas dan telus.

Desakan supaya siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu dilakukan semakin memuncak apabila Peguam Negara mengumumkan pada 5 Januari lalu bahawa pihak polis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
kecederaan yang dialami Anwar ketika berada dalam tahanan lokap Bukit Aman pada 20 September lalu.

Ekoran itu, dua hari kemudian, Ketua Polis Negara, TanSri Abdul Rahim Noor mengumumkan peletakan jawatannya sebagai mengambil tanggungjawab di ataskejadian itu.
 

Rakyat sesungguhnya mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membenarkan laporan kes mata lebam Dato Seri Anwar ke pengetahuan umum walaupun rakyat kesal kerana ia mengambil masa yang begitu panjang.

Perlu ditegaskan di sini bahawa fakta dan peristiwa yang terjadi mengikut kronologinya menunjukkan bahawa inisiatif untuk menyiasat kes ini adalah disebabkan oleh desakan para reformis dan bukan dimulakan oleh kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri.

Rakyat masih tertanya-tanya mengapa Suruhanjaya Di Raja tidak memanjangkan siasatannya supaya sebab-sebab Tan Sri Rahim  Noor bertindak sedemikian diketahui ke akar umbinya. Jangan salahkan rakyat sekiranya rakyat masih tidak yakin dengan ketelusan dan keikhlasan kerajaan terutama Menteri Dalam Negeri yang tidak mengambil tanggungjawab dalam hal ini.

Rakyat tidak akan terkejut sekiranya urusan pendakwaan dan prosiding mahkamah terhadap Tan Sri Rahim Noor akan di buat dengan begitu pantas dan hukuman ringan diberikan oleh hakim. Apapun keputusan pendakwaan terhadap Tan Sri Rahim Noor tidak mengecilkan pandangan umum terhadap hukuman Dato Seri Anwar Ibrahim kerana rakyat tahu bahawa ia sebahagian daripada konspirasi peringkat tertinggi yang melibatkan Dr. Mahathir.

Sila edarkan kepada umum.