Make your own free website on Tripod.com

Khamis, 15 April 1999
 
Terima keputusan mahkamah - Abdullah

KUALA LUMPUR 14 April - Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap
rakyat Malaysia menerima keputusan perbicaraan Datuk
Seri Anwar Ibrahim kerana ia merupakan keputusan
mahkamah. 

Beliau berkata tidak perlu ada reaksi yang boleh
menimbulkan suasana tegang atau sebarang tindakan
merusuh. 

''Hari ini keputusan dibuat dan ia adalah satu keputusan
mahkamah. Jadi kita terima sahajalah,'' katanya kepada
pemberita setelah mengadakan jamuan tengah hari untuk
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bokiah, di sini hari ini. 

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas
Menteri Kewangan, didapati bersalah terhadap empat
tuduhan rasuah dan dihukum penjara enam tahun oleh
Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Abdullah, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata
negara mempunyai sistem kehakiman dan keputusan
mahkamah perlu dipatuhi. 

Menurutnya keputusan mahkamah itu dibuat setelah
sekian lama perbicaraan diadakan dan liputan
mengenainya diikuti setiap hari oleh rakyat Malaysia dan
orang luar. 

Abdullah berkata pihak pendakwa dan Anwar
masing-masing mempunyai barisan peguam yang handal.

Mengenai tindakan para penyokong Anwar yang
mengadakan perhimpunan haram di sekitar ibu kota bagi
membantah keputusan mahkamah itu, Abdullah
berharap keadaan adalah terkawal. 

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling
Liong Sik berharap mereka yang berhimpun secara
haram menghormati keputusan mahkamah dan
undang-undang negara. 

Katanya penyokong Anwar sendiri sebelum ini mahukan
beliau (Anwar) dibicarakan di mahkamah. 

Ling, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata tindakan
berdemonstrasi tidak sepatutnya diadakan kerana
keputusan mahkamah itu dibuat setelah tempoh
perbicaraan yang agak lama. - Bernama.
 

Rakyat tidak fikir para penyokong  Dato Seri Anwar tidak dapat menerima keputusan hakim secara rasional.

Rakyat yakin bahawa rusuhan yang terjadi adalah disebabkan tindakan pihak polis yang tidak profesional. Sepatutnya Dato Seri Abdullah selaku Menteri Dalam Negeri memastikan tahap profesional pasukan polis dipertingkatkan. Rakyat sendiri masih ragu lagi tentang kewibawaan pihak polis. Kerajaan masih lagi bersifat melengah-lengahkan tindakan terhadap Tan Sri Rahim Noor. Rakyat juga bertanya-tanya mengapa Tan Sri Norian Mai masih lagi memangku jawatan Ketua Polis Negara sehingga kini.

Rakyat juga hairan mengapa Dato Seri Abdullah menyuruh para penyokong Dato Seri Anwar Ibrahim menerima sahaja keputusan hakim sedang beliau sendiri terguris hati dengan insiden "Bedui-Babi".

Rakyat cuma ingin mengingatkan Dato Seri Abdullah bahawa rakyat juga ada perasaan sebagaimana beliau.
 
 

Sila edarkan kepada umum