Make your own free website on Tripod.com
 

Khamis, 15 April 1999
 
Orang ramai sifatkan perusuh melampau
 

KUALA LUMPUR 14 April - Orang ramai yang
terperangkap di tengah-tengah huru- hara keganasan
oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu
negara hari ini menyifatkan kejadian itu sebagai
melampau dan tidak bertanggungjawab.

Para perusuh yang bersepandukkan Parti Keadilan, Pas
dan DAP bertindak ganas membaling objek seperti besi,
batu dan kayu, membakar di tengah jalan serta
merosakkan kenderaan dan harta benda awam.

Perbuatan itu jelas menimbulkan keresahan dan rasa
takut di kalangan warga kota yang sedang berurusan di
persekitaran kawasan rusuhan.

Mohd. Rizal Mustafa, 28, yang berada di tempat
kejadian berkata, perlakuan mereka ini seperti orang
yang tidak berfikiran.

Beberapa kawasan yang tegang itu termasuk Jalan Tun
Perak, Jalan Pasar Besar, Lebuh Ampang dan Jalan
Hang Kasturi terpaksa ditutup sementara untuk
keselamatan orang ramai. Kesemua jalan-jalan itu
berhampiran bangunan kompleks mahkamah di Jalan
Raja.

Keganasan itu menyebabkan segala urusan di
premis-premis perniagaan serta institusi kewangan
tergendala kerana perbuatan para perusuh terbabit.

Shafee Iskandar, 26, yang bekerja di salah sebuah
institusi kewangan di ibu negara menyifatkan perbuatan
mereka menyusahkan orang ramai dan menakutkan
mereka yang tidak terlibat.

''Perbuatan mereka ini menyusahkan banyak pihak
terutama yang mempunyai urusan kecemasan dan
banyak urusan tergendala dengan perbuatan tidak
bertanggungjawab mereka.

''Mereka ini juga telah merosakkan imej negara dengan
berbuat sedemikian,'' katanya.

Menurutnya, banyak lagi cara lain untuk mereka lakukan
bagi menunjukkan rasa ketidakpuasan mereka terhadap
kerajaan dan bukannya dengan cara yang merosakkan
masa depan mereka sendiri.

Kata-kata Shafee turut disokong oleh Mohd. Rizal,
seorang jurugambar bebas yang menganggap golongan
itu hanya mementingkan diri sendiri dan terlalu mengikut
perasaan tanpa memikirkan akibat yang akan berlaku.

''Mereka tidak perlu berbuat demikian kerana negara
kita ada undang-undang,'' katanya.

Seorang pelajar, Jazmin Mohd. Jaafar, 18,
menyifatkan perbuatan para perusuh tersebut sebagai
menakutkan.

Kata beliau: ''Sebagai remaja saya terkejut dengan
kejadian ini dan takut jika terjadi sebarang kejadian
tidak diingini terhadap saya tanpa pengetahuan ibu bapa
saya.

''Saya datang ke sini untuk belajar dan kerana kejadian
ini kelas saya tergendala. Perbuatan mereka juga amat
menakutkan dan saya rasa begitu terancam,'' katanya
yang percaya pihak polis akan dapat menjalankan tugas
mereka dengan baik.

Sementara itu, warga kota turut melahirkan kekesalan
mereka dengan kejadian rusuhan oleh para penyokong
Anwar yang telah menjejaskan operasi pengangkutan
awam di ibu negara bermula sejak awal pagi hingga
lewat petang ini.

Tinjauan Utusan di beberapa jalan utama seperti di
Jalan Silang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati
sehingga lewat petang ini, keadaan lalu lintas yang
berlaku sangat serius sehingga menimbulkan
pemandangan sesak termasuk di perhentian-perhentian
bas utama.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan penutupan
beberapa jalan utama seperti di Jalan Tun Perak, Jalan
Pasar Besar, Lebuh Ampang dan Jalan Hang Kasturi
serta beberapa jalan lain yang bertujuan menjaga
keselamatan orang awam.

Seorang kerani di firma guaman, Ali Seman, 37,
berkata, seperti kebiasaannya dia hanya menunggu bas
sehingga 15 minit sahaja pada setiap hari tetapi hari ini
apabila kekecohan berlaku, dia terpaksa menunggu bas
sehingga dua jam ekoran ketiadaan bas.

Seorang peniaga, Ali Abu Bakar, 41, berkata, rusuhan
yang berlaku hari ini menyebabkan semua urusan harian
tidak dapat dijalankan seperti biasa ekoran ketegangan
yang berlaku. 

''Kesesakan hari ini berlaku sangat 'luar biasa'
berbanding kesesakan sebelumnya. Kesesakan Jalan
Tuanku Abdul Rahman adalah perkara biasa berlaku,
tetapi kesesakan kenderaan hari ini adalah di luar
jangkaan,'' katanya.

Kakitangan kerajaan, Syed Azman Syed Omar, 34,
menyifatkan kesesakan kenderaan yang berlaku sejak 2
petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah yang
paling buruk sepanjang dia berada di ibu negara.

''Saya terperangkap di dalam kenderaan hampir lima
jam kerana laluan biasa terpaksa ditutup kepada lalu
lintas dan keadaan ini menyukarkan semua pemandu
kenderaan,'' katanya.

Pelajar, Lee May Tow, 19, tidak dapat pulang ke
rumah lebih awal seperti biasa disebabkan ketiadaan
bas.

''Saya cuba menggunakan perkhidmatan komuter tetapi
malangnya keadaan di sana juga sesak dengan orang
ramai yang lebih awal merancang menggunakan
perkhidmatan awam berkenaan,'' katanya yang telah dua
jam terperangkap dalam kesesakan yang berlaku.

Oleh: AZIAN ABD. AZIZ

Sebenarnya kita mengutuk apa jua bentuk kekerasan bukan sahaja daripada para penyokong Dato Seri Anwar tetapi juga daripada pihak polis.

Kita yakin bahawa para penyokong Dato Seri Anwar Ibrahim bertindak demikian disebabkan oleh keghairahan, keganasan dan kekejaman pihak polis.

Kita yakin bahawa sekiranya rakyat dibenarkan berhimpun secara aman dan terkawal selaras dengan hak rakayat sepertimana yang wujud dalam perlembagaan negara, kejadian seperti ini tidak akan berlaku. 

Ini terbukti apabila majlis yang dianjurkan oleh GERAK di Taman Melewar berjalan secara harmonis dan tertib walaupun ribuan manusia telah membanjiri tempat tersebut.

Kita merumuskan bahawa rusuhan yang berlaku adalah disebabkan tindakan polis yang tidak profesional. 

Sila edarkan kepada umum