Make your own free website on Tripod.com

Khamis, 15 April 1994
 
Anwar dihukum penjara 6 tahun --
Bersalah terhadap empat tuduhan rasuah
kerana menyalah guna kuasa

KUALA LUMPUR 14 April - Bekas Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini
dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di
sini setelah didapati bersalah atas empat tuduhan
pindaan rasuah kerana menyalah guna kuasa di bawah
Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat
1970.

Hakim Datuk S. Augustine Paul menjatuhi hukuman
penjara enam tahun bagi setiap tuduhan dan
memerintahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini.

Hakim Augustine berkata, pendakwa dapat
membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah,
dan kesudahannya Anwar didapati bersalah
sebagaimana tuduhan yang dihadapinya.

Keputusan itu diumumkan kira-kira pukul 10.45 pagi ini,
setelah Anwar membaca sendiri satu kenyataan bertulis
lima muka surat dalam bahasa Melayu untuk
dipertimbangkan bagi meringankan hukuman.

Anwar juga gagal dalam permohonannya untuk
menangguhkan pelaksanaan hukuman dengan ikat jamin,
sementara menunggu rayuan.

Menurut Hakim Augustine, kesalahan yang dilakukan
oleh Anwar adalah serius dan undang-undang yang
berkaitan telah diluluskan untuk mencegah ahli politik
dan pegawai awam daripada menyalahgunakan kuasa
mereka.

Beliau merujuk satu kes membabitkan seorang pegawai
rendah dihukum penjara dua tahun kerana
menyalahgunakan kuasa.

''Saya teringatkan kes Pendakwa Raya melawan Nunis,
memandangkan Anwar adalah kapten politik Malaysia
dan orang nombor dua di negara ini, saya menjatuhkan
hukuman penjara enam tahun ke atas setiap empat
kesalahan kamu,'' kata Hakim Augustine.

Sebaik sahaja mendengar hukuman itu, Anwar yang
berada di kandang tertuduh bangun bertanya: ''Enam
tahun atau 16 tahun?''

Hakim Augustine: ''16 tahun adalah salah di sisi
undang-undang kerana hukuman maksimum 14 tahun.''

Di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No. 22 itu, sekiranya
terbukti, hukuman maksimum penjara adalah 14 tahun
dan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000.

Sebaik sahaja Hakim Augustine mengumumkan Anwar
didapati bersalah di atas empat tuduhan terbabit, Raja
Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam
bela, meminta penangguhan selama 10 minit untuk
berbincang dengan Anwar sebelum hukuman dijatuhkan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah mewakili
pasukan pendakwaan tidak membantah permintaan Raja
Aziz itu.

Hakim Augustine membaca secara ringkas penghakiman
bertulis setebal 391 muka surat pada pukul 9.23 pagi
pada penghujung perbicaraan Anwar yang masuk hari
ke-78 hari ini.

''Setelah menimbangkan dengan amat teliti, maka kini
tibalah peringkat penghakiman perbicaraan ini,'' kata
beliau.

Hakim Augustine berkata, pada dasarnya, beliau
membaca semua pertuduhan dan dalam penghakiman itu
menjelaskan mengapa beliau meminda tuduhan terhadap
Anwar.

''Saya juga jelaskan dalam penghakiman mengapa saya
membuat pindaan dan mengapa saya menggugurkan
sesetengah keterangan dan ini saya berikan garis
kasarnya kepada pihak berkenaan,'' kata beliau.

Beliau berkata, persoalan yang ditimbulkan terhadap
bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said
Awang sama ada beliau bersubahat dengan bekas
timbalannya, Datuk Amir Junus, juga diteliti.

Hakim Augustine: ''Saya meneliti keterangan pembelaan
dan menjelaskan mengapa saya mengetepikan
konspirasi politik, butiran keterangan mengenai pita
rakaman, keterangan dalam profesion guaman dan
menilai laporan-laporan akhbar.

''Saya menilai laporan kedua (laporan yang didakwa
mengandungi nama tokoh-tokoh politik yang ingin
menjatuhkan Anwar) sebagai keterangan dengar cakap.

''Saya juga membincangkan tentang prinsip yang
dikendalikan oleh pembelaan yang mempertikaikan
kredibiliti saksi-saksi pendakwa.

''Perkara yang utama adalah sama ada pendakwa
membuktikan kesnya melampaui keraguan yang
munasabah.

''Ini adalah pertimbangan pendapat saya selepas meneliti
dengan cermat undang-undang dan fakta asas
keseluruhannya bahawa pendakwa membuktikan
kesnya melampaui keraguan yang munasabah.''

Pada peringkat ini, kedengaran bunyi ''Ooooh'' dari
bahagian bangku yang diduduki oleh keluarga Anwar.

Bagaimanapun sebelum hukuman diputuskan Hakim
Augustine mengarahkan Raja Aziz sebagai peguam bela
utama mewakili Anwar untuk mengemukakan rayuan
memohon hukuman ringan.

Selepas sesi mahkamah, Anwar ditanya oleh wartawan
tentang perasaannya.

''Saya tidak terkejut, anda terkejut?,'' kata Anwar.

Dr. Wan Azizah pula didengar berkata: ''Ya Tuhanku''
apabila mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atas
suaminya.

Anwar sempat memeluk Dr. Wan Azizah dan empat
orang anaknya sebelum dibawa ke Penjara Sungai
Buloh pada tengah hari.

Dia dijangka dipindahkan ke Penjara Kajang untuk
memulakan hukumannya.

Saudara mara Anwar yang berbual dengan wartawan
juga mengatakan mereka telah bersedia untuk menerima
apa sahaja kemungkinan dalam keputusan kes hari ini.

Suasana di galeri awam penuh sesak termasuk di
bahagian bangku keluarga Anwar.

Sebanyak 23 wartawan tempatan dan 21 wartawan
asing serta diplomat yang hadir sebagai pemerhati,
memenuhi ruang yang terhad di galeri awam.

Empat bangku khas disediakan untuk isteri Anwar,
Datin Seri Dr. Wan Azizah, anak-anaknya dan saudara
mara serta beberapa orang sahabat handainya.

Hanya 20 orang awam yang bernasib baik dapat masuk
mengikuti keputusan kes itu, setelah beratur panjang
sejak awal pagi.

Beberapa wartawan media tempatan juga hampa untuk
membuat liputan keputusan hari ini apabila bilangan
wartawan asing mendahului satu barisan masuk ke
dalam mahkamah.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

Kita tidak perlu mengulas panjang mengenai peristiwa hitam yang berlaku kepada Malaysia kelmarin kerana orang ramai telah sedia maklum mengenai perkara ini.

Keputusan hakim jelas menepati ramalan media asing dan orang-orang yang sedar terhadap kezaliman yang berlaku secara terang-terangan. Hanya media tempatan sahaja yang tidak tahu meramal disebabkan kebutaan mata kepala dan mata hati.

Keputusan hakim merupakan berakhirnya satu lagi episod dalam kisah konspirasi politik yang melibatkan Dr. Mahathir.  

Sejak dari mula hingga semalam Dato Seri Anwar tidak diberi peluang untuk membela dirinya mengikut standard antarabangsa.

Mengikut fakta Dato Seri Anwar dihukum di bawah undang-undang darurat yang menunjukkan bahawa negara kita Malaysia berada dalam keadaan darurat. Dato Seri Anwar juga dihukum di atas sesuatu tuduhan yang belum dibuktikan sehingga kini. Kes beliau adalah sama seperti seorang ayah yang menghukum anaknya yang ingin membela diri selepas ditohmahkan oleh seseorang sedangkan anaknya itu masih belum lagi dibuktikan bersalah. Begitulah songsangnya sistem kehakiman kita.

Kita jangkakan media tempatan dan para pemimpin BN akan membidas suara-suara mengbangkang dari luar termasuk media-media asing. Sehingga kini, para pemimpin beberapa negara luar telah mempertikaikan keputusan dan hukuman mahkamah. Antaranya dari Filipina, New Zealand, Australia, Britain, Hong Kong dan Amerika Syarikat. Jangan terkejut sekiranya Dr Mahathir akan menuduh Dato Seri Anwar sebagai agen kesemua negara-negara ini.

Kita berpendapat bahawa keputusan tersebut perlu dipatuhi dan proses perundangan diikuti sehingga ke akhirnya. sekiranya proses kemanusiaan tidak dapat menuntut keadilan maka tunggulah bala yang lebih dasyat daripada Allah swt untuk semua rakyat Malaysia.

Sementara ini kita banyakkan doa, banyakkan berzikir dan berusaha semampu mungkin untuk memastikan kerajaan BN tumbang dalam pilihanraya umum akan datang.
 

Sila edarkan kepada umum.