Make your own free website on Tripod.com

Rabu, 14 April 1999
 
Pembangkang cuba keruhkan suasana

Minda Pengarang 

APA jua keputusan yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini terhadap kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasti ia akan terus digunakan oleh mereka yang menyokong pembangkang dan gerakan reformasi bagi menggambarkan keburukan kerajaan. Mulai hari ini bersalah atau sebaliknya, keputusan terhadap kes itu itu akan terus diputar-belitkan untuk kepentingan politik pembangkang. Mereka akan terus menabur        tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan.

Malah episod dan kempen itu sudah pun bermula menerusi media asing yang kita percayai lebih berpihak dan semakin dipengaruhi pembangkang. Media asing sudah terlalu awal membuat komen mengenai keputusan itu sehingga ada di antara laporan mereka menggambarkan Kuala Lumpur bakal
diselimuti dengan pelbagai ketegangan berikutan keputusan itu. Mereka sengaja mahu menimbulkan kebimbangan dan huru-hara dalam negara kita        yang aman ini. Laporan itu terus mencemuh sistem kehakiman negara manakala isu 'mata lebam' diberikan tumpuan. Malah kata mereka, keputusan bersalah akan menjadikan Anwar seorang yang 'syahid politik'  dan sokongan yang semakin banyak diterima beliau akan dapat menukar senario pemerintahan di Malaysia.

Menerusi halaman web Internet yang dikendalikan pergerakan reformasi dan parti pembangkang, pelbagai program disusun sempena menyambut        keputusan mahkamah itu. Mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk mengambil kesempatan daripada keputusan itu mengelirukan rakyat supaya tidak lagi percaya pada pucuk pimpinan negara. Semua lapisan masyarakat diminta mengadakan beberapa perhimpunan di ibu kota dan seluruh negara        bermula malam tadi sehingga pagi ini untuk membantah keputusan yang bakal diambil mahkamah. Disebabkan remaja pula adalah yang paling mudah dipengaruhi, mereka menganjurkan semua pelajar institusi pengajian tinggi berkumpul di Pasar Seni Kuala Lumpur malam tadi sebelum berarak  ke Dataran Merdeka dan berkumpul sehingga pagi ini. 

Mereka disuruh menanti secara beramai-ramai keputusan Mahkamah Tinggi yang bangunannya berdekatan dengan dataran itu serta mengikut arahan
seterusnya apa yang perlu dibuat selepas itu. Sempena 14 April ini, pada malamnya pembangkang menganjur 'Hari Perpaduan Rakyat Malaysia'.
Publisiti meluas dibuat dengan menjemput orang ramai untuk mendengar penjelasan mengenai keputusan mahkamah hari ini.

Kita percaya bertitik-tolak hari ini selepas keputusan kes diketahui, pembangkang akan berusaha keras menghidupkan semula perhimpunan di  mana saja jika ada kesempatan bagi menggembar-gemburkan keputusan kes perbicaraan ini. Mereka cuba menyiram api kemarahan agar rakyat benci dan menentang kerajaan atas satu sebab - iaitu tiada lagi keadilan.

Mereka mendabik dada mengatakan merekalah pejuang keadilan justeru, rakyat perlu menyokong mereka dan menolak kerajaan sedia ada.

Bagi rakyat yang cintakan keamanan, kita sedih dengan tindakan pembangkang yang semakin keterlaluan dalam menagih simpati dan sokongan sehingga sanggup membelakangan undang-undang untuk  menganjurkan pelbagai perhimpunan haram. Lebih malang, golongan pelajar  yang tanggungjawab mereka kini menuntut ilmu dan kelak berbakti kepada
negara, dipengaruhi oleh pembangkang hanya semata-mata memastikan cita-cita dan matlamat politik tercapai. 

Bukan pelajar saja malah semua pihak yang bakal berkumpul, sebenarnya terdedah pelbagai risko atas perbuatan yang tidak berfaedah ini.

 Sebagaimana yang ditegaskan oleh polis, perhimpunan seperti ini tidak mendapat permit dan mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas.
Namun kita percaya tidak semudah itu pembangkang dan gerakan reformasi dapat mempengaruhi rakyat jelata apatah lagi untuk mengerah mereka      berhimpun tanpa sebarang faedah tetapi hanya untuk memastikan seorang  ahli politik yang semakin terpinggir, kembali semula memenuhi cita-citanya.
Apakah perlu rakyat yang selama ini diulit kesenangan, pembangunan dan keamanan, berhimpun mencetuskan huru-hara hanya disebabkan mahkamah membuat keputusan seseorang itu bersalah atau tidak selepas dia diberi peluang dibicarakan? 

Apakah keadilan hanya akan terlihat dan diterima jika ia dapat memuaskan hati golongan tertentu sahaja? Sehubungan itu, kita mahu semua pihak berfikiran rasional. Undang-undang yang kita gubal sebenarnya tidak langsung bermakna jika kita sendiri enggan akur mematuhi dan menerima setiap keputusannya. Kalau pun kita mahu berhimpun, rakyat yang sayangkan Malaysia, akan lebih rela perhimpunan dibuat atas dasar mengeratkan perpaduan dalam sebuah negara berbilang kaum ini, bersatu menghadapi segala tekanan terhadap kegawatan ekonomi, menghadapi     musuh asing dan bekerja keras memastikan generasi masa depan lebih terbela. Sesungguhnya usaha sebeginilah yang akan lebih memanfaatkan kita        semua.

Kita berpendapat bahawa minda pengarang ini sememangnya jumud dan tidak relevan kerana pemiliknya telah buta mata dan buta hati terhadap kezaliman dan kemungkaran kerajaan BN yang telah mengundang pelbagai bala daripada Allah swt.

Salah satu sebab mengapa media tempatan  tidak dapat meramal keputusan kes Dato Seri Anwar Ibrahim berbanding media asing adalah disebabkan mereka seperti juga pengarang telah buta kepada kebenaran. Hati mereka berpaling jauh daripada pandangan Allah swt.

Media tempatan sebagai tukang karut dan tukang canang kerajaan beria-ia sangat menyalahkan para penyokong Dato Seri Anwar dan gerakan reformasinya sedangkan pada satu ketika mereka pernah mengagong -agongkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin UMNO dan kerajaan yang berwibawa. Inilah budaya politik paling jijik milik orang melayu yang berugama Islam yang diacukan oleh UMNO.  Budaya politik inilah yang meracun minda bangsa melayu.

Sebagaimana yang disebutkan tadi bahawa ramalan media asing bersama-sama dengan rakyat yang sedar adalah tepat dan hukuman penjara selama 6 tahun terhadap Dato Seri Anwar adalah sesuatu yang tidak sama sekali diduga.

Semua yang terjadi di mahkamah adalah benar dan bukan tohmahan. Mengikut standard undang-undang dan guaman antarabangsa, kes Dato Seri Anwar Ibrahim telah banyak mencabul hak-hak asasi manusia mengikut Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu. Kemungkinan pengarang tidak tahu kerana asyik duduk di bawah tempurung.

Untuk pengetahuan pengarang, media tempatan telah memperlekehkan rakyat bersabit dengan isu mata lebam Dato Seri Anwar Ibrahim. Sayugia diingatkan bahawa perkara ini terbongkar adalah disebabkan oleh tekanan para pejuang reformasi dan bukan daripada media tempatan yang bersifat bacul. Sebaliknya media asinglah yang telah memberikan liputan yang tepat dan benar.

Untuk makluman pengarang, kebangkitan para penyokong reformasi bukan disebabkan oleh perancangan luar. Ia datang dari dalam hati rakyat yang benci terhadap kezaliman yang berlaku terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim. Perlu diingatkan bahawa gerakan reformasi juga disokong oleh ahli-ahli UMNO.

Pandangan pengarang yang menyelar tindakan gerakan reformasi untuk berkumpul di Dataran Merdeka dan kawasan sekitar mahkamah sebelum keputusan dibuat adalah begitu sempit sekali dan bersifat pengampu kerana di akhir rencana beliau turut mencadangkan betapa baiknya sekira perhimpunan dibuat untuk menyokong kerajaan. Dalam keadaan ini sudah tentu pihak polis tidak memerlukan permit dikeluarkan sepertimana yang dilakukan sedikit masa dahulu.

Kita tidak fikir para pelajar bertindak demikian disebabkan mereka digunakan oleh pihak- pihak tertentu. Sebaliknya mereka bertindak sedemikian disebabkan mereka celek dan mereka belum dinodai oleh budaya politik kotor UMNO. 
         
Kita juga mengecam pandangan pengarang yang mengatakan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim adalah "seorang ahli politik yang semakin terpinggir, kembali semula memenuhi cita-citanya" kerana suka tidak suka kebanyakan rakyat terutama yang sedar mengakui kredibiliti Dato Seri Anwar Ibrahim yang jauh lebih tinggi daripada mana-mana pemimpin UMNO ketika ini.

Kita ingin bertanya kepada pengarang, betapa banyak wang yang beliau dapat sebagai pengampu dan pencanang BN? Adakah beliau telah buta mata dan buta  hati untuk mengenal erti keadilan dan kezaliman? Adakah beliau tidak mengikuti prosiding mahkamah secara dekat? Adakah beliau lupa betapa buruknya tingkah laku hakim? Adakah beliau lupa hakim telah menolak keterangan saksi dan bukti yang berpihak kepada Dato Seri Anwar Ibrahim? Adakah beliau lupa bagaimana tilam diusung berminggu-minggu dan kemudiannya dipinda pertuduhan ditengah- tengah perbicaraan setelah pihak pendakwa gagal mendapat sesuatu? Adakah beliau lupa hakim telah mengugut dan bertindak terhadap peguam- peguam Dato Seri Anwar kerana kononnya telah menghina mahkamah? Adakah beliau lupa bagaimana Ketua Pendakwaraya turun padang dalam pertengahan perbicaraan?

Untuk pengetahuan pengarang, rakyat bukan selamanya akan dibutakan mata dan dipekakkan telinga. 

        

        
        

Sila edarkan kepada umum.