Make your own free website on Tripod.com

Rabu, 14 April 1999
 
Abdullah yakin rakyat cintakan keamanan

KUALA LUMPUR 13 April - Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin
rakyat negara ini bersikap pragmatik, cintakan
keamanan dan menghargai pemimpin yang
bertanggungjawab.

Mereka, katanya, berupaya membezakan pemimpin
yang popular untuk jangka pendek dengan pemimpin
yang telah terbukti kebolehannya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kepimpinan yang bertanggungjawab memerlukan sifat seorang negarawan yang berani dan bijaksana apabila bertindak.

''Kepimpinan bertanggungjawab bukanlah milik mereka yang melaung-laungkan slogan kosong atau yang memesongkan penyokongnya,'' katanya ketika berucap melancarkan CD-ROM multimedia interaktif ''Mahathir: CEO Malaysia Inc.'' yang dikelolakan oleh Institut Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli) di sini, hari ini.

Justeru, Abdullah percaya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, yang terbukti sebagai pemangkin utama kejayaan Malaysia akan membawa negara ke masa depan yang lebih gemilang.

''Dalam tempoh 18 tahun lalu, Dr. Mahathir telah
membawa perubahan kepada Malaysia daripada segi
sosial, ekonomi dan politik...saya yakin beliau akan
menguruskan perubahan negara bagi fasa akan datang memasuki alaf baru,'' katanya.

Sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1981,
katanya, Dr. Mahathir telah mengubah Malaysia
daripada negara berasaskan komoditi kepada negara
sedang menuju tahap perindustrian yang dihormati. 

''Sebelum krisis mata wang Asia melanda negara dua
tahun lalu, Dr. Mahathir telah membawa peningkatan
purata pendapatan tahunan Malaysia daripada AS$300 seorang kepada AS$5,000. Tidak banyak pemimpin mampu menyaingi pencapaian ini,'' katanya.

Abdullah berkata, Dr. Mahathir telah merumuskan
kepercayaan yang menggabungkan hakikat ekonomi
tulen dengan kepintaran seorang ahli perniagaan dan
ketajaman jangkaan masa depan untuk merangsang
pengikutnya. 

''Selepas mengalami pertumbuhan yang mengagumkan selama lebih lapan tahun, tidak ada siapa yang pernah membayangkan masalah seperti yang dihadapi negara sekarang. 

Namun Dr. Mahathir, kata Abdullah, tetap berazam
untuk melihat Malaysia bangkit kembali dan dengan
penuh tekad berusaha memulihkan semula ekonomi
negara. 

''Bagi saya beliau adalah segala-galanya. Dr. Mahathir
adalah ahli pembaharuan perdagangan zaman moden
yang tulen. Sebagai pelopor konsep Wawasan 2020
dan Koridor Raya Multimedia (MSC), beliau boleh
disifatkan sebagai Bapa Wawasan,'' katanya. 

Menurutnya, pentadbiran sebuah negara majmuk bukan tugas mudah apatah lagi dalam waktu-waktu sukar. 

''Perlu kita pastikan kita tidak merosakkan jalinan sosial masyarakat kita dan asas yang kukuh yang diletakkan dengan susah-payah oleh pemimpin kita. 

''Malah menjadi cabaran besar kepada kita, pemimpin
hari ini untuk memastikan kita meninggalkan kepada
pengganti kita sebuah negara Malaysia yang tetap aman dan stabil tetapi dinamik,'' katanya. 

CD-ROM ''Mahathir: CEO Malaysia Inc.''
membincangkan kisah kejayaan Malaysia dengan
penumpuan kepada kepemimpinan strategik Dr.
Mahathir. 

Ia yang mengandungi lebih 35 ucapan Perdana Menteri turut memasukkan wawancara eksklusif selama sejam dengan Perdana Menteri yang dibuat dalam format VCD digital, yang beliau bercakap mengenai aspirasi bangsa Malaysia, kebingkasan Wawasan 2020, nilai keluarga dan agama, generasi akan datang dan kepimpinan alaf akan datang.

CD-ROM ini dijual pada harga RM60 setiap satu dan
boleh didapati di kedai buku, kedai POS 2020, MAS
Boutique dan kedai cenderamata hotel terpilih. 

Laporan ini jelas menunjukkan betapa Dato Seri Abdullah Badawi lupa bahawa tanggungjawab kerajaan adalah kepada rakyatnya. Adalah satu kebiadapan sekiranya minda rakyat terus dijajah dengan budaya takut dan budaya mengampu yang disemai oleh kerajaan dan pemimpin BN selama ini.

Walaupun beliau mengetahui mengenai sifat-sifat yang  baik bagi seorang pemimpin namun beliau tersasar apabila ciri-ciri ini dikaitkan dengan Dr. Mahathir kerana pada realitinya Dr. Mahathir adalah sebaliknya.

Percayalah bahawa wawasan 2020 akan menjadi Waswasan 2020 kerana rakyat telah hilang keyakinan dengan kerajaan Dr. Mahathir. Rakyat rasa tertipu kerana projek -projek  mega yang dilaksanakan selama ini rupa-rupanya adalah untuk anak dan kroni beliau. Penyelewangan dan rasuah berleluasa sehingga mencengkam kehidupan rakyat.

Ini ditambah dengan segala bentuk kegawatan seperti kegawatan sosial, kegawatan alam sekitar dan kegawatan kesihatan jelas menunjukkan bahawa kepepimpinan Dr. Mahathir penuh dengan kepalsuan, kemungkaran dan kezaliman. 

Semua ini mengundang bala daripada Allah swt seperti wabak kuman JE dan Nipah, jerebu, murtad dan penyakit-penyakit sosial seperti penagihan dadah, gejala buang anak dan seks muhrim.

Jelaslah bahawa regim Dr. Mahathir yang berusia 18 tahun ini perlu dihentikan segera kerana sebenarnya beliaulah CEO durjana bagi Malaysia yang telah dikorporatkan untuk anak dan kroninya.

Sila edarkan kepada orang ramai.