Make your own free website on Tripod.com

Utusan Malaysia - 14.4.99
 
 
Amaran kepada pelajar -- Najib: Jangan
sertai perhimpunan haram di Dataran
Merdeka

KUALA LUMPUR 13 April - Kementerian Pendidikan
memberi amaran keras kepada para pelajar khususnya
dari institusi pengajian tinggi (IPT) supaya tidak
menyertai perhimpunan haram yang dirancang diadakan menjelang pengumuman keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dataran Merdeka di sini, esok.

Lebih 12 pelajar IPT telah dihukum gantung pengajian
atau dibuang setelah didapati bersalah menyertai
beberapa siri perhimpunan haram gerakan reformasi
anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara sejak
September lalu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, pelajar yang didapati bersalah menyertai
perhimpunan haram akan menghadapi tindakan tegas
mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1966
(Pindaan 1995).

Beliau berkata, kementerian telah memaklumkan kepada polis untuk bersiap sedia bagi bertindak sewajarnya terhadap pelajar yang didapati terbabit dalam perhimpunan haram esok.

''Kepada pelajar, saya ingin mengingatkan mereka
bahawa perbuatan menunjuk perasaan secara haram itu hanya akan merugikan masa depan mereka.

''Seandainya ditangkap polis, pelajar akan ditahan dan
didakwa oleh mahkamah. Selepas itu, kes mereka akan
dirujuk kepada Lembaga Tatatertib IPT terbabit dan
mereka boleh dihukum gantung pengajian atau terus
dibuang,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian mengenai wujudnya sebaran
bahan bercetak yang mengajak orang ramai menyertai
perhimpunan ''Menentang Ketidakadilan
Undang-undang dan Kekerasan Kuasa Polis'' dan
perhimpunan Barisan Rakyat di Dataran Merdeka di
sini, hari ini dan esok.

Bahan bercetak itu diedar secara meluas termasuk
diletakkan di pintu masuk beberapa buah masjid seperti Masjid Negara sewaktu solat Jumaat lalu, selain makluman menghasut orang ramai berbuat demikian menerusi Internet.

Perhimpunan itu dirancang serentak dengan keputusan perbicaraan kes Anwar yang akan diumumkan esok setelah 78 hari perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anwar yang ditangkap di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan di rumahnya pada malam 20 September tahun lalu dibicarakan atas empat tuduhan rasuah sejak November 1998.

Najib berkata, para pelajar harus menjadi rakyat yang
bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan
menyertai perhimpunan haram atau mengadakannya di dalam atau di luar kampus.

Beliau berkata, amaran tegas itu turut meliputi
pegawai-pegawai kerajaan supaya tidak berbuat
demikian dan mereka adalah tertakluk di bawah
peraturan am kakitangan dan pegawai kerajaan.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur turut mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terlibat dalam perhimpunan haram di sekitar ibu negara, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md. Ali menegaskan, polis mempunyai kekuatan yang
mencukupi untuk mengawal keadaan dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

''Yang ingin ditegaskan, hormati undang-undang kerana masih ramai lagi masyarakat yang cintakan keamanan,'' katanya di sini, hari ini.

Kamaruddin turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengadakan sebarang bentuk perhimpunan di Kuala Lumpur kerana polis tidak pernah mengeluarkan permit untuk tujuan seumpama itu.

Beliau berkata, adalah suatu kesalahan bagi sesiapa
yang mengambil bahagian atau menganjurkan
perhimpunan seumpama itu mengikut Akta Polis 1967.

Jelas beliau, orang ramai juga diminta tidak
mempercayai sebarang bentuk khabar angin sama ada
melalui surat-surat layang atau Internet.

Kamaruddin mengingatkan bahawa menyebarkan
sebarang maklumat palsu (secara lisan) yang boleh
menjejaskan ketenteraman awam adalah satu kesalahanjenayah.

''Jangan membuat sesuatu yang boleh menjejaskan
ketenteraman awam dan jika tidak berpuas hati
terhadap polis, orang ramai boleh menggunakan saluran tertentu termasuk menyaman kita,'' katanya.

Menurut beliau, polis telah membuat kawalan terutama di sekitar kawasan Dataran Merdeka mulai hari ini.

''Orang ramai diminta menggunakan jalan-jalan yang lain sekiranya tidak mempunyai urusan yang perlu untuk mengelakkan dari terperangkap sekiranya sesuatu yang di luar jangkaan berlaku,'' tambahnya.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM dan MOHD. RADZI
MOHD. ZIN
 

Kita menolak tanggapan bahawa satu-satu perhimpunan rakyat semestinya bersifat liar dan agresif. 

Dalam kenyataan ini Najib telah menghina generasi muda pelajar yang begitu peka dengan perkembangan politik dan undang-undang negara. Kita ingin peringatkan kepada Najib bahawa pelajar adalah klien IPT.  Ini adalah sejajar dengan konsep pengkorporatan yang dilaung-laungkan beliau. Mereka membayar dan IPT memberikan perkhidmatan. Dalam hal ini, adakah adil Kementerian Pendidikan mengugut kliennya? Tentu tidak. 

Sedarlah bahawa salah satu dasar pendidikan negara adalah untuk mewujudkan para pelajar yang bermaruah yang tahu antara kebenaran dan kepalsuan. Antara keadilan dan kezaliman. Kita ingin tanya kepada Najib sekiranya pelajar-pelajar berhimpun di Dataran Merdeka untuk menyokong Dr. Mahathir, adakah mereka akan dibenarkan berhimpun walaupun tanpa permit? Jawapannya tentu ya!!

Cukuplah rakyat telah mual dengan tindak tanduk para pemimpin UMNO-BN yang tidak bermaruah. Mereka dihimpit penyakit "budaya takut". Mereka cuba pula memanjangkannya kepada rakyat jelata.

Kepada pihak polis cukuplah dengan sifat tidak berperikemanusiaan. Kita hilang keyakinan dengan polis. Salah satu sebabnya ada keburukan perangai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan juga pembohongan pegawai-pegawai polis semasa siasatan dalaman dijalankan dalam kes mata lebam Dato Seri Anwar Ibrahim. 

Tolonglah, jangan tuduh rakyat tidak tahu dan tidak patuh kepada undang-undang sedangkan pasukan polislah yang banyak menyeleweng, salahguna kuasa dan rasuah. Ingatlah bahawa gaji polis dibayar oleh wang rakyat. Oleh itu jangan pula rakyat dipukul sewenang- wenangnya.

Kita yakin bahawa rakyat Malaysia adalah berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Kita tidak harus disamakan dengan rakyat negara lain seperti Indonesia.