Make your own free website on Tripod.com
 
Berita Harian - 13.4.99
 
Media asing ramal Anwar dihukum bersalah

KUALA LUMPUR, Isnin - Dua hari sebelum Mahkamah Tinggi membuat keputusan mengenai kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim, media asing meramalkan beliau akan didapati bersalah.

Serentak itu, mereka mempersoalkan sistem kehakiman negara yang
 didakwa tidak adil dan menganggap Anwar sebagai mangsa konspirasi
 politik.

 Menurut mereka, keputusan bersalah akan menjadikan Anwar sebagai
 'syahid politik' dan ini menguntungkan pihak-pihak yang mencuba
 menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Wakil-wakil media asing mula berhimpun semula di ibu negara, manakala agensi-agensi berita mula mengeluarkan semula berita dan gambar berkaitan kes Anwar, khasnya kecederaan yang disebabkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

The Sunday Telegraph yang diterbitkan di London, melaporkan keputusan perbicaraan Anwar yang akan dibuat oleh hakim, Datuk S Augustine Paul, Rabu ini akan menyediakan seorang 'syahid' bagi pakatan pembangkang di negara ini.

Dalam laporan yang ditulis oleh wartawannya yang berpangkalan di
Bangkok, Alex Spillius, akhbar itu berkata keputusan kes Anwar satu
permulaan perjuangan hati dan minda seluruh rakyat Malaysia.

Tanpa segan silu lagi, Telegraph menggambarkan Anwar menjadi mangsa kekejaman, sistem perundangan yang zalim dan tidak berperi kemanusiaan.

Sentimen akhbar itu turut dikongsi bersama oleh agensi berita asing yang berpangkalan di Kuala Lumpur. 

Agensi berita Reuters dalam analisisnya hari ini memberitahu pembacanya, apa juga keputusan hakim Rabu ini akan membantu membentuk masa depan politik Malaysia.

Dengan menemu ramah tokoh pembangkang dan pemimpin pertubuhan
 bukan kerajaan (NGO) yang antikerajaan, agensi berita itu meramalkan
Malaysia akan terus bergelora sehingga men-jelang pilihan raya akan datang.

Analisis yang dibuat turut menggambarkan ibu negara sebagai dalam
 keadaan tegang, walaupun keadaan adalah sebaliknya.

Wartawan AFP dengan menemu ramah peguam Anwar dan tokoh
 pembangkang juga meramalkan tertuduh dijangka didapati bersalah dan  menghabiskan masa yang lama di dalam penjara.

Menurut agensi berita itu, jika dibebaskan, Anwar terpaksa berhadapan
dengan tuduhan lain.

Laporan ini bukan saja berat sebelah, tetapi mempersoalkan sistem keadilan dan perundangan negara.

Akhbar The South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong  pula berkata, Anwar tidak mengganggap penyingkirannya daripada parti  yang memerintah menjadi halangan untuknya menjadi pemimpin negara ini.

Penulisnya, Ian Stewart, yang menerima nota pendek dari Anwar di Penjara Sungai Buloh berkata: "Rakyat akan membuat keputusan kemudian."

Berita ini jelas membuktikan betapa rendahnya mutu laporan wartawan akhbar Berita Harian yang memalukan bidang profesyennya sendiri.

Mereka bukan sahaja tidak melaporkan berita-berita yang benar malah sikap mereka tidak lebih sekadar menjadi jurulapor bergaji kepada parti Barisan Nasional. Mereka  tidak peka dengan keadaan sebenar yang berlaku di negara kita. Mereka tidak melihat kenyataan dan menutup mata kepada kebenaran. Malah mereka cuba menipu rakyat. Mereka adalah media politik yang meracun dan menjajah fikiran rakyat jelata. Mereka tidak telus dan tidak profesional.

Kita tidak mengatakan bahawa apa yang dilaporkan oleh media asing itu betul kesemuanya namun rakyat telah hilang kepercayaan dengan media tempatan penyokong BN yang tidak memberikan gambaran yang sebenar terhadap kes Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Itulah sebabnya sambutan rakyat terhadap Harakah telah meningkat secara mendadak.

Media tempatan sudah lupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat dan dihina begitu rupa oleh Dr. Mahathir. Itulah sebabnya kes ini mendapat perhatian dunia.

Prosiding mahkamah juga menyaksikan betapa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak diberi peluang seluas-luasnya untuk membela dirinya. Kita tidak lupa betapa buruknya tingkah laku hakim Augustine Paul yang mencemarkan kredibiliti hakim-hakim Malaysia sehingga beliau telah menjadi tidak relevan lagi. Hakim telah mengeluarkan bukti-bukti dan keterangan- keterangan saksi yang sahih dari rekod mahkamah oleh kerana ianya memihak kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Kita tidak akan lupa betapa rendahnya ilmu ahli kimia kita yang kononnya seorang pakar DNA dan dunia mentertawakan kita apabila tilam "sakti" diusung keluar masuk mahkamah berminggu-minggu lamanya. Akhirnya semua ini tidak diterima oleh hakim. 

Hakim juga telah mengeluarkan perintah  kononnya peguam DSAI menghina mahkamah sedangkan tindak tanduki pihak pendakwa lagi mencurigakan. Kita  menyaksikan bagaimana dakwaan dipinda dan bagaimana Ketua Pendakwaraya sendiri telah turun padang di tengah-tengah perbicaraan.

Memandangkan kes ini melibatkan seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang berwibawa serta didera begitu rupa sudah barang tentu keputusan mahkamah tetap menjadi perhatian dunia.

Dan sekiranya media asing melaporkan perkara-perkara yang tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu walaupun benar, maka mereka akan dituduh sebagai anti kerajaan.

Persoalannya di sini mengapa akhbar-akhbar tersebut perlu mengambil berita-berita daripada agensi luar untuk berita-berita global sekiranya pelaporan mereka tidak tepat.

Sila edarkan kepada umum.