Make your own free website on Tripod.com
 
 

Rencana Utusan Malaysia - 13.4.99
 
 
ALLAH MELARANG GELARAN BURUK

PENGHINAAN terhadap Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan gelaran
'penjaga babi' sesungguhnya amat mendukacitakan
bukan sahaja beliau, malahan seluruh umat Islam yang
beriman.

Perihal gelaran buruk itu dilaungkan di khalayak umum
oleh seorang yang bergelar ustaz berkelulusan Universiti
al-Azhar, lebih mendukacitakan.

Dan, betapa ustaz berkenaan adalah pemimpin sebuah
parti politik yang melaungkan slogan Islam dan
bercita-cita mahu menjadikan Malaysia sebuah negara
yang akan melaksanakan hukum hudud, turut
membimbangkan orang-orang yang beriman.

Sama ada berjenaka, melawak atau sekadar bermain
kata-kata untuk menghiburkan para pendengar ceramah,
melemparkan gelaran buruk kepada orang lain sama
sekali dilarang oleh Allah s.w.t.

Larangan ini terkandung dalam Ayat 11, Surah Al-
Hujurat yang maksudnya amat jelas, tanpa memerlukan
tafsiran panjang lebar oleh orang yang arif dalam ilmu
tafsir al-Quran. 

''HAI orang-orang yang beriman, janganlah suatu
kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana)
boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik
daripada mereka (yang mengolok-olokkan) dan
jangan pula wanita (mengolok-olokkan) wanita
lain (kerana) boleh jadi wanita (yang
diolok-olokkan itu) lebih baik daripada wanita
(yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu
mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu
panggil memanggil dengan gelaran-gelaran
buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah yang buruk
sesudah iman dan barang siapa yang tidak
bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.''
- 49:11 (al-Hujurat)

Seandainya seseorang Muslim tidak menghiraukan
larangan Allah itu, maka umum boleh mempersoalkan
apakah si pengucap gelaran buruk kepada orang lain itu
tidak beriman.

Melalui ayat ini, Allah memerintahkan orang-orang yang
melakukan kesalahan tersebut supaya bertaubat, jika
mereka masih beriman. Sekiranya mereka tidak
bertaubat, maka mereka termasuk dalam golongan yang
Allah kategorikan sebagai zalim.

Utusan Malaysia mencatatkan peringatan Allah ini
bukan dengan tujuan untuk mengaibkan mana-mana
pihak, tetapi atas kebimbangan melihat senario politik
hari ini yang menuju ke arah yang boleh merosakkan
masa depan ummah, agama dan negara.

Apa yang lebih dibimbangi ialah Malaysia akan ditimpa
kemurkaan Allah, apabila orang-orang yang dianggap
oleh masyarakat umum sebagai ulama, tidak lagi
melaksanakan amanah sebagaimana yang ditetapkan
dalam al-Quran.

Orang ramai dikelabui dengan slogan agama oleh
sebilangan golongan yang dilihat pada zahirnya sebagai
ulama, tetapi ucapan mereka hanyalah berlandaskan
cita-cita politik atau kepentingan peribadi.

Kebanyakan orang awam lekas terpengaruh apabila
dijanjikan syurga jika menyokong, dan diancam dengan
neraka jika tidak memihak puak tertentu. Sebenarnya,
syurga dan neraka itu hanyalah hak Allah yang
dikurniakan kepada orang-orang yang beriman dan
beramal soleh.

Malangnya, atas nama politik, kebenaran dalam
al-Quran tidak lagi dipatuhi sepenuhnya. Di samping itu,
ilmu terlalu diagung-agungkan sehingga kita terlupa
kepada hakikat iman. Akibatnya orang yang berilmu
turut melanggar larangan al-Quran kerana iman tidak lagi
diutamakan dalam kehidupan.

Bagaimanakah nanti jika golongan ini diberi kuasa
mentadbirkan negara? Apakah akan tegak kerajaan
Islam yang menepati ajaran al-Quran?
 

Inilah satu contoh bagaimana akhbar Utusan menggunakan ayat-ayat Al Quran untuk tujuan politik. Kita tidak menafikan makna dan ajaran ayat-ayat Allah swt ini. Cuma yang kita sedih adalah ayat-ayat ini digunakan dengan niat yang jahat semata-mata untuk mengabui mata rakyat. Kita ingin tanya apa komen penulis terhadap para pemimpin UMNO seperti Dr M yang menfitnah DSAI? Beranikah dia menulis ayat-ayat Al Quran untuk menasihati Dr. M terhadap tuduhannya itu?
Contoh ini jelas menunjukkan bahawa Utusan mempermain-mainkan ayat-ayat Al Quran untuk tujuan politik semata-mata. 

Ingatlah bala Allah swt terhadap pihak-pihak yang menggunakan ayat-ayat suci ini untuk tujuan politik.


 Sila edarkan kepada umum.