Make your own free website on Tripod.com
 
Selasa, 13 April 1999
 
Fadzil Noor dibidas -- 'Kaitkan keluarga
Abdullah Badawi dengan isu babi
keterlaluan'

KUALA LUMPUR 12 April - Para pemimpin dan
masyarakat pelbagai peringkat hari ini membidas
Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor kerana mengaitkan
keluarga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan
isu babi dan wabak Japanese Encephalitis (JE).

Sambil menegaskan Fadzil tidak sepatutnya
mengeluarkan kenyataan itu, mereka menyifatkan
tindakan pemimpin Pas tersebut sudah keterlaluan dan
bertentangan dengan tuntutan agama.

Mengulas kenyataan Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman berkata,
usaha yang dibuat oleh Abdullah bukan untuk
memelihara babi tetapi menghapuskan penyakit yang
berpunca daripada binatang itu yang merupakan satu
tuntutan dalam Islam.

''Mengapa dicela atau dicemuh kerana ia merupakan
perkara yang wajib dalam Islam iaitu mencegah
daripada berjangkit dan menghapuskan penyakit,''
tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas
kenyataan Presiden Pas itu yang antara lain menyebut
bahawa ''orang Badwi di tanah Arab menjaga unta dan
kambing tetapi Badawi di Malaysia menjaga babi.''

Kenyataan itu dikeluarkan pada majlis ceramah politik
sempena sambutan Aidiladha di Cheruk Tok Kun, Pulau
Pinang, pada 29 Mac lalu.

Hadir sama di majlis itu ialah Dr. Wan Azizah Wan
Ismail.

Abdullah dalam reaksinya semalam berkata, Fadzil tidak
sewajarnya menghina beliau sehingga ke peringkat
menggunakan nama baik keluarganya semata-mata
untuk kepentingan politik Pas.

Dr. Abdul Hamid menjelaskan, nama keluarga Abdullah
bukan bermakna beliau merupakan keturunan Arab
Badwi tetapi nama Badawi itu diambil sempena nama
ahli tasawuf terkenal Islam, Syed Badawi.

''Ini satu kenyataan (Fadzil) yang tidak betul, dari segi
agama pun tidak betul kerana ahli tasawuf besar
dimain-mainkan seperti itu,'' katanya.

Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk
Hishammuddin Tun Hussein pula mempersoalkan jika
Pas 'berpeluang' menerajui kerajaan apakah mereka
sekadar melihat sahaja tanpa bertindak terhadap wabak
penyakit berpunca dari binatang bukan babi.

''Apakah Pas (jika diberi ruang menerajui kerajaan)
akan hanya bertindak sekiranya puncanya (wabak JE)
daripada unta dan kambing. 

''Pendekatan ini tak waras, kalau nak membentuk
kerajaan Malaysia memimpin masyarakat majmuk, apa
sahaja wabak yang menyebabkan kematian tanpa
mengira kaum dan agama (termasuk babi) kita perlu
bertanggungjawab (menanganinya).

''Tindakan ini begitu keji, mereka dakwa diri sebagai
pemimpin Islam dan melaung-laungkan keadilan tetapi
pada masa sama tergamak mempersendakan orang
lain,'' katanya.

Mengulas isu yang sama, Menteri Besar Negeri
Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad
menyifatkan kenyataan Fadzil itu sebagai tindakan
biadab dan rendah moral.

Menurut beliau, sebagai seorang pemimpin parti yang
bermotifkan perjuangan Islam, Fadzil tidak seharusnya
mencerca dan menghina dengan kenyataan yang boleh
menjatuhkan maruah orang lain.

Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datin Paduka
Zaleha Ismail pula mendesak Fadzil meminta maaf
secara terbuka kepada Abdullah.

Beliau menyifatkan perbuatan pemimpin tertinggi parti
Pas itu sebagai 'bukan perbuatan orang Islam' kerana
bercakap tanpa menggunakan akal fikiran yang waras.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri,
Datuk Mohd. Shariff Omar menyifatkan penghinaan
Fadzil ke atas Abdullah sebagai 'sudah melampau.'

''Perbuatan menghina Pak Lah dengan mengaitkan beliau
sebagai penjaga babi atau binatang yang diketahui amat
sensitif pada orang Islam tidak patut keluar daripada
mulut seorang yang mendakwa memperjuangkan Islam,''
tegasnya.

Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan
(BBC), Ruhanie Ahmad berkata, BBC menyifatkan
kenyataan Fadzil itu sebagai satu kenyataan yang paling
tidak mempunyai ciri-ciri Islam.

''Ini mencerminkan keceluparan Presiden Pas yang
sepatutnya bertindak secara cermat, bijaksana dan
berlandaskan lunas-lunas keislaman serta budaya
Melayu yang luhur,'' katanya.

Kata Ruhanie, kenyataan itu boleh ditafsirkan bahawa
Pas telah ketandusan isu politik dan strategi untuk
mempertahankan pengaruhnya menjelang pilihan raya
umum yang akan datang.

Pengerusi Kelab Ahli-Ahli Parlimen UMNO (UMPG),
Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, kenyataan itu
tidak sepatutnya datang daripada tokoh sebuah parti
yang berlabelkan Islam.

''Penghinaan Fadzil Noor itu hanya satu lambang dan
gambaran tentang kolot dan singkatnya pemikiran serta
tindak-tanduk kepimpinan Pas,'' katanya.

Sementara itu, Seripah Noli Syed Hussin
(BN-Sepang) ketika membahaskan titah ucapan diraja
menyifatkan, tindakan Fadzil itu adalah satu daripada
strategi parti pembangkang itu untuk mendapatkan
perhatian dan sokongan rakyat.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM)
Datuk Muhammad Abdul Ghani pula berkata,
kenyataan seperti itu bertujuan menghina pemimpin dan
tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang
mendakwa memperjuangkan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor,
Datuk Abdul Kadir Annuar pula berkata, kewibawaan
parti Pas dalam memperjuangkan agama Islam kini
terjejas di kalangan umat Islam berikutan tindak tanduk
pemimpin itu yang sengaja melanggar batas-batas agama
ketika berpolitik.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS) Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, sebagai
seorang pemimpin yang bertaraf ulama sewajarnya
ungkapan seumpama itu tidak keluar dari mulutnya
kerana ia keterlaluan.

Katanya, tugas Abdullah harus difahami dengan jelas
kerana ia semata-mata bertujuan memudahkan segala
gerak kerja untuk membanteras wabak JE dan
bukannya untuk menggalakkan industri ternakan babi di
negara ini.
 

Kita seronok melihat respons daripada penjilat-penjilat UMNO-BN ini. Nampaknya Hamid Othman sudah melalut kerana tidak faham isu. Jaga tak bermaksud jaga babi tapi jaga isu penyakit babi. Pandangan Si Hishamuddin pula lagi teruk. Kesian dia. Si Zaleha tu apa dah jadi?...yang lain-lain tu dah tak relevan kerana setakat ampu sahaja.  Yang anehnya mereka ini semua umat Islam. Adakah mereka ini tidak tahu mengenai hukum Islam terhadap babi? Sepatutnya mereka menasihatkan UMNO-BN supaya Dato Ling atau Dato Sami yang jaga isu ini. Nampaknya para pemimpin UMNO begitu gawat sekali.

Inilah kerja wartawan Utusan yang bermotifkan politik. Insya Allah rakyat bukan bodoh macam dulu.

Sila edarkan kepada umum.