Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

MORAL DI ANTARA PANDANGAN BARAT DAN ISLAM

From: Ibnu Lazim
Date: 05 May 1999
Time: 13:25:43

Comments

Kerapkali kita mendengar orang mengatakan perbuatan itu tidak bermoral, orang ini tidak bermoral atau kesalahan ini kesalahan moral sahaja, sehingga kadang-kadang pengertian moral itu sendiri tidak dapat kita fahami dengan jelas. Kita kadang-kadang juga gagal membezakan apakah sebenarnya moral itu menurut pengertian Islam dan pengertiannya dari sudut pandangan orang-orang Barat dan bukan Islam. Sebenarnya di antara kedua-dua pandangan itu mempunyai perbezaan yang bersifat mendasar terhadap persoalan tersebut.

Ahli-ahli sosiologi Barat memperkatakan moral itu adalah sesuatu yang relatif sifatnya. Sesuatu kelakuan atau perbuatan boleh dianggap bermoral mengikut situasi dalam sesuatu masyarakat, di samping mengambil kira soal tempat dan di zaman mana perbuatan itu berlaku. Misalnya upacara minum air tapai dan seterusnya meniduri salah seorang anak gadis Iban adalah suatu penghormatan terhadap tetamu dari luar. Perkara itu dianggap bermoral oleh ahli-ahli sosiologi Barat kerana ia merupakan adat resam orang Iban dan tidak seorang pun dari masyarakat itu memperkatakan perbuatan sedemikian tidak bermoral. Tetapi apabila perkara tersebut misalnya berlaku dalam masyarakat Melayu, hal itu menyebabkan pelakunya akan dituduh tidak bermoral, kerana ia adalah melanggar tatasusila dan peraturan hidup orang-orang Melayu. Dari dua keadaan di atas, kita dapat menarik satu kesimpulan bahawa moral itu mengikut sarjana-sarjana Sains Kemasyarakatan adalah berubah nilainya mengikut keadaan masa dan tempat.

Sesuatu perkara yang tidak dianggap bermoral dalam sesuatu masyarakat mungkin dianggap bermoral menurut masyarakat lain. Begitu juga soal tempat dan masa. Perbuatan " Striking" misalnya dianggap bermoral pada suatu ketika dulu, di mana perbuatan itu dilakukan oleh masyarakat Barat untuk menunjukkan satu protes sosial atau untuk menunjukkan satu sikap keberanian yang luar biasa. Tetapi perbuatan itu mungkin tidak dianggap bermoral lagi pada zaman ini kerana perubahan sikap dan pandangan hidup.

Dari contoh di atas, sarjana-sarjana sains sosial memutuskan bahawa moral itu adalah sesuatu yang sering berubah-ubah sama seperti berubahnya pandangan hidup mereka dari suatu ketika ke suatu ketika. Kedudukan dan pentafsiran tentang moral ini amat berlainan sekali jika kita tinjau dari sudut pandangan Islam. Islam adalah satu cara hidup yang mana moral adalah salah satu dari perkara yang paling asas. Sebuah masyarakat Islam tidak akan dapat berdiri tanpa satu konsep moral yang jelas. Sebab itu Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud " Sesungguhnya aku dibangkitkan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". Moral dalam istilah Barat adalah akhlak dalam istilah Islam. Kedua-duanya adalah sinonim.

Moral atau akhlak mengikut panafsiran Islam adalah sesuatu kelakuan yang baik berlandaskan ukuran Syariah, satu ukuran yang tetap yang tidak berubah mengikut keadaan dan waktu. Pendek kata tidak ada faktor luaran yang boleh mempengaruhi pandangan atau kriteria moral dalam Islam yang mana inilah perbezaan yang paling jelas di antara moral dalam pandangan Islam dan moral dari sudut pandangan sarjana-sarjana Sains Kemasyarakatan Barat.

Mengikut kriteria Islam, moral atau akhlak adalah kelakuan atau perbuatan yang selari atau tidak melanggar batas- batas peraturan akhlak yang ditetapkan oleh syariah Islam sepertimana yang banyak dihuraikan dalam disiplin Ilmu Tasauf. Sesuatu yang tidak berakhlak mengikut pandangan Islam adalah juga tidak berakhlah untuk masyarakat Islam, tidak kira samada ia masyarakat Arab atau masyarakat Melayu, India atau sebagainya. Penilaian ini juga tidak berubah mengikut zaman yang tertentu. Sesuatu yang tidak berakhlak pada sesuatu zaman adalah juga tidak berakhlak mengikut zaman lain, walaupun perbezaan zaman itu menjangkau beberapa abad lamanya. Menurut akal rasional, pandangan Islam terhadap akhlak ini adalah sesuatu yang paling wajar memandangkan sifat-sifat tabi'i manusia itu yang tidak berubah walaupun di mana dia berada, dalam masyarakat mana dia hidup atau dalam zaman mana dia dilahirkan. Dengan demikian kriteria moral dalam Islam jauh lebih sempurna berbanding dengan kriteria moral mengikut selera Barat . Kesempurnaan pandangan moral dalam Islam itu adalah sesuai dengan sifat semula jadi manusia yang tidak berubah mengikut keadaan, tempat dan zaman. Ia juga melambangkan kesempurnaan Islam termasuk kesempurnaan penciptaNya yang mencipta manusia itu sendiri. Ini memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama fitrah untuk semua manusia sesuai dengan sabda Rasulullah S. A. W yang bermaksud " Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi atau Nasrani atau Majusi."

Last changed: May 06, 1999